SEJAK kebelakangan ini, personaliti media sosial ini berani menghasilkan video-video yang menyentuh isu panas, apa lagi kalau bukan berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT). Walaupun ada video parodi lucu dimuat naik menerusi laman sosialnya, tetapi topik yang mungkin sensitif bagi segelintir pihak tidak dapat mengelak daripada mencetuskan kontroversi. Dek kerana itu juga, personaliti dengan nama popularnya, Awie MBR dikecam hebat, namun pada masa sama mendapat sokongan ramai sehingga mempunyai lebih 400,000 pengikut di Instagram. Menerusi laman sosial, Awie sering mengupas topik berkaitan hal semasa dan isu tular. Pemilik nama Mohammad Badrul Ridzuan Mohamad itu berkata, jolokan Awie MBR itu diberi arwah ibunya yang meminati penyanyi dan pelakon, Datuk Awie. "MBR pula adalah singkatan kepada nama penuh saya di laman sosial. Saya mula membuat video-video lakonan sendiri di Instagram sejak 2015. "Pada awalnya, video-video yang saya hasilkan sering membawa mesej 'sentap', namun lama-kelamaan bertukar kepada parodi, dari hal yang berlaku di sekeliling hingga kepada isu semasa, tular dan trending," katanya ketika ditemui mStar Online baru-baru ini. Pemuda berusia 23 tahun dari Petaling Jaya ini menjelaskan personalitinya yang dilihat serius dan kelakar di dalam video, adalah cerminan dirinya. "Saya ni orangnya biasa-biasa saja. Karakter serius dan kelakar, itulah saya," katanya mengakui suka berterus-terang. Walaupun kadang-kadang bersikap serius, Awie juga seorang yang kelakar. Walaupun 'kental' membuat video-video berbaur sinis dan sindiran tetapi sarat dengan mesej, Awie mengakui sensitif sekiranya disentuh mengenai saiz badannya. "Kalau orang cakap video saya hambar atau tak lawak, saya okay lagi, tapi saya sensitif kalau ada komen-komen kata badan saya berisi atau gemuk," katanya. Namun anak kelima daripada enam beradik ini memberitahu, dia telah lama berjinak-jinak dengan aktiviti kecergasan di gimnasium dan bermain sukan futsal sekiranya mempunyai masa lapang bagi memastikan dirinya sentiasa sihat dan 'fit'. Bercakap mengenai kecaman sepanjang bergelar personaliti media sosial, kata Awie, impak besar begitu dirasai apabila membuat video-video parodi dan teguran membabitkan isu LGBT, termasuk pelbagai aksi kurang sopan golongan muda yang tular di media sosial. Awie yang suka menari 'break dance' dan menyanyi, turut dikritik netizen berikutan kebanyakan video sejak akhir-akhir ini mempunyai mesej teguran membabitkan agama. Pernah dikritik bersikap acah-acah seperti ustaz kerana menyentuh isu berkaitan agama. Tidak melatah, sebaliknya anak muda ini menjelaskan bahawa ada kalanya video yang dimuat naik itu diselitkan dengan rakaman ceramah agama dan petikan ayat-ayat al-Quran. Awie mengakui tindakannya itu dikritik bersikap acah-acah seperti ustaz, cuba berlagak umpama pendakwah program realiti Pencetus Ummah (PU) dan Da'i. "Memang ada ramai kata saya ni acah-acah ustaz, sehingga label saya nak jadi macam PU atau Da'i, tapi bila saya masukkan ceramah atau ayat-ayat al-Quran yang bersesuaian dengan mesej, penyampaian lebih berkesan dan orang tak kata saya hanya cakap kosong. "Tak semestinya perlu jadi ustaz baru boleh tegur. Macam saya, ada kelebihan pengikut yang ramai di Instagram dan mempunyai bakat lakonan, jadi tak salah kalau saya berbuat sesuatu untuk sampaikan perkara yang baik," katanya. Selain menyanyi, Awie gemar menari 'break dance' di masa lapang. Sebelum ini, Awie pernah 'diserang' beberapa usahawan kosmetik terkenal di laman sosial apabila membuat teguran mengenai isu LGBT menerusi video-videonya. "Kita tak perlu layan mereka yang mengecam, kalau layan lagi menjadi-jadi. Lagi saya buat video, dia pun berbalas-balas dengan video, sampai bila nak habis kan. "Cukuplah satu atau dua video, asalkan mesej sampai ke pihak berkenaan. Yang penting dah tegur sebab saya bukan benci dia, cuma tidak menyokong perbuatan dia," katanya. Pemilik segulung Diploma Seni Persembahan dalam Pengurusan Filem dan Teater di Universiti Teknologi Mara (UiTM), maka tidak haianlah lakonannya menerusi video yang dihasilkan dilihat bersahaja dan memberi kesan. Awie berhasrat untuk bertemu dengan pengarah hebat, Syamsul Yusof. Foto IZZRAFIQ ALIAS Tidak menafikan berminat dalam bidang lakonan, namun Awie bercita-cita untuk menjadi pengarah filem yang hebat, seperti idolanya Syamsul Yusof. "Saya memang minat bidang seni... menyanyi, berlakon dan mengarah. Filem yang diarahkan beliau (Syamsul) bukan saja sarat dengan mesej, pelakon bersesuaian dan teknikal berkualiti," ujar Awie mengenai Syamsul yang merupakan pengarah filem genre seram Islamik, Munafik 2 dengan kejayaan memperoleh kutipan pecah panggung baru-baru ini. Awie turut meluahkan hasratnya untuk bertemu dengan Syamsul, bagi mendapatkan tips dan bimbangan mengenai pengarahan filem, termasuk lakonan. "Nak sangat jadi pengarah hebat macam Syamsul. Dan mana tahu kalau ada perancangan nak buat filem Munafik 3, ada peluang untuk saya tawarkan diri berlakon, tak kisahlah pelakon tambahan. "Saya teringin untuk berlakon watak serius atau kelakar. Tapi kalau ditawarkan watak yang lain, saya tak tolak dan boleh cuba, lebih-lebih lagi di bawah arahan Syamsul," katanya.