BAGI sesiapa yang peka dengan perkembangan politik global, nama Justin Trudeau pastinya tidak asing lagi. Figura berusia 47 tahun ini sering menjadi paparan utama berita sejak beliau diangkat sebagai Perdana Menteri Kanada pada tahun 2015. Lebih menarik, dia mencatat rekod sebagai perdana menteri kedua paling muda dalam sejarah negara itu. Trudeau pernah bertemu Tun M sewaktu berusia 11 tahun (foto kiri) dan bertemu semula sebagai pemimpin negara pada November 2018. Tolak ketepi seketika soal politik kerana ketampanan wajah serta keperibadian yang disenangi beliau turut menyebabkan Trudeau memiliki ramai peminat dari dalam dan luar Kanada. Antara fakta mengenai Trudeau yang mungkin menarik untuk diketahui rakyat Malaysia, beliau pernah bertemu dengan Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1982, sewaktu berusia 11 tahun. Pada waktu itu, bapanya, Pierre Trudeau merupakan Perdana Menteri Kanada yang berkhidmat selama dua penggal pada 1968 hingga 1979, dan 1980 hingga 1984. Pada 2018, dia sekali lagi bertemu dengan Tun M dan kali ini atas kapasitinya sebagai perdana menteri, sekali gus mengimbau pertemuan pertama mereka berdua, lebih 30 tahun lalu. Pertemuan itu berlangsung di Stanley Hotel, Port Moresby, Papua New Guinea sempena Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC). Menerusi segmen Figura di mStar Online, kami mahu berkongsi dengan anda 10 fakta menarik mengenai Trudeau. 1. Petinju Bukan sahaja lincah di gelanggang politik, Trudeau juga mahir bertinju. Malah, dia pernah beberapa kali menyertai pertandingan tinju untuk acara amal. Trudeau tidak gentar untuk bertinju, malah bangga memaparkan susuk tubuhnya yang sasa. 2. Guru Antara pengalaman kerjaya yang mungkin membantu Trudeau dalam skop tugasnya sebagai perdana menteri, dia pernah bertugas sebagai guru suatu ketika dahulu. Subjek yang pernah diajar oleh Trudeau termasuklah Bahasa Perancis, Matematik dan kelas drama. 3. Tatu Trudeau memiliki dua tatu ditubuhnya. Untuk rekod, dia merupakan satu-satunya perdana menteri Kanada yang mempunyai tatu. Salah satu tatu yang dimilikinya. 4. Bintang Filem Tiada apa yang mustahil untuk Trudeau. Aura serta bakatnya turut menyerlah apabila dia membintangi filem The Great War pada 2007. 5. Masalah Mental Bagi kebanyakan individu, mereka takut untuk berbicara soal kesihatan mental, khususnya melibatkan diri sendiri atau keluarga. Berbeza dengan Trudeau, dia berkongsi kisah ibunya yang menghidap penyakit bipolar. Disebabkan itu juga, dia begitu mengambil berat soal kesihatan mental rakyatnya. Foto sewaktu beliau melakukan aksi yoga yang tular. 6. Yoga Selain tinju, dia juga aktif melakukan yoga. Malah, Trudeau juga berupaya membuat pose yoga untuk mengapungkan badannya dengan sebelah tangan sahaja. 7. Marvel Jika Trudeau pernah muncul dalam filem The Great War pada 2007, dia juga pernah dipaparkan dalam komik Marvel, pada tahun 2016. Muncul sebagai karakter dalam komik Marvel. Keterbukaan Trudeau yang berjiwa muda itu menyebabkan ramai belia di Kanada senang dengannya. 8. Menari Memiliki personaliti yang menyenangkan dan menarik, Trudeau juga pandai menari. Sebelum ini, tular video Trudeau melakukan tarian tradisional India, Bhangra. 9. Rumah tangga Trudeau berkahwin dengan Sophie Grégoire pada 28 Mei 2005. Bersama isteri dan tiga anaknya. Isterinya bekerja sebagai koresponden untuk program eTalk dan mereka memiliki tiga cahaya mata iaitu Hadrien, Xavier James dan Ella-Grace Margaret. 10. Pengaruh Disebabkan popularitinya di seluruh dunia, Trudeau dinobatkan oleh majalah Time sebagai individu paling berpengaruh pada tahun 2016. Bahkan, majalah Forbes turut menyenaraikan Trudeau sebagai individu paling berkuasa di dunia, untuk tahun 2015. - Bustle/Blog.Gradeslam.