KECOH seantero Malaysia dua tahun lalu apabila pemuda ini menjadi perhatian kerana berbadan sasa persis ahli bina badan. Ketika itu usianya baru mencecah 17 tahun. Malah, gambarnya memakai pakaian seragam sekolah menjadi tular apabila remaja ini menunjukkan lengan berotot dengan urat yang timbul. Pemuda 'sado' yang dimaksudkan, Muhammad Fauzan Abd Rashid, 19, ketika ini telah menamatkan zaman persekolahan, namun minatnya terhadap bina badan kekal utuh. Fauzan mula bersenam untuk membina badan sejak Tingkatan Satu. Foto instagram fauzanmuscles Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Mahmud Paduka Raja 1, Tanah Merah, Kelantan ini mendedahkan badannya 'kurus kering' sebelum aktif membina badan. ARTIKEL BERKAITAN: Badan sasa, jalan melenggang… 5 sebab wanita geli lelaki ‘terlebih’ maskulin "Saya minat dalam aktiviti bina badan apabila lihat ramai yang bersungguh-sungguh nak bina badan, termasuk abang saya. "Sejak di Tingkatan Satu saya mula bersenam di rumah, selepas enam bulan dah mula nampak kesannya (bentuk badan) dan badan sado ni hanya terbentuk selepas empat tahun, dengan pelan pemakanan dan senaman saya sendiri," katanya ketika ditemui mStar Online, baru-baru ini. Fauzan yang dibesarkan di Tanah Merah, Kelantan berkata, penglibatannya dalam bidang bina badan sekadar suka-suka, dan bukan mahu menyertai pertandingan secara serius. Fauzan membina badan untuk menunjukkan semangat diri dan memberi inspirasi kepada orang lain. Foto YAP CHEE HONG Jelas remaja ini, ia lebih kepada menunjukkan semangat diri, di samping memberi galakan kepada orang lain untuk bergiat aktif membina badan, antaranya memuat naik video motivasi dan berkongsi kata-kata inspirasi di laman sosial. "Rakan-rakan yang mendorong saya untuk masuk pertandingan, dan yang pertama ketika berusia 17 tahun. Percubaan pertama pada 2016 mendapat tempat kesembilan," katanya sambil menambah, sehingga kini dia telah menyertai kira-kira 10 pertandingan. Namun, Fauzan mempunyai prinsip untuk tidak menyertai mana-mana pertandingan yang hanya mensyaratkan pemakaian seluar dalam sahaja untuk beraksi di pentas. Foto kiri ketika badan kurus Fauzan pada awal Tingkatan Dua sementara foto kanan pula semasa persiapan menyertai pertandingan badan cantik pada tahun 2018. Anak ketiga daripada empat beradik ini turut mendedahkan dia bertindak memadam lebih 200 gambarnya di laman sosial kerana menunjukkan badan dan aksi yang agak keterlaluan. "Prinsip saya sebagai ahli bina badan, saya istiqamah untuk tidak menyertai mana-mana pertandingan yang memerlukan saya hanya beraksi dengan memakai seluar dalam ketika beraksi di pentas. "Itu prinsip saya, dan saya menghormati pendirian dan pilihan ahli bina badan lain. Buat masa ini, saya hanya mahu menyertai pertandingan badan cantik kerana penyertaannya hanya perlu berseluar jeans atau seluar pantai," katanya. Siapa sangka juara Mr Stylo kategori atas 170sm 2018 dan juara Mr Ekspo Muafakat 2018 ini mempunyai hobi bermain alat muzik seperti recorder, piano dan gitar. Malah, dia mempunyai bakat terpendam mengubah lagu. Fauzan menjuarai pertandingan badan cantik, Mr Stylo 2018 kategori 170sm. Walaupun berminat dalam bidang seni, Fauzan mahu memberi tumpuan kepada perniagaan berkaitan bina badan yang diusahakannya secara kecil-kecilan sejak setahun setengah yang lalu, dengan menjual produk makanan tambahan. Dia yang menjadikan legenda bina badan, Sazali Samad sebagai idola pernah diduga apabila jualan produknya tidak begitu memberangsangkan, sekitar tahun lalu. "Pada masa sama, saya nak masuk pertandingan. Tapi keadaan kewangan tidak mengizinkan. Saya pula ketika itu membuat persiapan secara senyap-senyap dan tidak mahu menyusahkan keluarga bagi mendapat bantuan. "Bina badan ni memerlukan perbelanjaan yang tinggi untuk persiapan. Baki dalam akaun bank masa tu hanya tinggal beberapa puluh ringgit saja," katanya sebak. Legenda bina badan, Sazali Samad merupakan idola Fauzan. Tambah Fauzan, dia bersama seorang rakan berusaha mengumpul duit syiling, dan mengira setiap sen demi mendapatkan bekalan telur sebagai sumber protein. "Saya juga pernah rebah sampai menangis sebab terlalu letih membuat persiapan untuk pertandingan. Sampai ke tahap itu, banyak dugaan dan cabaran yang saya lalui. "Tapi saya nak buktikan kepada ibu-bapa, menjadi seorang anak yang boleh berjaya dalam bidang yang ditentukan saya sendiri. Ayah ada beri nasihat, kalau nak buat sesuatu, lakukan dengan bersungguh-sungguh sampai dapat," katanya. Kenangan mengira duit syiling untuk membeli bekalan telur antara yang tidak dapat dilupakan Fauzan. Atas semangat itu, Fauzan yang meminati pelakon dan pelawak Zizan Razak bakal mengeluarkan produk makanan tambahannya sendiri tidak lama lagi. "Saya menggunakan modal permulaan kira-kira RM10,000 hasil titik peluh sendiri. Saya jadikan ia sebagai langkah awal untuk mengembangkan perniagaan. "Saya sudah ada ramai pengikut sejak tular kisah sado di sekolah, dan menggunakan peluang ini sebaik mungkin untuk melangkah lebih jauh dalam bidang bina badan, di samping terus memberi inspirasi kepada orang ramai," katanya. Walaupun berminat dalam bidang seni, Fauzan mahu memberi tumpuan kepada perniagaan berkaitan bina badan yang diusahakannya secara kecil-kecilan sejak setahun setengah yang lalu, dengan menjual produk makanan tambahan. Walaupun berminat dalam bidang seni, Fauzan mahu memberi tumpuan kepada perniagaan berkaitan bina badan yang diusahakannya secara kecil-kecilan sejak setahun setengah yang lalu, dengan menjual produk makanan tambahan.