suria

Gila-gila orangnya, Sean LJE dedah sering bawa boxer Batman ke luar negara sebab rasa selamat

Biarpun kelihatan sentiasa ceria dan 'gila-gila' di Instagram, Sean juga memiliki sisi serius dalam kehidupannya. -foto Azman Ghani

BERMULA sebagai Youtuber sekitar lima tahun lalu, langkah Sean LJE dalam menawan hati peminat di negara ini ternyata membawa tuah buat dirinya.

Kini, pemilik nama Sean Lee Jia Ern itu berjaya mengembangkan bakat yang dimiliki sehingga memegang portfolio sebagai usahawan, pelakon dan pengacara.

Cukup dikenali dengan aksi yang sempoi, bersahaja dan kelakar dalam kalangan lebih 130,000 pengikutnya di laman Instargram, Sean mengakui dia juga memiliki sisi serius yang jarang dipaparkan kepada umum.

“Saya adalah insan sama di dalam media sosial dan di dunia nyata. Orang tengok saya gila-gila, suka bergurau dalam Instagram, begitu juga di luar.

“Tapi tengok mood dan situasi juga. Kalau tak ada kamera, saya lebih suka buat hal sendiri. Ia tidak bermakna saya buat karakter lain, ia tetap saya. Tapi kadang-kadang saya serius juga,” ujar jejaka berusia 25 tahun itu kepada mStar Online.


Ujar Sean, ada kalanya dia juga serius.

Memiliki hubungan yang rapat dengan peminat, anak kelahiran Subang Jaya, Selangor itu berkata, dia sebolehnya mahu memberikan yang terbaik buat mereka yang tidak pernah jemu menyokong kerjaya seninya.

Malah, dia juga aktif membalas komen-komen serta posting kumpulan peminat yang menggelarkan diri mereka sebagai Ljens di laman Instagram.

“Walaupun kadang-kadang penat dengan kerja, saya cuba respon apabila mereka komen dan tag, cuba repost balik di IG Story.

“Mereka luangkan masa untuk bantu saya, jadi itu cara saya untuk balas balik jasa mereka. Artis tak akan ke mana tanpa peminat,” ujarnya lagi.

Mengulas popularitinya yang sedang meledak dalam kalangan peminat berbangsa Melayu, Sean menganggap perkara itu sebagai rahmat buatnya.

Jauh di suduh hati Sean, dia mahu kehadiran dirinya menjadi jambatan untuk penyatuan antara kaum di negara ini.

Sean komited dalam memberikan yang terbaik buat peminat setianya.

“Bukan sahaja peminat Melayu, dalam kalangan bangsa lain pun ada. Mereka ibarat rahmat untuk saya.

“Menjadi individu berbangsa Cina dalam industri orang Melayu, harapnya kehadiran saya menjadi jambatan untuk perpaduan di negara ini. Kita semua sama sahaja tanpa mengira bangsa,” ujarnya.

Bercakap mengenai dirinya, Sean berkata dia suka meneroka negara luar dan setakat ini dia sudahpun menjejakkan kaki ke Jepun, Korea, Macau, Australia, Finland dan beberapa negara lain.

Sean memberitahu dia sering membawa boxer Batman seperti ini setiap kali melancong ke luar negara. Gambar hiasan - Google

Mengulas pengalaman itu, Sean 'membuka mulut' mengenai satu item yang wajib dibawa bersamanya setiap kali melancong ke negara orang.

Seperti mana-mana individu lain yang mempunyai bantal busuk masing-masing, begitu juga dengan Sean.

Namun jangan terkejut kerana ia bukanlan sebuah bantal, sebaliknya boxer Batman pemberian ahli keluarganya, beberapa tahun lalu.

Sean mahu melancong ke AS jika berkesempatan suatu hari nanti.

“Saya ada satu boxer Batman, saya anggap macam bantal busuk. Saya akan bawa setiap kali melancong walaupun tak pakai.

“Saya letak je dalam beg pakaian, tak adalah hidu atau bawa tidur pun. Tapi ia buat saya rasa selamat.

“Mungkin sebab saya membesar dengan boxer itu. Dulu saya pakai ia agak besar, sekarang dah OK. Mungkin juga sebab saya tak ada benda lain nak dijadikan sebagai bantal busuk. Tapi ia ada nilai untuk saya,” kata Sean lagi.

Antara impian Sean yang masih belum dicapai, dia mahu melancong ke Amerika Syarikat (AS) untuk merasai sendiri apa yang sering diperkatakan mengenai negara itu.

Selain pengacaraan dan lakonan, Sean juga mengusahakan sebuah kafe di Bandar Sunway, Selangor.

Cukup mengagumi Zac Efron, Justin Bieber dan Jihan Muse, Sean pernah membintangi drama My Coffee Prince, Keluarga Pontimau dan Bimbi & Bonni Misi 007.

Selain itu, dia turut diberi peluang mengacarakan program Travel Beat, Entinsiti dan Jom Dooit serta mengusahakan sebuah kafe yang dikenali sebagai Atap Rooftop, Bandar Sunway, Selangor.

Sean LJE, Youtuber, bantal busuk, boxer

Artikel Lain