KELUHAN penat serta mengantuk daripada kenalan wanita ketika mengikuti rombongan media ke Negeri Sembilan anjuran Tourism Malaysia baru-baru ini tiba-tiba lenyap saat sampai ke Eagle Ranch Resort, Port Dickson. Mana tidaknya, mata bukan sahaja tertumpu kepada keindahan dan keunikan lokasi percutian yang mengetengahkan konsep ladang, tetapi turut terpukau dengan ketampanan seorang jejaka berbaju kotak dan berseluar jean lengkap bertopi 'cowboy' menyambut rombongan kami di lobi hotel. ARTIKEL BERKAITAN: Siapa kata Port Dickson hanya 'best' mandi pantai? Ini 8 lokasi menarik lain yang boleh anda teroka "Kacaknya! Segar rasa mata," terdengar usikan nakal daripada salah seorang peserta rombongan sejurus terlihat kelibat jejaka itu yang sentiasa tersenyum mengalu-alukan kedatangan kami. Wajah kacak Greg membuatkan dia sering menjadi tumpuan. Lelaki itu memperkenalkan dirinya sebagai Greg Tee itu rupa-rupanya adalah pengurus besar resort berkenaan; bukan sahaja kacak tetapi baru berusia 28 tahun! Ditanya sama ada dia sering mendapat usikan daripada tetamu, Greg hanya tersenyum - sudah cukup memberi jawapan. Namun lelaki kacukan Cina-Serani ini cukup petah dalam menerangkan selok-belok resort berkenaan malah kelihatan sangat berpengalaman berbanding usia sebenarnya. Greg memberitahu dia mula menguruskan tempat itu sejak empat tahun lalu bersama bapanya, Jimmy Tee dan beberapa rakan kongsi lain selepas menamatkan pengajian dalam bidang perhotelan di Montreux, Switzerland. Bapa Greg,Jimmy Tee adalah sumber inspirasi terbesarnya dalam bidang perniagaan. "Sejak kecil inilah 'playground' saya. Banyak memori yang saya cipta di sini bersama keluarga dan rakan-rakan jadi tidak kekok pun apabila perlu menguruskan resort ini. "Kebetulan ibu bapa memang banyak mendedahkan tentang dunia perniagaan dan perhotelan sejak kecil dan minat itu datang secara semulajadi. Sebab itu juga saya memilih kursus dalam bidang berkaitan bagi menyambung legasi sedia ada," katanya. Pada usia masih muda, Greg bagaimanapun tidak menafikan bukan mudah menguruskan sebuah resort kerana ia datang dengan pelbagai cabaran berbeza setiap hari. Namun, Greg tidak pernah melihatnya sebagai bebanan kerana baginya itu adalah peluang dia memperbaiki diri serta mempelajari kesilapan daripada setiap masalah yang timbul. Jika kita lari dari masalah ia tidak akan menyelesaikan apa-apa sebaliknya lihat ia sebagai peluang untuk belajar dan timba ilmu daripadanya. GREG TEE Pengurus Besar Eagle Ranch Resort, Port Dickson "Perjalanan saya masih jauh tetapi sepanjang tempoh ini saya belajar bahawa dalam bidang perniagaan kita perlu ada ketabahan dan jangan mudah lari dari realiti. "Jika ada masalah dan kita lari daripadanya ia tidak akan menyelesaikan apa-apa sebaliknya pandang sesuatu perkara negatif itu sebagai peluang kita belajar dan timba ilmu daripadanya," ujarnya yang turut menggemari sukan berkuda dan paintball. Di sebalik kekuatannya itu, Greg memberitahu tunjang utamanya adalah bapanya sendiri yang disifatkan sebagai seorang yang cukup berpengalaman dalam selok-belok perniagaan. Kata Greg, dia sentiasa memandang tinggi bapanya itu terutamanya dalam aspek komunikasi dengan pekerja di resort yang menjadi tunjang utama dalam sesebuah perniagaan. Greg dan Jimmy berganding bahu menguruskan Eagle Ranch Resort di Port Dickson. "Dalam banyak-banyak perkara, saya banyak belajar cara dia berkomunikasi dengan orang lain kerana apabila dia berkata sesuatu orang akan dengar dengan penuh minat. "Saya bertuah kerana mempunyai bapa sepertinya kerana pelbagai ilmu dapat saya kutip bagi melancarkan perjalanan resort ini," katanya. Tambah Greg, dia juga sentiasa memastikan hubungan akrab dengan bapa serta keluarga dijaga kerana percaya ia antara nilai penting untuk seseorang itu berjaya. "Tanpa sokongan keluarga percayalah anda tidak akan ke mana, ia antara aspek yang perlu kita jaga sekiranya mahu berjaya," ujarnya. Walaupun boleh dianggap sudah berjaya dalam karier namun Greg percaya perjalanan hidupnya masih panjang.