RAMAI sebenarnya yang malas dan tidak mempunyai kelapangan masa untuk memasak.
Namun, kemalasan itu sedikit terubat dengan wujudnya peralatan seperti penggoreng udara atau air fryer.
Dengan menggunakan penggoreng udara, anda tidak perlu bersusah-payah di dapur, sebaliknya hanya menunggu makanan siap dimasak dalam tempoh tertentu sahaja.
Bagaimanapun harus diingat, tak semua makanan sesuai untuk dimasak menggunakan penggoreng udara.
Menurut perkongsian BBC, berikut merupakan makanan yang tidak patut dimasukkan dalam penggoreng udara:
1. Brokoli
Apabila dimasak dalam penggoreng udara, ia cenderung menjadi kering.
Ini menjadikannya kenyal dan melepaskan lebih banyak sebatian yang menyebabkan rasa pahit.
Membakar atau mengukus adalah cara yang lebih baik untuk mendapatkan rasa brokoli yang rangup dan garing.
Pasta merupakan antara makanan yang tak sesuai dimasak menggunakan air fryer. -Gambar hiasan
2. Pasta
Anda tidak boleh menggunakan penggoreng udara untuk memasak pasta mentah kerana ia perlu dimasukkan ke dalam air mendidih.
Walau bagaimanapun anda boleh menggunakan penggoreng udara untuk memanaskan semula pasta dan sos yang telah dimasak, tetapi ketuhar gelombang mikro adalah cara yang lebih efisien untuk melakukannya.
3. Bertih jagung
Bertih jagung atau popcorn tidak akan masak dengan baik dalam penggoreng udara kerana kebanyakan model tidak mencapai suhu yang diperlukan untuk memanaskan biji jagung.
Biji jagung juga boleh terperangkap dalam elemen pemanasan penggoreng udara, yang boleh menyebabkan alat tersebut mengalami litar pintas dan mencetuskan risiko kebakaran.
Sebaiknya gunakan dapur gas untuk memasak bertih jagung.
4. Nasi
Sama seperti pasta, nasi mentah perlu direbus untuk dimasak, dan walaupun tiada masalah untuk menambah beberapa titis air ke dalam bakul penggoreng udara, ia tidak sesuai untuk merebus makanan.
Disyorkan agar nasi dimasak di atas dapur terlebih dahulu sebelum dimasukkan ke dalam penggoreng udara selama beberapa minit jika diperlukan.
Anda dinasihatkan agar menggunakan periuk nasi kerana ia boleh menghasilkan nasi yang sangat gebu dan lembut.