SEBAGAI ikon yang dihormati ramai, Datuk Seri Siti Nurhaliza mempunyai pengaruh besar dalam membentuk gaya hidup masyarakat, termasuk golongan muda.
Namun, tindakan Siti atau Siti Nurhaliza Tarudin mempromosikan Nicotine Pouch dalam satu siaran media sosial menimbulkan tanda tanya dan kebimbangan.
Susulan hantarannya itu, Public Health Malaysia (PHM) tampil untuk mengulas mengenai alasan kenapa produk tersebut tidak patut dipromosikan pada umum.
1. Normalisasi penggunaan nikotin
Walaupun produk ini tidak menghasilkan asap seperti rokok, ia tetap mengandungi nikotin (bahan yang bersifat ketagihan) serta memberi kesan negatif kepada jantung dan sistem saraf.
2. Mempengaruhi peminat dan anak muda
Sebagai figura yang menjadi inspirasi ramai, sebarang bentuk promosi produk seperti ini secara tidak langsung boleh mendorong peminat terutama golongan muda untuk mencuba.
3. Produk tidak berdaftar dan menyalahi undang-undang
Nicotine Pouch bukan produk berdaftar untuk rawatan ketagihan nikotin.
Malah, import dan jualan produk ini di Malaysia adalah dilarang.
Hantaran asal Public Health Malaysia di Facebook.
4. Melanggar Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024
Sebarang bentuk promosi terhadap produk ini bercanggah dengan akta tersebut dan boleh dikenakan tindakan.
Sebagai personaliti berpengaruh, setiap kata dan tindakan membawa impak besar.
Pihak PHM berharap teguran ini diterima dengan hati terbuka dan Siti dapat memadamkan perkongsian promosi tersebut.
Dalam pada itu, Siti menerima teguran dengan hati terbuka dan tampil memohon maaf atas kesilapan yang dilakukan menerusi satu hantaran pada Isnin.
ARTIKEL BERKAITAN: Siti Nurhaliza mohon maaf, terkhilaf promosi produk tanpa selidik
Siti mengakui kekhilafannya dalam berkongsi promosi tanpa membuat penelitian terlebih dahulu mengenai produk yang diiklankan.
Dalam masa sama, Siti turut berterima kasih atas teguran yang diberikan dan memaklumkan bahawa hantaran berkenaan sudah dipadam seperti yang disarankan.
Sebelum ini, Siti memuat naik hantaran mempromosikan produk nikotin dipercayai produk perniagaan anak tirinya, Aazief Khalid.
Siti membuat permohonan maaf tersebut dalam hantaran di media sosial.
Untuk makluman, Nicotine Pouch adalah produk moden bebas tembakau dan bebas asap, direka untuk memberikan nikotin kepada pengguna secara mudah dan tidak ketara.
Ia menjadi popular sebagai alternatif yang kurang berbahaya berbanding merokok atau mengunyah tembakau tradisional.
Public Health Malaysia merupakan sebuah platform yang berperanan dalam menyampaikan maklumat berkaitan perkembangan dan isu semasa dalam bidang kesihatan awam.
Fokus utama organisasi ini adalah pada aspek pencegahan, perlindungan, serta promosi kesihatan bagi meningkatkan kesedaran dan kesejahteraan masyarakat.