KEMUNCULAN Nor Farhatul Fairuzah Panut menyertai pertandingan Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-61 (MTHQA61) baru-baru ini mencetuskan fenomena luar biasa dalam kalangan penonton. Gadis berusia 19 tahun itu bukan sahaja bergelar johan, namun kemenangannya itu telah menarik minat golongan muda menonton pertandingan itu selain mendekati al-Quran. Farhatul menjadi sebutan dan perbualan terutamanya di media sosial apabila ramai kagum dengan kelunakan suaranya bertaranum. ARTIKEL BERKAITAN: Kenali wanita tunggal 'Skuad King Kobra', tugas dorong Fazida tangani perasaan takut ARTIKEL BERKAITAN: “Kalau ada barang hilang kami sekeluargalah dituduh mencuri” - Alha Alfa dedah perit hidup miskin selepas hadiahkan ibu kereta Merc Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim (kiri) berkenan menyampaikan hadiah kepada Farhatul. Foto BERNAMA Sebenarnya, sejak berada di tingkatan lima lagi, Farhatul sering berkongsi minatnya terhadap seni taranum di Instagram yang turut memberi inspirasi kepada pengikutnya. Tidak hairan, Farhatul mempunyai lebih 100,000 pengikut di laman sosial itu dan menggunakan medium berkenaan sebaiknya dalam menarik minat golongan remaja untuk mencintai al-Quran. "Alhamdulillah setakat ini saya sudah menguasai tujuh jenis taranum antaranya Nahawand, Rast, Hijaz, Bayyati serta Sikah namun ia juga satu proses pembelajaran yang berterusan. "Idea memuat naik video bacaan al-Quran berserta taranum itu juga sebenarnya adalah idea dan permintaan rakan-rakan di Instagram. "Pada saya tidak salah berkongsi dengan pengikut kerana daripada situ juga saya dapat banyak pertanyaan mengenai bacaan yang betul, cara melagukan taranum selain ada meminta menyemak tajwid. Selain lagu berbahasa Arab, Farhatul gemar mencari tempat makan baru bersama ibunya. "Alhamdulillah daripada tidak tahu ramai mendapat ilmu dalam memperbaiki bacaan dan belajar teknik yang betul," katanya kepada mStar ketika dihubungi baru-baru ini. Gemar dengar lagu berbahasa Arab Namun siapa menyangka, pelajar Tingkatan Enam (Atas) jurusan Syariah Sekolah Menengah Agama Perempuan Labu, Negeri Sembilan itu gemar mendengar lagu-lagu berbahasa Arab pada masa lapangnya. Katanya, dia menggemari lagu Arab bukan sahaja kerana keunikan melodinya tetapi ia mempunyai banyak persamaan daripada segi sebutan dan taranum yang boleh diaplikasikan dalam bacaan al-Quran. "Bukan itu sahaja , mendengar lagu Arab dapat membantu saya menyebut perkataan digunakan dengan betul, selain menambahkan kosa kata dalam bahasa itu," ujarnya yang menggemari lagu-lagu dendangan penyanyi veteran Mesir, Umm Kulthum. Keluarga dan ibunya, Jaliah Simin pendorong utama Farhatul. Farhatul juga memberitahu selain lagu Arab dia juga gemar mencuba pelbagai makanan bersama ibunya yang juga seorang qariah, Jaliah Simin, 63, sekiranya mempunyai waktu lapang. "Pada hujung minggu biasanya saya gemar menghabiskan masa bersama ibu mencari tempat-tempat makan kerana kami memang suka mencuba menu baru," katanya. Luang masa 15 minit baca al-Quran selepas solat Berkongsi tentang minatnya terhadap al-Quran, Farhatul berkata, sejak kecil lagi dia bersama empat lagi adik-beradiknya sudah dididik oleh ibu bapa mereka, Allahyarham Panut Markum untuk membaca kitab suci itu selepas menunaikan solat Subuh. Malah katanya, dia juga akan meluangkan masa selama 15 minit untuk membaca al-Quran setiap kali selepas menunaikan solat atau pun sebelum melakukan sebarang aktiviti bersama rakan-rakan. Insya-Allah saya ingin teruskan legasi kedua ibu bapa dengan mengajar anak-anak kecil termasuk remaja atau golongan dewasa yang ingin mendalami al-Quran dan pengajian taranum. NOR FARHATUL FAIRUZAH PANUT Johan Qariah Tilawah dan menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-61 (MTHQA61) "Minat mendalam terhadap al-Quran serta mempelajari taranum adalah daripada dorongan ibu bapa saya sejak kecil lagi. "Kebiasaannya saya akan berlatih di rumah selepas solat Subuh kerana itu adalah waktu paling baik untuk membaca dan 'memecahkan' suara. "Alhamdulillah atas didikan sejak kecil itu, saya sudah terbiasa dan menjadikan amalan dan sentiasa akan mencari waktu membaca al-Quran tidak kira di mana saya berada," ujarnya. Untuk rekod, Farhatul sebelum ini pernah menjuarai Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan untuk empat tahun berturut-turut iaitu 2014 hingga 2017. Selain itu, Farhatul juga pernah bergelar johan Tilawah Sekolah Rendah Pulau Pinang (2011) dan dipilih sebagai Tokoh Kokurikulum Sekolah Peringkat Negeri dan Kebangsaan. Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud (dua, kiri) berkenan menyampaikan hadiah kepada Farhatul selepas dia bergelar johan Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) 2019 pada Mac lalu. - Foto BERNAMA Walaupun masih muda, Farhatul memberitahu dia mempunyai banyak perancangan termasuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Syariah dan pengajian al-Quran selepas ini. Selain itu, dia juga berhasrat untuk meneruskan legasi kedua ibu bapanya yang membuka kelas mengaji al-Quran di rumah mereka. "Ilmu yang ada ini Insya-Allah saya ingin kongsikan dengan orang lain dalam pada masa sama memberi inspirasi dalam menjadikan al-Quran bukan sahaja sebagai panduan hidup tetapi terapi diri. "Insya-Allah saya ingin teruskan legasi kedua ibu bapa dengan mengajar anak-anak kecil termasuk remaja atau golongan dewasa yang ingin mendalami al-Quran dan pengajian taranum," ujarnya.