KATA-KATA yang menyinggung perasaan seseorang itu lebih tajam daripada mata pedang dan ia boleh membawa kesan besar termasuk khususnya daripada segi emosi.
Menerusi perkongsian seorang peguam dari sebuah firma guaman di Segambut yang dikenali sebagai Syafiq, kata-kata fitnah berbaur tuduhan tanpa asas mempunyai implikasi besar daripada sudut perundangan.
Mengambil contoh sekiranya seseorang wanita itu difitnah kakak ipar sendiri dengan tuduhan mandul, mangsa boleh mengambil tiga langkah seperti berikut.
Tuduhan liar tanda asas boleh dikenakan tindakan saman di mahkamah. -Gambar hiasan
1. Notis tuntutan permohonan maaf dan aku janji tidak ulangi perbuatan
Langkah pertama yang boleh diambil oleh wanita yang menjadi mangsa tuduhan sebegini adalah dengan menghantar notis tuntutan kepada individu terbabit.
Notis berkenaan biasanya disediakan dan dihantar oleh peguam sebagai langkah awal sebelum membawa kes ke mahkamah.
2. Saman fitnah di mahkamah
Sekiranya tuduhan mandul itu menjejaskan maruah, imej dan kesejahteraan seseorang wanita, tindakan saman fitnah boleh difailkan di mahkamah.
Saman fitnah bukan sekadar mendapatkan pampasan kewangan tetapi memberi pengajaran kepada masyarakat lebih berhati-hati dalam percakapan boleh mencemarkan maruah orang lain.
3. Aduan gangguan pihak ketiga dalam rumah tangga
Tuduhan mandul bukan sahaja menjejaskan individu tetapi juga boleh mengganggu keharmonian rumah tangga.
Seperti situasi dinyatakan, terdapat kes di mana pihak ketiga seperti ahli keluarga mertua atau ipar duai yang membuat tuduhan sedemikian sehingga mencetuskan pergolakan dalam perkahwinan.
Dalam kes sebegini, mangsa boleh menuntut ganti rugi bagi tekanan emosi dan kesan psikologi yang dialami.