suria

Seni pop Argadol bukan sekadar nampak ceria tapi sarat mesej tersirat

Argadol merupakan artis seni dari Perancis. - Gallery des Artistes

KETIKA pelukis pop dan jalanan dari Perancis, Argadol berada di ibu negara awal bulan ini, dia hanya mempunyai 30 minit untuk menarik perhatian ramai yang lalu-lalang ketika melakukan demonstrasi karya seninya.

Sejurus masa tamat demonstrasi yang berlangsung di Pavilion Kuala Lumpur pada tengah hari Sabtu lalu,  Argadol berjaya menghasilkan lukisan Mona Lisa dengan gaya rambut mohawk.

Senyuman misteri yang sinonim dengan Mona Lisa juga dikekalkan, tetapi wanita 'ayu' itu menunjukkan simbol tangan rock on.

Namun, tiada yang misteri dalam mesej yang hendak disampaikan oleh pelukis itu.

Karya Mona Lisa Pwr yang dilukis di atas kanvas ini dipamerkan di Gallery des Artistes. - Gallery des Artistes

Argadol dikenali dengan karyanya yang menampilkan watak adiwira atau ikon dalam keadaan ceria dan berani.

"Bila orang melihat karya saya, kebanyakan mereka fikir ia tentang seni yang menggembirakan.

"Tetapi, saya bukan seorang yang optimis dan apa yang saya ingin sampaikan mempunyai mesej yang mendalam.

"Semua hasil kerja saya mempunyai sempadan dan drip hitam sebagai menandakan sisi hitam kemanusiaan," katanya.

Jika anda ingin melihat lebih banyak karya Argadol, anda boleh berkunjung ke Alliance Francaise de Kuala Lumpur sehingga 11 Mei ini.

Selepas tempoh itu, pameran seninya yang berjudul A Brave New World  boleh disaksikan di Gallery des Artistes, Tropicana di Petaling Jaya, Selangor sehingga akhir Ogos depan. - Star 2

Argadol

Artikel Lain