PETI sejuk sering dijadikan tempat bagi lebihan makanan.
Malah ada yang beranggapan, menyimpan di dalam peti sejuk dapat memanjangkan jangka hayat sesuatu makanan.
Menerusi hantaran di laman TikTok, pakar perubatan, Dr Raihana Ismail berkongsi tujuh bahan yang sering disimpan di dalam peti sejuk dan boleh menjadi punca keracunan.
"Ada makanan yang selalu kita simpan dalam peti ais, tapi sebenarnya bahaya... bukan makin tahan lama tapi boleh jadi punca keracunan makanan tanpa kita sedar," ujarnya.
1. Kentang masak atau kentang goreng
Apabila disimpan dalam peti dan dipanaskan semula, ia boleh menghasilkan bakteria clostridium botulinum.
Bakteria ini sering menjadi punca keracunan serius.
2. Nasi putih yang tidak dipanaskan
Nampak biasa tetapi nasi boleh mengumpulkan bakteria bacilus yang tahan suhu sejuk.
Jika ingin menyimpannya, silalah ikut kaedah yang betul dan bersesuaian.
Cendawan bertekstur lembab dan mudah basi apabila sejuk.
3. Telur rebus
Apabila dibiarkan terlalu lama dalam peti, kulit telur mudah menjadi retak halus.
Ia seterusnya menjadi tempat pembiakan bakteria.
Oleh itu, jika anda ingin menyimpannya, pastikan dalam bekas tertutup dan tidak lebih tiga hari.
4. Bawang putih yang dicincang atau dalam minyak
Jika disimpan di dalam peti sejuk, ia boleh terdedah kepada toksin.
Sebaiknya, guna segera atau simpan dalam bekas kering dan bersih di suhu bilik.
5. Cendawan yang dimasak
Tekstur cendawan adalah lembab dan cepat basi apabila sejuk.
Cendawan perlulah dimakan terus selepas siap dimasak atau paling maksimum disimpan selama satu hari di dalam peti sejuk.
Bayam antara sayuran hijau yang sering dibasuh sebelum disimpan dalam peti sejuk.
6. Sayuran berdaun
Sawi dan bayam antara sayuran yang sering disimpan di dalam peti sejuk.
Kebanyakan suri rumah gemar membasuh dahulu sayuran ini bagi memudahkan proses memasaknya.
Bagaimanapun, sawi dan bayam yang sudah dibasuh boleh menjadi tempat bakteria membiak sekiranya ia tidak dikeringkan dengan betul.
Jadi, basuh apabila ingin digunakan sahaja.
7. Sos dan sambal yang dimasak berminyak
Ramai yang sangka ia tahan lama, tetapi kalau telah dicelup sudu berkali-kali dan disimpan dalam peti, ia boleh menyebabkan keracunan.
Guna sudu bersih setiap kali ingin mengambilnya dan jangan simpan terlalu lama.