KECOH di media sosial kisah seorang pempengaruh wanita yang berkongsi tentang perkahwinannya dengan sepupu.
Menerusi hantaran di laman sosial, dia menceritakan secara terperinci bagaimana dia menerima lamaran daripada seorang pemuda yang juga sepupunya.
Meskipun menceritakan tentang perkahwinannya yang penuh dengan kemanisan, namun kebanyakan warga maya tampil dengan persepsi negatif dan memintannya tidak menormalisasikan perkahwinan antara sepupu.
Salah seorang pelayar Thread turut tampil berkongsi pandangan dan meminta pengikutnya membaca kisah berkaitan keluarga Hapsburg.
"Panas isu hari ini, topik pasal kahwin dengan sepupu sendiri. Dari sudut agama, perkahwinan di antara sepupu dibenarkan sebab sepupu dalam kategori bukan mahram.
"Tapi dalam perubatan, tak digalakkan sebab perkahwinan antara saudara terdekat berisiko untuk mendapat penyakit genetik.
"Siapa tengah lapang tu nanti cuba baca pasal Keluarga Hapsburg," coretnya.
Keluarga Hapsburg terkenal kerana rahang mereka.
Bagi yang tidak pernah mendengar tentang Hapsburg, mereka adalah keluarga diraja yang terkenal di Eropah sekitar abad ke-10 Masihi.
Keluarga ini juga dikenali kerana melakukan hubungan sumbang mahram disebabkan berkahwin sesama ahli keluarga bagi mengekalkan kuasa politik seterusnya mengelakkan perebutan kuasa.
Susulan itu berlakulah pelbagai jenis penyakit genetik dalam keturunan mereka sebagai contoh hemofilia, ketidaksuburan dan rahang Hapsburg.
Mengulas lanjut tentang perkahwinan sepupu dalam perspektif Islam, laman sesawang Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan tampil dengan hujahannya.
Perkahwinan di antara sepupu adalah harus di sisi syarak kerana sepupu tidak termasuk dalam kalangan mahram (haram bernikah).
Syarak menggalakkan supaya bernikah dengan wanita asing (selain kerabat) kerana zuriat dan keturunan yang dilahirkan lebih sihat dan kuat.
Hal ini dinyatakan dalam firman Allah SWT:
Maksudnya: “Wahai Nabi, sesungguhnya Kami telah halalkan bagimu isteri-isterimu yang engkau berikan mas kahwinnya, dan hamba-hamba perempuan yang engkau miliki dari apa yang telah dikurniakan Allah kepadamu sebagai tawanan perang; dan (Kami telah halalkan bagimu berkahwin dengan sepupu-sepupumu, iaitu): anak-anak perempuan bapa saudaramu (dari sebelah bapa) serta anak-anak perempuan emak saudaramu (dari sebelah bapa), dan anak-anak perempuan bapa saudaramu (dari sebelah ibu) serta anak-anak perempuan emak saudaramu (dari sebelah ibu) yang telah berhijrah bersama-sama denganmu.” Surah al-Ahzab (50)
Penyakit genetik boleh berlaku akibat persilangan kromosom. -Gambar hiasan
Selain itu, Dr Wahbah al-Zuhaili juga menyatakan bahawa tidak haram perkahwinan di kalangan saudara sepupu berdasarkan firman Allah SWT:
Maksudnya: “....Dan (sebaliknya) dihalalkan bagi kamu perempuan-perempuan yang lain daripada yang tersebut itu.” Surah an-Nisa’ (24)
Bahkan juga, Dr Wahbah al-Zuhaili menyebut bahawa meskipun perkahwinan di antara sepupu diharuskan, namun ia tidak digalakkan.
Ini kerana, hasil dari perkahwinan antara saudara sepupu, boleh memberi kesan terhadap kesihatan anak-anak yang bakal dilahirkan seperti kecacatan dan lemah tubuh.
Menjelas dari sudut kesihatan pula, pakar perubatan Dr Raihana Ismail berkata, persilangan kromosom yang cacat akan berterusan sehingga ke generasi seterusnya.
"Sebenarnya susur galur kita, contohnya sepupu ada bawa sesuatu penyakit dan kita pula tiada pembawa (penyakit).
"Jadi dua daripada anak kita biasanya akan ikut dengan sepupu. Persilangan kromosom ini adalah tidak sempurna.
"Sebab itulah Islam pun tidak menggalakkan untuk berkahwin sesama sepupu kerana perkembangan kromosom tidak berlaku dengan sempurna," jelasnya.
Menurut Dr Raihana, apabila ada persilangan kromosom yang cacat bermula, maka ia akan diturunkan sehingga generasi seterusnya.
Selain daripada itu, penyakit koginital yang disebabkan oleh keturunan seperti masalah jantung dan sindrom down kemungkinan besar mudah dialami kerana persilangan kromosom tidak sempurna.
Justeru tambah beliau, perkara itulah yang menyebabkan masyarakat tidak disarankan untuk berkahwin sesama sepupu.