suria

Mewarisi skil menjahit daripada ibu, pemuda ini gigih hasilkan patung gunakan stoking

Lean bersama patung yang dihasilkannya menggunakan stoking.

GRADUAN pereka grafik, Lean Chin Keong bukan seorang lelaki biasa yang gemar melakukan aktiviti lasak seperti bersukan atau bermain permainan video.

Tetapi jejaka berusia 31 tahun ini gemar menjahit. Ya! Menjahit patung pelbagai karakter dengan hanya menggunakan sarung kaki.

Cerita Lean, dia mula minat terhadap seni menjahit apabila secara tidak sengaja terbaca mengenai teknik menghasilkan patung daripada sarung kaki dan cubaannya untuk menghasilkan patung mainan telah berjaya.

ARTIKEL BERKAITAN: Berani mencuba! Itu tip kerjaya di lapangan, "Saya terpaksa makan daging ikan paus" - Pengarah Seni Nat Geo Asia

Kata Lean, dia hanya menggunakan stoking biasa yang dipakai seharian untuk menghasilkan pelbagai jenis patung mengikut kreativitinya.

"Saya selalunya guna stoking biasa dalam pelbagai saiz, material dan warna... Kepelbagaian jenis stoking memberi hasil yang berbeza.

Comel... Antara hasil kerja Lean.

"Kalau guna stoking kanak-kanak boleh buat patung kecil... Semuanya bergantung kepada rekaan dan kreativiti," ujarnya.

Bagi memberikan visual menarik kepada patung yang dihasilkan, Lean menambah reben dan butang sebagai aksesori untuk tampil lebih realistik.

Jadikan hobi buat patung sebagai perniagaan

Melihat kepada potensi patungnya boleh dipasarkan, Lean memberitahu dia ada membuka gerai jualan dua kali sebulan untuk menjual hasil kerjanya selain mendapatkan pendedahan.

Pada musim perayaan atau percutiaan, dia biasanya akan membuka gerainya lebih kerap kerana jualan akan meningkat.

"Saya tidak boleh selalu buka gerai jualan kerana memerlukan masa untuk menyiapkan patung dan kebiasaannya saya dapat jual 10 patung kepada pelanggan... kalau sedang musim perayaan atau percutian saya dapat jual 60 patung," katanya.

Belajar menjahit daripada ibunya, Lean kini sudah menjual 1,000 patung stoking.

Lean yang mempunyai pekerjaan tetap memberitahu dia mula menghasilkan dan menjual patung stoking sejak empat tahun lalu dibawah jenama Kakilang Handmade  sehingga kini dia sudah menjual lebih 1,000 hasil seninya.

Laman Facebook Kakilang Handmade juga setakat ini mendapat lebih 3,000 tanda suka termasuk di Instagram.

Bercakap mengenai kebolehannya menjahit, Lean memberitahu dia mewarisi bakat itu daripada ibunya yang juga seorang tukang jahit.

"Ibu saya banyak menjahit baju kurung dan ketika berusia 10 tahun, ibu mengajar saya menjahit beg batu seremban menggunakan kain perca," jelasnya.

Hasilkan patung stoking perlukan kesabaran


Antara hasil kerja Lean. 

Membuat permainan patung tersebut bukan perkara main-main sebaliknya kata Lean ia memerlukan kerja keras dan ketelitian.

"Proses itu sebenarnya bermula dengan lakaran atas kertas yang selalunya mengambil masa sejam. Selepas itu baru proses menjahit yang biasanya mengambil sehingga dua jam untuk menyiapkan patung yang biasa atau empat jam untuk rekaan kompleks," katanya.

Ketika mula-mula berjinak dalam bidang itu, Lean memberitahu dia pada awalnya hanya mampu menyiapkan tiga patung sahaja setiap hari, namun apabila kemahirannya bertambah baik lebih banyak patung dapat disiapkan.

Mungkin hobinya itu tidak memberi pulangan lumayan namun kata Lean hasil daripada jualan patung itu menjadi tabungannya ketika berdepan waktu sukar.

Lean Chin Keong, Patung Stoking

Artikel Lain