HAMPIR 10 tahun menceburkan diri dalam bidang seni suara, nama Najwa Mahiaddin bukan sahaja dikenali sebagai penyanyi berbakat besar malah sebagai seorang komposer dan penulis lirik artistik dalam menghasilkan karyanya. Najwa antara generasi baharu yang sentiasa menampilkan halwa telinga segar dan ia terbukti menerusi hasil kerjanya seperti Got To Go, Wonderland, Ocean dan terbaharu Chinta duet bersama MonoloQue. Tidak pernah berasa selesa dengan apa yang dimilikinya, Najwa atau kini mahu dikenali sebagai NJWA memberitahu dia perlu tampil berani menyimpang daripada kebiasaan dalam mengetengahkan kelainan dalam karya ciptaannya untuk membawa pembaharuan serta kepelbagaian. NJWA sentiasa tampil kelainan dalam muziknya. "Saya suka bereksperimen dengan bunyi dan genre berbeza kerana muzik itu pada pandangan saya tidak seharusnya diletakkan dalam sesuatu kategori tertentu. "Dalam berkarya saya sentiasa mahu fikir ke hadapan menerusi muzik saya... Mungkin ramai belum dapat menerimanya tetapi seseorang perlu memulakannya. "Latar belakang saya dalam bidang muzik membuatkan saya gemarkan semua genre dan ingin menampilkan sesuatu daripadanya," katanya memulakan bicara. Minat yang membara itu bukan sekadar kecintaannya terhadap muzik, sebaliknya keluarga terutama bapanya, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berperanan sebagai penggerak utama untuk beliau terus menggapai cita-cita yang belum terlaksana. NJWA dan suami, Idris Koh Heng Hui. NJWA berkata, dia sentiasa terinspirasi dengan Muhyiddin walaupun keadaan beliau kini sedang melawan penyakit kanser pankreas, namun bapanya itu sentiasa berfikiran positif. "Sebagai anak memang saya berasa bimbang apabila bapa jatuh sakit tetapi beliau seorang yang cukup kental dan berfikiran positif dalam menghadapi situasi sukar. "Beliau sentiasa mengingatkan saya tentang apa juga cabaran yang saya perlu tempuhi ia perlulah dilakukan dengan bersemangat dan tidak mudah berputus asa. "Kerana bapa juga, saya sentiasa bersemangat dalam mengharungi karier saya dan mahu membawa muzik saya ke peringkat antarabangsa," jelasnya. Penyanyi berusia 32 tahun ini mempunyai misi dalam karier seninya. Mahu angkat muzik tradisional ke peringkat dunia! Rancak berbual mengenai kerjaya seninya, NJWA berkata, tumpuannya kini adalah untuk mengangkat karya muzik tradisional yang dihasilkan ke mata dunia. Lagu-lagu berentak tradisional kata NJWA bukan sesuatu yang asing baginya kerana sudah didedahkan dengan irama itu sejak masih kecil lagi. Buktinya, NJWA pernah merakamkan kembali lagu Seri Mersing dalam gayanya tersendiri selain Togok yang mengetengahkan muzik gamelan Melayu. "Ketika saya menyambung pelajaran di luar negara, ramai bertanya tentang muzik tradisional Malaysia dan apabila saya memperkenalkan beberapa karya terkenal ramai yang tertarik dan memuji muzik kita. NJWA mahu mengangkat muzik tradisional ke luar negara. "Paling seronok mereka cukup leka dengar lagu-lagu tradisional dan reaksi itu membuatkan saya terfikir untuk mengetengahkannya ke peringkat antarabangsa," kata bekas graduan Berklee College of Music, Boston di Amerika Syarikat ini. Malah kata NJWA, dia tidak berasa canggung untuk menyanyikan lagu-lagu tradisional walaupun ramai mengenalinya sebagai penyanyi muzik R&B malah melihat ia sebagai kelebihan. "Kesempatan saya mengadakan persembahan di luar negara seperti di Hong Kong dan Jepun kebiasaannya saya akan selitkan beberapa lagu tradisional sebagai memperkenalkan muzik Malaysia. "Penerimaannya Alhamdulillah, ramai menyukainya walaupun adakalanya cara nyanyian saya menggunakan lenggok tradisional walaupun ia lagu R&B. "Impian saya kini untuk melihat muzik tradisional kita berkembang ke luar negara kerana ia sangat unik dan mempunyai keaslian tersendiri," ujarnya.