suria

Sejak kecil dibiar tengok skrin... Ibu bapa jangan lega anak tak ‘speech delay’, ‘hyper’! Awas kesan lebih buruk

Generasi Alpha dan Beta lebih terdedah kepada 'screen time' sejak kecil. -Gambar hiasan

PELBAGAI kandungan yang membantu perkembangan dan pembelajaran kanak-kanak dapat diperoleh dengan mudah di hujung jari.

Maka tidak hairanlah apabila terdapat ibu bapa yang membiarkan anaknya 'meneroka' segala bentuk aktiviti dan kandungan yang tersedia di platform digital seperti media sosial dan laman sesawang.

'Penerokaan' itu sekali gus membuatkan anak-anak leka dan tidak mengganggu ibu bapa.

Menyedari perkara itu menjadi antara punca kebanyakan kanak-kanak lambat bertutur, penulis buku keibubapaan, Mohd Fhais Salim menyeru supaya amalan tersebut dihentikan. 

Mengulas mengenainya, dia yang juga penceramah dan 'coach' keibubapaan berkata, selain mengalami masalah lambat bertutur, kanak-kanak yang terdedah dengan ‘screen time’ sering menjadi hiperaktif dan berdepan masalah tidak boleh fokus. 

“Anak-anak nak tengok YouTube Kids, bagi je, anak-anak nak main Roblox bagi je, kalau anak tak kena speech delay, mesti dia akan kena 'hyperaktif', tak boleh duduk diam, tak boleh fokus.

“Kalau tak kena 'hyperaktif', mungkin attention span dia akan rendah, jatuh dan dia tak boleh nak buat kerja lama sikit. 

“Apabila lama sikit, dia (menjadi) bosan, kena ada screen time baru dia seronok dan teruja,” ulasnya menerusi satu hantaran di laman Instagram. 

Menurutnya, sikap ambil  mudah ibu bapa bukan sahaja memberi kesan kepada anak-anak bahkan mengundang pelbagai perspektif negatif para guru apabila sesi persekolahan bermula. 

“Nanti kat sekolah mesti cikgu-cikgu akan complaint, budak ni tak boleh duduk diam, tak boleh belajar lama, tak boleh masuk apa yang diajar, macam-macam lagi isunya apabila kita tidak kawal screen time

“Sebab itulah, tak elok sebenarnya apabila anak minta, kita beri. 

“YouTube Kids, Roblox dan apa sahaja aktiviti yang tidak beri manfaat, yang tidak ada nilai ni, akan memberi kesan kepada perkembangan anak yang semula jadi,” tambahnya lagi. 

Mohd Fhais juga sekali lagi menegaskan supaya ibu bapa perlu mengetahui platform yang sesuai bagi pembelajaran anak-anak di zaman generasi Alpha dan Beta.

Artikel Lain