suria

Hikmah kemalangan, Hafizam kini digelar 'Raja Gelek' TikTok

Hafizam mula membina nama menerusi aplikasi TikTok dan kini merancang mahu menjadi seorang penyanyi. Foto: SAM THAM

SIAPA menyangka kemalangan motosikal yang menimpa dirinya Januari lalu ada hikmah di sebaliknya apabila ia membuatkan remaja lelaki ini meraih populariti dalam masa singkat.

Personaliti media sosial yang membina nama menerusi aplikasi TikTok, Hafizam Kamar berkata, insiden yang menyebabkan dia mengalami kecederaan parah itu tidak semena-mena memberi ruang untuk dirinya dikenali ramai dalam masa sekelip mata.

Menurut remaja berusia 18 tahun itu, selepas kemalangan tersebut dia terpaksa berhenti kerja dan sepanjang proses pemulihan itu dia mula mengenali aplikasi muzik tersebut.

"Sementara menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia, saya bekerja di sebuah restoran di ibu negara, tapi malang tidak berbau apabila terlibat kemalangan semasa pulang kerja.

"Bahagian muka, pinggang, rahang dan kaki mengalami kecederaan teruk dan dimasukkan ke hospital. Doktor kata kemalangan itu boleh membawa maut.

Kemalangan jalan raya menjadi punca jejaka berusia 18 tahun ini popular di media sosial.

"Selepas kemalangan saya tak boleh bekerja dan hanya perlu berehat di rumah, bermula daripada situlah saya mengenali TikTok dan mula mencuba aplikasi tersebut," katanya kepada mStar Online.

Sementara itu, Hafizam memberitahu video pertama tariannya yang dimuat naik di aplikasi tersebut menerima maklum balas positif penonton dalam masa satu hari.

Akui terkejut dengan reaksi penonton, anak jati Gombak ini berkata, jumlah pengikutnya semakin bertambah dan membuatkan dia lebih bersemangat menari di hadapan kamera.

"Mulanya hanya suka-suka, apabila bangun tidur pagi keesokkannya saya terkejut sebab ramai yang beri likes dan jumlah follower meningkat naik.

"Saya memang tak sangka dan sejak itu lebih bersemangat untuk menari. Disebabkan bosan duduk di rumah, cuba-cuba aplikasi baru dan dapat sambutan pula," ujarnya.

Hafizam enggan melayan sebarang cacian dan hinaan yang dilemparkan netizen.

Sama seperti personaliti media sosial yang lain, Hafizam yang digelar 'raja gelek' ini tidak dapat lari daripada kecaman netizen.

Menerima pelbagai hinaan dan cacian, namun dia enggan ambil pusing dengan kata-kata negatif keyboard warriors itu.

"Macam-macam orang cakap, ada kata saya tak ada perasaan malu, tuduh saya gay, cakap saya gila populariti dan pelbagai lagi tuduhan.

"Tapi saya tak mahu fikir apa kata orang kerana saya lebih tahu tentang diri saya dan kenapa nak rasa down kerana mulut mereka yang mencaci.

"Ibu bapa saya sendiri tahu apa saya buat, kebanyakan video tarian yang saya rakam itu di hadapan mereka, sebelum post saya tanya ibu okay tak tarian saya ini dan mereka beri pendapat," ujarnya.

Video tariannya menerima ratusan ribu tontonan di laman Instagram dan TikTok.

Dalam pada itu, Hafizam berkata dia kini meraih pendapatan melalui laman sosial dan merancang untuk meneruskan karier dalam bidang nyanyian pula.

Meskipun sibuk dengan pengajian diploma dalam bidang vokal dan muzik di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), dia tidak menolak untuk mempertimbangkan sebarang tawaran dan peluang menjadi artis rakaman.

"Melalui media sosial, saya dapat menjana sedikit pendapatan melalui reviu berbayar, jemputan berlakon iklan dan undangan nyanyian. Sekurang-kurangnya membantu perbelanjaan harian setelah berhenti kerja kerana kemalangan itu.

"Sekarang ini saya baru memulakan pengajian peringkat diploma dan merancang untuk menjadi seorang penyanyi profesional selepas ini.

"Tawaran dari syarikat rakaman ada, tetapi memandangkan saya agak sibuk dengan jadual kelas, jadi saya akan mempertimbangkan yang mana bersesuaian," ujarnya yang kerap memuat naik video cover di laman Instagram.

Untuk rekod, Hafizam memiliki hampir 300,000 pengikut di Instagram dan TikTok.

Hafizam, TikTok

Artikel Lain