DALAM dunia perubatan moden, pembedahan bariatrik sering dicadangkan sebagai kaedah efektif menurunkan berat badan, terutamanya untuk mereka yang mengalami obesiti dan masalah metabolik.
Dua prosedur yang paling kerap disarankan ialah sleeve gastrectomy dan pintasan usus (Roux-en-Y gastric bypass), dengan anggaran kos masing-masing sekitar RM29,000 hingga RM35,000 (harga tahun 2022).
Seorang jurulatih kecergasan Rohaizat Zainudin memberikan pandangan tentang sejauh mana pembedahan ini benar-benar menjadi penyelesaian terbaik.
Sleeve gastrectomy– Perut dikecilkan bagi mengurangkan kapasiti makanan, menyebabkan individu cepat kenyang dan mengambil jumlah makanan yang lebih sedikit.
Pintasan usus– Laluan makanan diubah bagi mempercepatkan proses ke usus besar, dengan tujuan mengurangkan penyerapan nutrisi dan bukan sekadar kalori.
Secara peribadi baginya, harga bukanlah isu utama dalam mempertimbangkan pembedahan ini sebaliknya objektif prosedur yang perlu diberi perhatian.
Bagi individu yang mempunyai masalah metabolik, tubuh memerlukan asid amino dan mikronutrisi dalam jumlah mencukupi untuk pemulihan.
Jika pengambilan makanan dikurangkan secara drastik, ini boleh membawa kepada kekurangan nutrisi yang serius.
Rohaizat berjaya menurunkan berat badan berlebihan dalam masa 11 bulan.
Kesan terhadap nutrisi dan kesihatan
Sebagai contoh, dalam Intermittent Fasting digabungkan dengan Low Carb (rendah karbohidrat) (IFLK), ramai individu mampu mengambil seekor ayam sehari sebagai amalan pemakanan biasa.
Ini menunjukkan bahawa tubuh masih memerlukan sumber protein dan nutrien yang banyak untuk fungsi optimum.
Jika pengambilan makanan dikurangkan mendadak, bukan sahaja badan tidak mendapat nutrien mencukupi malah selera makan boleh meningkat secara tidak terkawal akibat 'kebuluran nutrisi'.
Kurus tidak semestinya sihat
Terdapat persepsi bahawa defisit kalori adalah jawapan kepada kesihatan yang lebih baik.
Walaupun kaedah ini boleh membantu dalam penurunan berat badan, tetapi Rohaizat berpendapat ia tidak semestinya menjamin kesihatan yang optimum.
Sekiranya berlaku relapse (peningkatan semula berat badan selepas pembedahan), individu tersebut mungkin memerlukan rawatan susulan berterusan.
Ini sekali gus meningkatkan kos perubatan dalam jangka panjang, yang mungkin tidak memberikan penyelesaian diharapkan.
Oleh itu sebelum mengambil keputusan untuk menjalani pembedahan bariatrik, adalah penting untuk memahami matlamat utama yang ingin dicapai.
Untuk makluman, Rohaizat sebelum ini berjaya menurunkan berat badan sebanyak 60 kilogram dalam masa 11 bulan.