suria

Hati-hati ibu, suri rumah... 5 kesilapan kecil ini boleh jadi punca dapur terbakar

Ramai tidak sedar kesilapan mereka boleh menjadi punca kebakaran dapur. -Gambar hiasan

WANITA, terutamanya para ibu dan suri rumah merupakan individu yang paling kerap menggunakan dapur di rumah.

Hampir setiap hari mereka memasak untuk keluarga, menjadikan dapur sebagai ruang utama dalam rutin harian.

Namun, tanpa disedari, ada beberapa kesilapan kecil yang boleh membawa risiko kebakaran.

Berikut merupakan lima kesilapan yang boleh menjadi punca kebakaran:

1. Tinggalkan dapur

Meninggalkan dapur ketika memasak sesuatu merupakan punca utama kebakaran.

Jika anda perlu beredar sekejap untuk ke bilik air atau membuka pintu, matikan api dapur terlebih dahulu.

Beberapa saat anda tiada sudah cukup untuk api mula menyala.

Jika perlu memasak dalam tempoh lama dan mahu meninggalkan dapur untuk melakukan kerja lain, pastikan anda menetapkan jam loceng.

Kadang-kala kita mudah terlupa apabila dibebani banyak tugasan lain, jadi bunyi penggera boleh menyedarkan kita untuk kembali semula ke dapur.

dapur 2

Kecuaian di dapur boleh menyebabkan anda menyesal selama-lamanya. -Gambar hiasan

2. Elak buat kerja lain ketika memasak

Melakukan banyak tugas serentak (multi-tasking) boleh menjimatkan masa, tetapi bukan ketika memasak.

Anda perlu memberikan sepenuh perhatian tanpa gangguan daripada telefon, televisyen atau orang di sekeliling.

Ini bukan sahaja memastikan keselamatan diri, tetapi juga melindungi rumah anda.

Gangguan boleh melambatkan masa tindak balas, meningkatkan risiko kecederaan atau melecur, serta meningkatkan kemungkinan berlakunya kebakaran dapur.

Kuali yang dibiarkan tanpa pengawasan di atas dapur ibarat bom masa yang menunggu untuk meletup.

3. Barang mudah terbakar

Meletakkan barang mudah terbakar seperti tuala tangan, bekas plastik, atau sarung tangan boleh mencetuskan kebakaran dengan mudah, termasuk objek yang diletakkan terlalu dekat dengan pembakar atau dapur yang masih panas.

4. Pakaian yang salah

Elak pakai baju yang terlalu besar ketika memasak. Api mungkin boleh menyambar lengan baju ketika anda sedang memasak.

Jadi, anda disarankan supaya menggulung lengan baju sebelum mula memasak.

5. Tiada pemadam kebakaran

Menyimpan alat pemadan kebakaran di rumah sepatutnya menjadi satu kewajipan buat kita semua.

Jika berlaku kebakaran, ia boleh membantu anda memadam api dan menyelamatkan nyawa.

Artikel Lain