suria

Isteri ada PCOS, suami pula obesiti... Lelaki ini kongsi perjalanan 4 tahun TTC, usaha turun berat badan berbaloi!

Lelaki ini kongsi usahanya untuk mendapatkan zuriat.

BAGI sesetengah pasangan berkahwin, perjalanan mendapatkan zuriat bukanlah sesuatu yang mudah.

Dalam soal ini, golongan wanita sering menjadi mangsa dan dipersalahkan jika mengalami kesukaran untuk hamil.

Namun seorang lelaki dikenali sebagai Qeiu berkongsi pengalaman dan pendapatnya bahawa usaha untuk mendapatkan cahaya mata perlu dilakukan bersama.

"Kalau susah dapat anak, mesti wanita yang dipersalahkan soal kesuburan. Siapa cakap? Hidup ini berpasangan, kena sama-sama berusaha," katanya menerusi media sosial.

Setelah empat tahun menanti dan berusaha, Qeiu berkata dia dan pasangan akhirnya dikurniakan rezeki menimang cahaya mata.

Menurut lelaki berkenaan, salah satu langkah utama yang diambilnya adalah menjaga pemakanan dan mengamalkan gaya hidup sihat.

"Sebelum ini saya sendiri mengalami masalah obesiti dengan berat badan mencecah 107 kilogram (kg).

"Selepas berusaha menurunkan berat badan, kini saya berjaya mencapai 65kg," katanya.

Qeiu dan isteri merupakan pejuang TTC selama empat tahun.

Diet dan gaya hidup sihat kunci utama

Berkongsi tentang usahanya di ruangan komen, Qeiu memilih untuk mengamalkan diet yang sihat dan menjauhi makanan yang boleh menjejaskan kesuburan.

"Saya tidak mengamalkan sebarang suplemen khas, hanya menjalankan diet secara Intermittent Fasting dan menjaga pemakanan.

"Saya juga mengelakkan pengambilan gula putih dan makanan yang diproses," jelasnya.

Dia juga menekankan bahawa setiap pasangan yang berusaha untuk mendapatkan anak perlu melakukan pemeriksaan doktor terlebih dahulu.

Jika tiada sebarang masalah kesihatan yang serius, pasangan tersebut hanya perlu bersabar dan terus berusaha.

Isteri PCOS tetapi berjaya hamil

Selain itu, isterinya turut mengalami masalah Sindrom Ovari Polisistik (PCOS), yang boleh mempengaruhi tahap kesuburan.

Namun selepas mengikuti gaya pemakanan sihat bersamanya, hormon isterinya semakin stabil dan akhirnya dia berjaya hamil.

"Sebenarnya saya ingin memberi semangat kepada isteri sahaja. Tetapi tanpa disangka, usaha menjaga pemakanan ini membantu memperbaiki kesihatan kami berdua.

"Apa-apa pun, anak ini adalah rezeki. Kita tidak tahu bila akan dikurniakan, yang penting usaha tetap ada," katanya lagi.

Faktor berat badan dan kesuburan

Menurut kajian dari sebuah pusat fertiliti termaju di Chicago, berat badan yang tidak seimbang boleh mempengaruhi kesuburan seseorang.

Wanita dengan Indeks Jisim Tubuh (BMI) yang terlalu rendah, iaitu bawah 18.5, lebih cenderung mengalami kesukaran untuk hamil.

Walaupun masalah kurang berat badan mungkin tidak kelihatan serius, ia masih boleh menjejaskan keupayaan seseorang wanita untuk mengandung.

Oleh itu, mengekalkan berat badan sihat melalui pemakanan seimbang dan gaya hidup aktif adalah langkah yang disarankan bagi mereka yang sedang berusaha mendapatkan zuriat.

Artikel Lain