suria

Bukan semua buruk, rupanya ramai tak tahu kebaikan makan sebelum tidur... Tapi jangan pula ‘tibai’ nasi kandar!

Snek ringan membantu anda tidur dalam keadaan yang selesa. -Gambar hiasan

MAKAN sebelum tidur menjadi kebiasaan bagi ramai orang, sama ada untuk menghilangkan rasa lapar atau sekadar menikmati snek lewat malam.

Namun adakah tabiat ini baik untuk kesihatan, atau boleh membawa kesan negatif seperti gangguan pencernaan dan kenaikan berat badan?

Berikut merupakan tiga kebaikan makan sebelum tidur:

1. Mempercepatkan proses tidur

Sesetengah makanan mengandungi elemen yang boleh membantu seseorang tertidur dengan lebih cepat.

Pakar berpendapat pengambilan makanan tinggi triptofan, serotonin atau melatonin boleh memendekkan tempoh untuk tertidur serta meningkatkan kualiti tidur.

2. Menghilangkan rasa lapar

Walaupun pakar tidak mengesyorkan pengambilan makanan berat sebelum tidur, snek ringan boleh memberikan beberapa manfaat.

Bagi mereka yang masih lapar walaupun sudah mengambil makan malam, snek ringan mungkin pilihan yang sesuai.

1603460

Terdapat beberapa jenis makanan yang boleh menyebabkan anda sukar tidur. -Gambar hiasan

Ini dapat membantu anda tidur dalam keadaan yang selesa.

3. Menstabilkan paras gula

Penghidap diabetes perlu memastikan paras gula dalam darah mereka seimbang kerana penyakit ini menyebabkan peningkatan gula dalam badan secara berlebihan.

Sesetengah ubat yang digunakan untuk mengawal diabetes boleh menurunkan paras gula dalam darah secara berlebihan.

Paras gula yang terlalu rendah pada waktu malam boleh menyebabkan mimpi buruk atau peluh berlebihan, sekali gus mengganggu tidur.

Mereka juga mungkin bangun dengan perasaan mudah marah, keliru, atau letih.

Bagi mengelakkan masalah ini, pengambilan snek berasaskan karbohidrat boleh membantu menaikkan paras gula ke tahap yang sesuai.

Berikut pula keburukan makan sebelum tidur:

Makan dalam kuantiti besar seperti sepinggan nasi kandar ketika terlalu hampir dengan waktu tidur boleh menjejaskan sistem pencernaan serta kualiti tidur.

Dalam jangka masa panjang, tabiat mengambil sebahagian besar makanan harian pada waktu malam juga boleh meningkatkan risiko obesiti.

Selain itu menjamah makanan terlalu dekat dengan waktu tidur turut dikaitkan dengan penyakit gastroesophageal reflux disease (Gerd).

Kajian menunjukkan pengambilan makanan tinggi kalori yang mengandungi banyak lemak atau karbohidrat dalam tempoh kurang satu jam sebelum tidur boleh memanjangkan masa untuk tertidur.

Antara makanan yang disarankan untuk dielakkan sebelum tidur termasuk:

- Makanan pedas

- Makanan tinggi lemak seperti bergoreng, produk tenusu penuh lemak dan daging berlemak

- Makanan berasid seperti tomato dan buah sitrus

- Makanan dan minuman berkafein termasuk coklat, kopi, dan teh

- Alkohol

Artikel Lain