VAKSIN atau imunisasi merupakan salah satu kaedah perubatan untuk membina pertahanan sistem tubuh secara semula jadi sekali gus membantu menghindarkan penyakit berbahaya. Bagaimanapun, baru-baru ini negara dikejutkan dengan pengisytiharan wabak jangkitan Pertusis atau batuk kokol di tiga daerah di Kelantan. Menerusi hantaran tular, seorang pelayar X mendakwa ia berpunca daripada golongan anti vaksin. Malah katanya, golongan tersebut tanpa segan silu mengaku menolak vaksin yang disediakan kerajaan. "Kalau kat TikTok tu menakutkan ya! Ramai sangat tak vaksin anak. Kalau ada post pasal anak sakit je, mesti ada komen (anti vaksin) sakit lepas vaksin ke ni sis?" katanya ringkas. Kanak-kanak dan bayi mudah terkena jangkitan. -Gambar hiasan Menurutnya, lebih membimbangkan apabila terdapat segelintir individu yang seolah-olah menyalahkan vaksinasi apabila seseorang itu menghidap penyakit. "Semua enabler Alhamdulillah, kami sihat je tak pernah vaksin," tambahnya lagi. Hantaran yang dibuatnya itu mendapat perhatian warga maya dengan rata-ratanya meluahkan rasa simpati kerana kebanyakan mangsa wabak Pertusis adalah bayi. "Anak sakit salah vaksin sambil ayah dia hembus rokok atau vape. "Anak jadi mangsa kebodohan mak ayah sendiri. Pandai tak vaksin, kalau sakit pandailah cari ubat sendiri... jangan sibuk pergi hospital atau klinik minta ubat. "Kalau tak vaksin macam mana anak masuk sekolah ya? Sekarang tadik 4, 5 tahun pun semua minta salinan temujanji vaksin bayi. "Paling ramai tolak vaksin pneumokokal. Sakit selepas vaksin adalah normal kecuali yang melarat dan doktor nasihatkan untuk tidak menerima segala jenis vaksin," ujar beberapa warga maya. Pengambilan vaksin atau imunisasi bayi mengikut jadual adalah penting kerana dalam proses perkembangan, bayi dan kanak-kanak cenderung untuk mengalami jangkitan penyakit kerana sistem ketahanan tubuh yang belum kuat. Oleh itu, dengan mematuhi jadual imunisasi yang ditetapkan kesihatan mereka dapat terjamin dan sentiasa dalam keadaan sihat. Ini senarai imunisasi yang perlu diambil dan usia pengambilannya. Jadual imunisasi. -Grafik laman myhealth BCG adalah Basile Calmette-Guerin, Vaksin yang memberi perlindungan terhadap Tuberkulosis. DTap adalah kombinasi Vaksin yang memberi perlindungan terhadap Difteria, Tetanus dan Pertusis. DT adalah dos booster yang memberi perlindungan terhadap Difteria dan Tetanus. Hib adalah Haemophilus Influenzae type B. MMR adalah Measles (campak),Mumps (beguk) dan Rubella. MR adalah dos booster yang memberi perlindungan terhadap Measles (campak) dan Rubella. JE adalah Japanese Encephalitis. Vaksin ini hanya diberikan di Sarawak. HPV adalah Human Papillomavirus. Vaksin ini hanya untuk remaja perempuan 13 tahun. Dos 2 diberikan dalam tempoh 6 bulan selepas Dos 1. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube