suria

"Banyak kali saya jatuh..." - Dua kaki dipotong, pemuda ini nekad jadi pemain skateboard profesional

Fakrulradzi tidak menjadikan kekurangannya sebagai penghalang untuk bergelar pemain papan luncur profesional.

KEHILANGAN kedua-dua belah kaki sejak berusia enam tahun tidak menghalang Mohamad Fakrulradzi Zahari untuk meneruskan cita-citanya untuk bergelar seorang pemain papan luncur profesional.

Pemuda berusia 22 tahun itu berkata, dia bercita-cita untuk menjadi pemain orang kelainan upaya (OKU) terkenal dunia dan tiada apa dapat menghalangnya.

Bercerita mengenai kakinya yang dipotong, Fakrulradzi berkata, sejak lahir lagi keadaan pergelangan kakinya seperti berada dalam keadan terlipat selain menyifatkan kakinya tidak kelihatan seperti kaki manusia normal.

ARTIKEL BERKAITAN: Berlaku detik cemas... tapi siapa sangka lelaki 'takut tinggi' ini akhirnya berjaya ukur pokok tertinggi dunia

ARTIKEL BERKAITAN: Masih sedap mata memandang... Wow! Ini 10 personaliti lelaki 'mengancam' walau usia lebih 40 tahun

"Saya tidak pernah bertanya lanjut mengenai keadaan saya kepada ibu bapa. Saya cuma tahu kaki saya tidak dapat menampung saya dan ia perlu dipotong.

Fakrulradzi mula aktif bermain papan luncur sejak 2016.

"Saya mengambil masa untuk menyesuaikan keadaan dan akhirnya menerima takdir ketika usia saya mencecah 10 tahun," katanya.

Fakrulradzi memberitahu minatnya terhadap papan luncur bermula apabila dia secara tidak sengaja menonton video dua atlet sukan itu yang juga OKU.

"Italo Romano dan Felipe Nunes juga mengalami kekurangan seperti saya tetapi ia tidak pernah membuatkan mereka melupakan papan luncur.

"Apabila saya melihat mereka meluncur dan memenangi pertandingan saya beritahu diri saya perlu mencuba dan akhirnya saya cuba buat pertama kali pada 2016.

"Ia tidak mudah dengan keadaan saya macam ni. Banyak kali saya jatuh disebabkan hendak belajar teknik baharu tetapi ia sangat berbaloi," ujarnya yang mendapat sokongan keluarga dan rakan-rakan.

Papan luncur mengajar saya banyak perkara termasuk nilai persahabatan dan bagaimana untuk menjadi seorang insan yang sabar dalam mengejar impian.

MOHAMAD FAKRULRADZI ZAHARI 

Dalam pada itu, Fakrulradzi berharap akan ada lebih banyak kemudahan untuk OKU sepertinya bagi memudahkan dia menjalani latihan dan bergerak menggunakan papan luncur.

"Saya mahu meluncur, berjalan-jalan di sekitar bandar tetapi keadaan jalan raya dan kekurangan kemudahan untuk OKU membuatkan saya tiada pilihan selain meminta keluarga dan rakan membawa saya untuk ke mana-mana," katanya yang baharu sahaja menerima diploma dalam bidang Multimedia.

Sedang mencari kerja, Fakrulradzi memberitahu buat jangka masa pendek dia bercadang untuk memulakan perniagaan menjual barangan preloved bagi mengumpul wang untuk mencapai cita-citanya.

"Papan luncur mengajar saya banyak perkara termasuk nilai persahabatan dan bagaimana untuk menjadi seorang insan yang sabar dalam mengejar impian.

"Saya harap dapat bertemu dengan Romano dan Nunes suatu hari nanti dan berbual dengan mereka tentang papan luncur dan kehidupan mereka," ujarnya.

Fakrulradzi, papan luncur

Artikel Lain