suria

YB Rara…“Luaran saja nampak kasar tapi saya sensitif”

Young Syefura atau lebih dikenali sebagai Rara. Foto ANIS ABDULLAH

APABILA Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ketari, Young Syefura Othman sah bercerai talak satu dengan suaminya pada 7 Mac lalu, ia berita yang mengejutkan banyak pihak, begitu juga penulis.

Mana tidaknya, lafaz cerai yang dibuat di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur itu kurang 24 jam selepas temuramah bersama individu bergelar Yang Berhormat (YB) buat pertama kali ini.

Ternyata figura yang lebih mesra dengan panggilan Rara ini pandai menyimpan rahsia peribadi kerana beliau kelihatan ceria, tenang dan bersahaja sepanjang sesi temuramah itu.

Rara kini kembali 'single' selepas bercerai dengan talak satu pada 7 Mac lalu. Foto ANIS ABDULLAH

Walaupun rumah tangga yang dibina sejak 2016 tidak mampu bertahan, Rara semasa ditemuramah mengakui dirinya menjadi perhatian umum sebaik bergelar wakil rakyat.

"Lepas PRU (pilihan raya umum) lalu sudah tentu kita dah tak ada private life, semuanya menjadi umum. Semua orang nak ambil tahu dan perlu membiasakan diri dengan keadaan baharu," katanya yang anggun berbaju kebaya merah garang warna sepadan dengan kasut tumit tinggi dan berseluar denim biru kepada mStar Online ketika ditemui di Kuala Lumpur.

Rara akui semakin mendapat perhatian umum selepas bergelar wakil rakyat. 

Berkongsi kehidupan peribadi, wakil rakyat berusia 29 tahun ini seboleh-bolehnya akan berusaha menyusun jadualnya sehabis baik kerana beliau gemar menonton filem dan bersiar-siar.

"Saya menonton semua filem dan tidak memilih asalkan ada filem yang baru keluar di pawagam, saya akan tengok. Tapi saya paling minat dengan filem genre thriller," katanya yang menyukai filem John Wick lakonan Keanu Reeves.

Mungkin dilihat berperwatakan lemah-lembut, tetapi anak jati Sitiawan, Perak ini sebenarnya seorang yang lasak dan menyukai aktiviti luar seperti berlari, berbasikal dan mendaki.

Menyukai aktiviti lasak seperti mendaki. Foto Instagram Young.Syefura

Malah, Rara menyimpan hasrat untuk menawan puncak Gunung Kinabalu di Sabah dan kini berjinak-jinak mendaki di bukit-bukit kecil di kawasannya di sekitar Bentong, Pahang.

Mempunyai adik-beradik seramai tujuh orang, terdiri daripada enam lelaki dan beliau merupakan anak perempuan tunggal maka tidak hairanlah perwatakannya agak kasar.

"Saya pernah bergusti dengan adik-beradik di rumah, panjat pokok dan main lumba basikal. Saya agak tomboy dan berambut pendek. Main masak-masak memang tak minat," katanya yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Ahli Majlis Perbandaran Kajang.

Luaran saja nampak kasar dan susah nak menangis, tapi saya sensitif dan mudah kesian.

Young Syefura Othman

Adun Ketari

Rara merupakan anak perempuan tunggal dalam keluarganya.

Sewaktu di Tahun Satu, Rara memberitahu bahawa ibunya membelikannya sehelai gaun tetapi beliau berkeras tidak mahu memakainya.

"Saya sampai menangis sebab rasa tak cool nak kena pakai gaun atau skirt. Saya lebih selesa dengan hanya berseluar. Tapi, pakai lah juga gaun tu sebab terpaksa.

"Layanan mak ayah terhadap kami adik-beradik adalah sama, tak ada beza antara lelaki dan perempuan. Saya bukan manja, jadi kena marah atau rotan tu perkara biasa," katanya.

Selain mendaki dan berlari, Rara juga gemar berbasikal.

Semasa di sekolah rendah, mata Rara nyaris buta dalam satu insiden semasa abangnya hendak mengait buah rambutan di pokok sehingga pengait itu terjatuh, menyebabkan dia terpaksa dimasukkan ke hospital dan menerima jahitan di muka.

Semasa umurnya 20 tahun, cerita Rara, dia pernah terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah van semasa menunggang motosikal ke kolej pada awal pagi.

"Alhamdulillah, saya tidak cedera teruk cuma luka pada kaki kanan. Tapi sebab saya lasak sejak kecil, jadi luka dan parut di badan tu dah jadi kebiasaan," tambahnya.

Rara juga membiasakan diri dengan aktiviti lasak apabila bersama rakyat.

Rara berkata, beliau aktif menyertai badan beruniform kadet bomba di sekolah, sekali gus membiasakan dirinya dengan aktiviti hutan dan perkhemahan.

"Bomba ni memang dekat dengan jiwa saya. Dulu saya belajar kursus kejururawatan pun kerana badan beruniform. Kalau tak jadi wakil rakyat, cita-cita antara jururawat atau bomba jadi pilihan," katanya yang pernah menjalani latihan amali kejururawatan di Hospital Bahagia di Tanjung Rambutan di Ulu Kinta, Perak pada 2012.

Sentiasa senyum dan tenang apabila menziarahi atau mengadakan pertemuan bersama rakyat.

Walaupun sukar mengalirkan air mata, tetapi mudah simpati melihat orang tua yang sakit, orang kurang upaya (OKU) dan golongan yang kurang berkemampuan.

"Luaran saja nampak kasar dan susah nak menangis, tapi saya sensitif dan mudah kesian. Jadi, setiap kali saya turun ke kawasan berjumpa rakyat memang saya mudah kesian dengan orang. 

"Saya senyum, cuba tenangkan orang tu. Tak boleh tunjuk muka sedih sebab mereka sudah terbeban. Saya rasa ada satu tanggungjawab yang besar untuk bantu mereka," katanya.

Ketari, Rara, Young Syefura Othman

Artikel Lain