suria

Cecah usia 80 tahun Tan Sri Azman kongsi rahsia kekal ‘fit’, mahu beri hadiah birthday untuk diri sendiri

Tan Sri Azman Hashim menghiburkan hadirin pada majlis sambutan hari jadinya yang ke-80 baru-baru ini. Foto SHAARI CHE MAT

MAJLIS sambutan ulang tahun ke-80 Pengerusi Kumpulan AmBank, Tan Sri Azman Hashim yang diadakan baru-baru ini cukup meriah.

Mana tidaknya, Azman bukan sahaja diraikan oleh kaum keluarga dan sahabat handainya malah beliau tampil bersama kumpulan Orkestra Universiti Malaya (UM) yang dikenali sebagai 'The Big Band' bagi menghiburkan hadirIn pada majlis itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan malas! Jurugambar wanita pertama Jepun masih aktif rakam foto pada usia 104 tahun

Ia bukan perkara pelik kerana figura ini memang terkenal dengan bakatnya dalam bidang nyanyian selai menggemari muzik blues dan jazz terutamanya daripada artis seperti Nate King Cole, Harry Warren, Paul Anka dan Cole Porter.

"Barangkali ini adalah kelebihan yang saya miliki... pada majlis seperti ini saya tidak perlu mengupah penyanyi lain kerana saya sendiri boleh menghiburkan anda," katanya secara bergurau.

Azman bersama isteri, Tunku Arishah Tunku Maamor serta ahli keluarga memotong kek hari jadi.

Namun di sebalik kelincahannya itu, Azman memberitahu pada usianya kini dia tidak pernah merasakan dirinya seorang yang tua kerana masih bersemangat dalam melakukan aktiviti hariannya.

"Apa rasanya berusia 80 tahun? Syukur, Alhamdulillah saya rasa sama malah sentiasa rasa bertenaga dan bersemangat untuk melakukan semua perkara yang biasa saya lakukan.

"Betullah kata orang, age is just a number. Jika anda rasa muda, itulah akan anda rasai dan begitulah sebaliknya," ujarnya.

Mahu daki Gunung Kinabalu sempena 80 tahun!

Azman juga mendedahkan beliau juga memasang impian untuk kembali menakluk puncak Gunung Kinabalu sebagai hadiah hari jadinya tahun ini.

Beliau yang pertama kali mendaki gunung tertinggi di Asia Tenggara itu ketika hari jadinya yang ke-71 pada 2010 pernah berazam untuk kembali ke gunung itu apabila usianya mencecah 80 tahun.

Azman mengadakan persembahan bersama UM The Big Band. 

"Ketika berada di puncak Gunung Kinabalu hampir sepuluh tahun lalu saya berazam untuk kembali pada hari jadi saya yang ke-80.

"Sepatutnya saya mahu sambut hari jadi saya di sana tahun ini namun atas beberapa halangan saya tangguhkan dan Insya-Allah akan realisasikan impian itu dalam masa terdekat ini," katanya.

Berkongsi mengenai amalannya, Azman memberitahu tidak mempunyai sebarang petua tertentu bagi mengekalkan kesihatannya namun sentiasa memastikan dirinya bergerak aktif setiap hari.

"Saya sentiasa sibukkan diri, banyak perkara yang perlu dilakukan setiap hari... masih ada perkara yang perlu dan mahu saya lakukan.

"Alhamdulillah sokongan rakan sekerja, keluarga dan sahabat handai dalam perjalanan hidup saya juga membuatkan saya sentiasa dikelilingi dengan perkara positif," jelasnya.

Bersama anak bongsunya, MizzNina dan menantu Noh Salleh.

Cikgu Bedah, isteri paling istimewa

Di sebalik itu juga kata Azman, kegigihannya itu juga datang daripada didikan Allahyarham ibunya, Zabedah Shahid yang juga dikenali sebagai Cikgu Bedah yang sangat mementingkan disiplin dan pelajaran kesemua 13 adik-beradiknya.

Kata Azman, ibunya adalah insan yang paling disanjunginya kerana dedikasi dan pengorbanan wanita itu tiada galang ganti yang meletakkan dirinya pada hari ini.

"Ibu banyak membuat pelbagai pengorbanan, hidup kami sekeluarga bukan senang tetapi beliau akan sentiasa memastikan keperluan kami semua lengkap.

"Tugasnya sebagai seorang guru di Sekolah Perempuan Kampung Baru juga membuatkan dia sangat tegas dan pentingkan pendidikan.

"Jika tidak kerana dedikasi dan ketegasannya dalam memastikan kami mendapat pendidikan barangkali saya sendiri tidak berada di mana saya berada sekarang," ujarnya.

Anak-anak Azman memberikan ucapan menyentuh perasaan pada hari jadi bapa mereka. 

Malah kata Azman, isterinya, Tunku Arishah Tunku Maamor juga banyak memainkan peranan dalam kejayaannya dengan memberi sokongan dan pembakar semangat sejak mereka berkahwin sekitar 56 tahun lalu.

"Beliau adalah pengkritik dan insan yang membuatkan saya gembira setiap hari. Beliau penyokong setia saya malah tidak pernah mempersoalkan setiap keputusan besar dan berisiko yang pernah saya buat dalam kerjaya saya.

"Paling penting kerana beliau juga saya sentiasa berasa muda," katanya.

Pada majlis sama, empat anak beliau iaitu Shahman, Sharinaz, Shalina dan Shazrina (MizzNina) turut memberikan ucapan menyentuh hati buat bapa mereka.

"Rasanya ini kali pertama saya mendengar kata-kata dari hati mereka secara terbuka seperti majlis hari ini dan sebagai bapa saya sangat menghargainya dan berbangga dengan pencapaian mereka," ujarnya.

Artikel Lain