suria

Tugas doktor perlu 'lurus', Dr Irma buka syarikat kosmetik dan pengurusan artis

Dr Irma memberitahu dia tidak mempunyai masalah melakukan pelbagai tugas dalam satu masa kerana minat.

KELIBAT wanita tinggi lampai berbaju kurung moden merah jambu menarik perhatian ramai dek kerana penampilannya yang lincah melayan tetamu di majlis meraikan anak yatim Pusat Jagaan Lambaian Kasih, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bukan sahaja kerana kelincahannya tetapi karisma yang ada pada wanita itu membuatkan ramai yang mahu mengenali dan mengetahui kisahnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Berani mencuba! Itu tip kerjaya di lapangan, "Saya terpaksa makan daging ikan paus" - Pengarah Seni Nat Geo Asia

Benarlah kata orang, tak kenal maka tak cinta... Perbualan dengan Dr Irma Shida Abu Samah banyak membuka mata dan wanita berasal dari Johor Bahru itu bukan sekadar berkarisma tetapi banyak lagi yang menarik tentang dirinya.

Dr. Irma mempunyai pengalaman selama 15 tahun sebagai doktor perubatan.

Dr Irma adalah seorang doktor perubatan yang juga pengasas produk kecantikan di bawah jenama Dr Irma Skincare & Cosmectic serta pemilik syarikat pengurusan artis Dr Irma Entertainment.

"Pada saya tiada apa yang pelik memiliki banyak tanggungjawab asalkan gembira dengan apa yang dilakukan.

"Apabila kita buat perkara yang kita suka, ia memberi satu kepuasan dan membuatkan kita ingin lebih berjaya berbanding hari sebelumnya," katanya yang mempunyai pengalaman selama 15 tahun sebagai doktor gigi.

Jadi doktor perlu 'lurus'

Tidak cukup dengan itu, Dr Irma juga memberitahu dia turut menguruskan klinik pergigian bersama suami, Dr Mohd Yufi Ariandi Mohd Yusoff, 39, yang dibuka di Johor Bahru.

Katanya, walaupun mempunyai beberapa cabang perniagaan namun dia tetap meneruskan kariernya sebagai doktor kerana itu adalah fokus utamanya.

Bersama dua anaknya, Puteri Luna (kiri) dan Puteri Mulan.

"Tiada alasan kenapa saya perlu tinggalkan karier sebagai doktor walaupun mempunyai banyak cabang perniagaan lain kerana bidang perubatan adalah jiwa saya.

"Selebihnya saya anggap sebagai minat kerana tugas doktor ini sebenarnya 'lurus' dan mengikut rutin.

"Jadi sebab itu saya mahu keluar sikit daripada laluan itu yang banyak peraturan dan prosedur yang tidak boleh dilanggar," katanya.

Terlibat dalam bidang seni kerana bakat sebagai komposer

Selain tugas di klinik dan menguruskan produknya, Dr Irma berkata, dia mula berjinak-jinak dalam bidang hiburan sejak dua tahun lalu kerana minat dan kebolehannya mencipta lagu.

Jelas ibu kepada dua cahaya mata ini, dia tidak mahu mensia-siakan bakat yang ada dan sebab itu dia mengambil keputusan membuka Dr Irma Entertainment yang kini mempunyai tiga penyanyi di bawah pengurusannya.

Dr Irma mempunyai bakat besar sebagai komposer. 

"Saya suka explore benda baharu dan memilih bidang hiburan kerana ia boleh membuatkan saya meluahkan perasaan dalam penulisan lagu.

"Saya gemar mendengar lagu balada dan apabila menggubah lagu juga saya lebih cenderung mencipta lagu genre itu kerana saya suka perasaan yang ada dalam muzik," jelasnya.

Lebih mengagumkan, Dr Irma mencipta sendiri lagu-lagu untuk penyanyi di bawah naungannya iaitu Ray Asri, Jiha Akhir dan Akmar Natasha.

Menyedari persaingan sengit dalam industri hiburan, Dr Irma bagaimanapun memberitahu dia tetap optimis dalam mengetengahkan tiga bakat baharu syarikat pengurusannya.

"Ada yang suka dan sebaliknya itu adalah lumrah tapi yang paling penting jangan ada sifat putus asa dalam diri dan itu juga saya sering beritahu artis saya. Ini adalah permulaan dan anda akan nampak lebih banyak Dr Irma selepas ini," katanya.

Dr Irma, kecantikan, doktor gigi, hiburan

Artikel Lain