suria

“Saya tak berlagak untuk jadi seperti mereka...” - Nurul Nuha

Nuha Anwar berbicara tentang hobi, gaya hidup dan rasa gementar.

KETIKA Nurul Nuha Anwar tiba di Taman Eko Rimba Kuala Lumpur untuk sesi temu bual ini, dia datang bersama tiga ‘hero’ kecilnya yang menjadi peneman setia. Dia memperkenalkan satu per satu nama heronya itu dan mereka mula menyapa saya sambil menghulurkan tangan.

Namun, satu prinsip Nurul Nuha yang jelas adalah mahu melindungi ruang privasi cahaya matanya yang berusia antara dua dan enam tahun itu daripada menjadi tontonan awam. Itu muktamad.

“Bukan saya tak mahu menonjolkan mereka, tapi kalau boleh memang saya akan elak. Saya cuba untuk melindungi mereka. Ketika semuanya berlaku ke atas bapa saya pada 1998, kami semua masih kecil dan sering menjadi perhatian media dengan cara yang tidak elok.

“Tidak mengapa sebab itulah ragam dunia politik, tapi untuk anak-anak, saya tidak mahu mereka lalui perkara sama,” jelas anak kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail itu.

Nurul Nuha merupakan anak kedua Anwar dan Dr Wan Azizah. - Foto Instagram @nuhanwar

Selain bergelar seorang ibu, Nurul Nuha juga merupakan seorang aktivis sosial yang amat mencintai alam sekitar. Pada masa lapang, Nurul Nuha gemar membawa anak-anaknya menikmati keindahan alam semula jadi dengan melakukan pelbagai aktiviti luar. 

Bagi wanita berusia 34 tahun ini, gaya hidup yang ideal adalah mempunyai masa berkualiti bersama keluarga dan rakan-rakan, mengamalkan pemakanan sihat, minda yang sentiasa aktif dan senaman yang mencukupi.

“Sebagai seorang ibu yang ada tiga anak kecil, saya kena sentiasa memenuhi keperluan mereka terutama sekali kerana mereka semuanya lelaki dan sangat aktif.

“Kami suka meneroka tempat dengan melakukan ‘nature walk’, ‘jungle trekking’ dan berbasikal di sekitar Kuala Lumpur. Kadang-kadang saya ajar mereka bermain kasut roda dan meluncur ais,” katanya ketika ditemui pada sesi temu bual eksklusif bersama mStar Online.

Nurul Nuha gemar melakukan aktiviti yang dekat dengan alam semula jadi.

Ketika ditanya tentang destinasi percutian impiannya, Nurul Nuha berharap satu hari nanti dia dapat membawa keluarganya berkunjung ke Taman Negara Serengeti di Tanzania untuk melihat haiwan liar; Iceland untuk menyaksikan keindahan aurora borealis dan Pulau Maldives serta Hawaii pula untuk menikmati pemandangan laut yang sangat memukau.

Di samping itu, Nurul Nuha juga amat menggemari aktiviti ‘flying fox’ dan sukan ekstrem seperti terjun udara. Pendek kata, Nurul Nuha tidak takut pada ketinggian, tetapi ada satu perkara yang boleh membuatkan darah gemuruhnya mengalir laju. 

Siapa sangka anak kepada ahli politik yang mampu menggegarkan dunia ketika menyampaikan ceramah ini sebenarnya berasa gementar sekiranya diminta menyampaikan pidato umum atau ‘public speaking’.

Kebanyakan orang takut untuk melakukan pidato umum dan saya tahu saya bukan berseorangan, saya bukan ahli politik dan tidak berlagak untuk jadi seperti mereka.

Nurul Nuha

Aktivis sosial

“Kebanyakan orang takut untuk melakukan pidato umum dan saya tahu saya bukan berseorangan, saya bukan ahli politik dan tidak berlagak untuk jadi seperti mereka. Orang selalu ingat saya boleh lakukannya kerana Anwar Ibrahim dan Nurul Izzah ialah seorang penceramah yang bagus, tapi tak semua orang ada kelebihan itu.

“Pidato umum boleh mengganggu keseimbangan hormon anda kerana bila terlalu gemuruh, air liur tiba-tiba akan kering,” ujar Nurul Nuha yang menganggap ia satu cabaran bagi dirinya.

Beralih ke topik fesyen, wanita kelulusan Bacelor Seni dan Teknologi Visual dari Universiti George Mason di Amerika Syarikat ini memilih keselesaan dan kesederhanaan untuk menjadi gaya penampilannya.

Keselesaan dan kesederhanaan jadi keutamaan Nurul Nuha dalam berfesyen.- Foto Instagram @nuhanwar

Bagi pereka grafik bebas itu, rakyat Malaysia seharusnya berbangga dengan kemajuan industri fesyen di negara ini yang sudah mampu menembusi pasaran antarabangsa. Antara jenama pereka tempatan yang menjadi kegemarannya adalah Mimpi Kita oleh ‘Zulkifli Sisters’ dan Aere oleh Raja Nadia Sabrina.

“Saya bertuah kerana mengenali beberapa pereka tempatan secara peribadi. Kalau saya rasa nak ‘dress-up’ saya akan tanya pendapat Asma’ Nasaruddin (pereka tempatan) atau jika saya mahu pakai sesuatu yang selesa, saya akan pilih jenama Calaqisya.

“Saya cuba jadi sederhana kerana ia selari dengan agama kita dan pada masa sama ia haruslah selesa dipakai! Susah untuk melihat saya pakai kasut tumit tinggi kerana saya tak biasa, saya lebih suka kasut sukan,” katanya.

Nurul Nuha Anwar

Artikel Lain