suria

Alieff Irfan mampu beli kereta, menggaji 8 pekerja kerana 1 juta pelanggan YouTube

BERMULA dengan hanya sekadar suka-suka dan minat mendalam terhadap suntingan video, personaliti YouTube, Alieff Irfan membuktikan dia mampu menjana pendapatan lumayan menerusi laman popular itu.

Alieff atau nama sebenar Muhammad Aliff Irfan Aziki berkata dia nekad berhenti belajar dan tidak menyambung pengajian peringkat diploma di sebuah universiti tempatan kerana mahu fokus sepenuh masa sebagai personaliti YouTube atau Youtuber.

"Saya mula hasilkan video di YouTube pada tahun 2016 dan asalnya hanya berkongsi mengenai apa yang berlaku di sekitar saya, pengikut atau subscriber ketika itu 1,000 orang sahaja. Setelah saya buat pembaharuan dan hasilkan filem pendek (short film) barulah subscriber bertambah.

Dalam masa dua tahun, saluran Alieff Irfan di YouTube berjaya mengumpul sejuta pengikut.

"Sejak itu, saya menerima beberapa tajaan produk untuk pengiklanan. Memandangkan semester baru akan bermula dan masa terhad untuk menyelesaikan beberapa video yang tertunggak, saya ambil keputusan untuk berhenti belajar.

"Alhamdulillah, awal tahun ini jumlah pengikut saya di saluran YouTube Alieff Irfan sudah lebih satu juta subscriber. Apa yang boleh saya kata, setakat ini saya rasa tindakan berhenti belajar ini betul," katanya kepada mStar Online.

Meskipun begitu, anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini memberitahu dia turut menerima tentangan ibunya pada awal pembabitan sebagai YouTuber, namun berjaya meyakinkan bahawa bidang yang diceburi ini mempunyai peluang cerah.

Sebenarnya saya takut nak baca komen, takut saya hilang semangat dan akhirnya putus asa, jadi lebih baik saya abaikan sahaja kritikan negatif sedemikian.

ALIEFF IRFAN

Bintang YouTube

Melalui penghasilan video dan filem pendek itu, dia menerima pendapatan hasil sumbangan iklan, promosi produk (product placement) dan jualan barangan cenderamata. 

Sumber pendapatan itu sedikit sebanyak dapat membantu menyara keluarga dan dia turut membina sebuah studio produksi yang diberi nama Alieff Irfan Studio Production (AI Studios) dan menggaji lapan orang pekerja.

"Masa mula-mula tu emak tak faham apa yang cuba saya lakukan ini, dia hanya tanya saya buat apa ni? Video internet ni boleh pergi jauh ke, ada masa depan ke?

Alieff Irfan serius dalam penghasilan filem pendek di YouTube.

"Dulu saya pernah minta emak belikan kamera dan dia beli tapi... dia tak tahu apa saya nak buat dengan kamera itu dan dia hanya ikut permintaan saya kerana dia tahu ini hanya semata-mata kerana minat dan hobi.

"Alhamdulillah, sekarang ini saya berjaya buktikan melalui laman sosial kita boleh jana pendapatan. Walaupun tidaklah terlalu kaya tetapi sedikit-sebanyak dapatlah menampung kehidupan dan membeli sebuah kereta," ujarnya.

Dalam pada itu, Alieff berkata, filem pendeknya yang menggunakan pertuturan sepenuhnya dalam loghat masyarakat Kelantan menyebabkan jumlah pengikutnya bertambah secara mendadak.

Filem pendek tentang kehidupan 'mat rempit' menggunakan dialek pantai timur mendapat lebih empat juta tontonan.

Malah, filem pendek mengenai kehidupan mat motor turut menyumbang jumlah tontonan yang tinggi di laman YouTube.

"Pada tahun 2017 saya mula hasilkan video menggunakan dialek Pantai Timur, saya takut juga kalau orang luar negeri itu tak faham, tetapi kawan saya minta cuba menggunakan bahasa Kelantan pula.

"Saya ambil risiko dengan hasilkan satu filem pendek berjudul Jantan Pilih Rupa dan ternyata orang Kelantan suka dan mereka turut menyokong serta membantu dengan berkongsi video itu di laman sosial.

Alieff kini memiliki studio produksi sendiri dan sudah mampu menggaji lapan orang pekerja.

"Bagi menarik penonton baharu terutamanya dalam kalangan mat motor, saya buat dua filem pendek mengenai mat rempit dan sambutan diterima sangat baik, ramai yang suka. Cumanya genre begini tak boleh buat selalu sebab ia memerlukan kos yang tinggi," katanya yang lebih banyak menghasilkan video berkisarkan tentang remaja dan percintaan.

Bergelar personaliti media sosial, jejaka berusia 22 tahun ini tidak terlepas daripada menerima kecaman dan kritikan penonton yang berasa kurang senang dengan video dihasilkan.

"Sebenarnya saya takut nak baca komen, takut saya hilang semangat dan akhirnya putus asa, jadi lebih baik saya abaikan sahaja kritikan negatif sedemikian.

"Saya pernah dikecam kerana seorang pelakon wanita tidak bertudung. Saya hanya mampu menulis permohonan maaf secara umum di ruangan tersebut kerana tak mampu nak balas di setiap komen," ujarnya.

Alieff Irfan, YouTube

Artikel Lain