suria

Lega tekak lepas teguk air tebu... Penting juga ambil tahu risiko jika diminum berlebihan

Air tebu bagus untuk melegakan rasa haus. -Gambar hiasan

BERPUASA dalam cuaca panas terik bukan sahaja menguji keimanan sebaliknya turut membuatkan seseorang itu mengalami dehidrasi.

Jadi tidak hairanlah ramai memilih jus buah-buahan termasuklah air tebu untuk melegakan rasa haus dan kering tekak ketika berbuka puasa.

Menurut penasihat pemakanan Dr Mukherjee, air tebu membantu menyingkirkan haba dan secara tak  langsung menyejukkan badan secara semula jadi justeru ia dapat menambah kembali elektrolit yang hilang ketika berpuasa.

Bagaimanapun, kandungan gula yang tinggi dalam minuman itu boleh membahayakan pesakit diabetes bahkan meningkatkan risiko penyakit kronik sekiranya diambil secara berlebihan.

Pesakit diabetes tidak digalakkan mengambil air tebu berlebihan.

“Bukti menunjukkan bahawa pengambilan air tebu berlebihan boleh meningkatkan tahap glukosa darah, meningkatkan risiko diabetes, masalah jantung, gangguan metabolik dan penyakit kardiovaskular,” katanya.

Selain itu, pengambilan air tebu secara berlebihan juga boleh menyebabkan peningkatan berat badan, paras gula dalam darah dan risiko gigi rosak.

Kebiasaannya, air tebu yang diekstrak daripada batang tebu mengangdungi 70 hingga 75 peratus air, 13 hingga 15 peratus sukrosa (gula) dan 10 hingga 15 peratus serat. 

Justeru, kita dinasihatkan untuk mengurangkan pengambilan air tebu atau bertukar kepada alternatif lain yang lebih sihat ketika berbuka puasa.

“Oleh itu, kami menasihatkan supaya bersederhana dalam mengambil air tebu atau kekal terhidrasi dengan air teh herba tanpa gula atau teh hijau, air detoks dan minuman rendah gula lain untuk melegakan badan,” ujarnya.

 

Artikel Lain