suria

“Rasa macam 1,000 tikaman paku tajam!” - Lelaki meraung tiba-tiba sakit di pinggang dan pinggul, terus tak boleh berjalan

Masalah sakit belakang yang berterusan mungkin berisiko menjadi 'slip disc'. -Gambar hiasan

SIAPA sangka, percutian yang dirancang selama berminggu-minggu akan berakhir dengan tragedi.

Begitulah yang dialami seorang pelayar TikTok apabila hasratnya untuk bercuti bersama keluarga tidak dapat diteruskan selepas mengalami masalah kesihatan serius.

Berkongsi cerita, pemilik akaun Biovytal.official berkata, dia tiba-tiba tidak dapat berjalan pada hari yang dijadualkan bersama keluarga.

"Waktu ni langsung tak boleh berjalan, nak bangun duduk pun dah tak boleh.

"Sakit teramat sangat, seolah-olah ada 1,000 tikaman paku tajam pada pinggang dan pinggul aku.

"Semasa tunggu ambulans datang, aku merangkak naik atas tilam, aku meraung sebab sakit sangat dan perasaan terus 'down' kerana fikirkan tentang isteri," luahnya sayu.

Menurut lelaki ini, dia lebih bimbangkan situasi isteri kerana wanita itu bergantung harap penuh padanya.

"Paling risau dekat isteri aku sebab isteri aku sangat-sangat dependant dekat aku.

"Semua aku buat terutamanya melibatkan anak termasuk mandikan, tidurkan dan berak kencing anak.

"Rupanya memang betul sangkaan aku, selepas kejadian ini, memang isteri yang uruskan sendirian," tambahnya.

Bagi mengelakkan individu lain turut mengalami masalah yang sama sepertinya, dia berkongsikan tujuh situasi yang dialami sebelum disahkan mengalami ‘slip disc’ kronik.

Imbasan MRI yang menunjukkan situasi 'slip disc'.

Imbasan MRI yang menunjukkan situasi 'slip disc'.

1. Sakit belakang dan kaki yang berterusan (Chronic pain)

Walaupun sudah mendapatkan rehat yang cukup dan mengambil ubat tahan sakit, tapi anda masih tetap mengalami sakit belakang.

Kebiasaannya, anda rasa seolah-olah badan dicucuk dan berdenyut-denyut.

Jika keadaan makin kerap dan semakin teruk, segeralah dapatkan rawatan kecemasan.

2. Kebas yang kekal (Persistent numbness and tingling)

Kalau ‘slip disc’ tekan saraf terlalu lama, kebas atau rasa kesemutan boleh menjadi kekal pada tubuh anda.

Anda mungkin mengalami bahagian tertentu seperti 'hilang deria rasa'.

Sebagai contoh, kaki atau tangan anda menjadi kurang sensitif apabila disentuh.

3. Kelemahan otot serius (Severe muscle weakness)

Otot yang terlibat menjadi semakin lemah sehingga susah berjalan, mengangkat barang, atau membuat aktiviti biasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Badan lesu, hilang semangat lepas pulang dari kubur atau hospital... Lain kali cuba lakukan 2 perkara ini sebelum balik rumah

4. Sukar berjalan atau lumpuh sebahagian (Partial paralysis)

Jika saraf penting terhimpit dalam tempoh lama, kaki anda boleh menjadi terlalu lemah atau tidak boleh bergerak langsung.

Sesetengah individu perlu menarik kaki mereka apabila ingin berjalan.

Ada juga yang perlu menggunakan tongkat.

Anda yang mengalaminya perlu sentiasa berwaspada kerana ia sudah di tahap serius dan melibatkan kes kecemasan.

Senaman boleh dilakukan bagi mengelakkan sakit belakang sebelum ia menjadi lebih kronik. -Gambar hiasan

Senaman boleh dilakukan bagi mengelakkan sakit belakang sebelum ia menjadi lebih kronik. -Gambar hiasan

5. Masalah kawalan kencing dan buang air besar (Cauda equina syndrome)

Paling membimbangkan apabila anda sudah tidak mempunyai keupayaan untuk mengawal kencing mahupun membuang air besar.

Terdapat individu yang mengalami masalah terkencing tanpa sedar.

Ini kerana, anda merasakan kebas pada bahagian dalam paha atau punggung (saddle anesthesia).

Ini kecemasan perubatan dan anda kena dapatkan rawatan segera kerana berisiko untuk menjadi lumpuh kekal.

6. Hilang fleksibiliti dan pergerakan terhad

Mereka yang mengalami ‘slip disc’ akan sukar melakukan beberapa gerakan antaranya menunduk, berpusing, atau membuat pergerakan biasa.

Jika memaksanya, anda akan terasa seperti belakang menjadi keras seterusnya rasa sakit yang melampau.

7. Sakit teruk sehingga mengganggu tidur dan rutin harian

Tidak dinafikan, rasa sakit yang dialami ini akan menyebabkan rutin harian anda terganggu.

Malah ada yang sukar tidur malam kerana tidak berasa selesa apabila baring mahupun mengiring.

Artikel Lain