DIA tidak sempurna seperti insan lain. Walaupun hanya tangan kiri dapat berfungsi dengan baik, dia sebolehnya mahu melakukan kerja-kerja harian tanpa mengharapkan bantuan. Itulah prinsip yang dipegang Dale Adelric Teri, yang menghidap masalah pertuturan dan kecacatan fizikal akibat Cerebral Palsy (CP) sejak kecil. Menurut bapanya Vincent Teri, idea menjalankan perniagaan kasut secara dalam talian tercetus apabila rakan keluarganya memberi galakan agar Dale meraih sumber pendapatan sendiri. Dale menjalankan perniagaan kasut wanita dan lelaki secara atas talian. "Kami suka melihat Dale tidak terlalu bergantung harap kepada orang lain. Kami didik supaya dia hidup berdikari. "Malah Dale sendiri seronok menjana pendapatan sendiri melalui Facebook," katanya kepada mStar Online. Pemuda berusia 26 tahun ini menjalankan perniagaan kasut wanita dan lelaki pada harga serendah RM20 hingga RM40 sepasang. Setiap Isnin hingga Khamis, anak bongsu daripada tiga beradik ini akan meluangkan masa selama dua hingga lima jam menerusi Facebook secara langsung bagi melayan pelanggannya. Antara koleksi kasut lelaki dan wanita yang dijual. Menariknya, meskipun Dale menghidapi masalah pertuturan, namun rata-rata pelanggannya faham dan tahu bagaimanana untuk berkomunikasi dengannya. Malahan Dale mengakui seronok melakukan pekerjaan itu kerana gemar berinteraksi dan dapat bertemu rakan-rakan baharu. "Seronok berniaga online, Dale ada ramai kawan baharu. "Ada seorang kakak ni sangat baik. Kalau Dale kena ejek dia selalu tolong Dale. "Kadang-kadang masa live ada yang komen suruh Dale berhenti, mereka kata buat malu je," katanya. Koleksi pingat yang berjaya diraih dalam sukan Boccia termasuk mengahrumkan nama negara di peringkat antarabangsa. Menurut bapa Dale, anaknya itu tidak terlepas daripada hampir menjadi mangsa penipuan di media sosial. "Setakat ini tiga kali mereka cuba tipu Dale. "Mereka mendakwa ada memindahkan sejumlah wang dan meminta Dale untuk memulangkan kembali wang berkenaan. "Apabila saya periksa transaksi bank, tiada sebarang pindahan dibuat mana-mana individu berkenaan," katanya akan terus memantau bisnes anak istimewanya itu. Dale mengeluarkan bola Boccia di bawah jenamanya sendiri. Meskipun dilahirkan sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU), pelbagai kejayaan berjaya diraih termasuk mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa. Dale pernah memenangi pingat Perak pada sukan Boccia Youth Para Asia Tokyo 2009 dan sukan Para Asean Kuala Lumpur 2017. Selain itu, Dale antara usahawan OKU yang berjaya mengeluarkan produk sukan boccia bawah jenamanya sendiri.