suria

Dua gadis Papua catat sejarah, jadi individu pertama bergelar juruterbang Garuda Indonesia

Martha Itaar dan Vanda Korisano (kanan) mencipta sejarah apabila bergelar pilot wanita pertama dari Papua.

PEKERJAAN sebagai juruterbang barangkali lebih banyak dipelopori kaum lelaki di Indonesia namun dua gadis dari Papua iaitu Vanda Korisano dan Martha Itaar mencatat sejarah tersendiri dalam industri penerbangan di negara mereka.

Mereka menjadi dua individu pertama dari Papua yang diterima bekerja sebagai juruterbang di syarikat penerbangan utama negara, Garuda Indonesia.

ARTIKEL BERKAITAN : Demi penuhi impian 2 anak, bapa rela jadi 'orang baru' dalam kokpit pesawat

ARTIKEL BERKAITAN : “Jika ada impian, ikut kata hati” - Nor 'Phoenix' Diana tekad beraksi di gelanggang WWE

Vanda dan Marta berkelulusan dari Nelson Aviation College, New Zealand selain menerima biasiswa penuh dari kerajaan Papua sepanjang melanjutkan pengajian di sana.

Lebih membanggakan Marta dan Vanda terpilih sebagai penuntut paling cemerlang daripada 150 penuntut lain di kolej itu.

Malah mereka berdua juga pernah mencatat sejarah apabila menerima anugerah Juruterbang Terbaik Sepanjang Tahun selain memiliki kelayakan dan sijil termasuk Private Pilot License, Commercial Pilot License dan Multi Engine Instrument Rating.


Marta dan Vanda menjadi inspirasi bagi wanita di Papua.

Sejurus menamatkan pengajian di Nelson Aviation College pada Januari 2018, Marta dan Vanda kemudiannya melanjutkan pengajian mereka di Sekolah Penerbangan Ganesha, Jakarta.

Sepanjang tempoh itu, kedua-dua mereka berjaya mendapatkan beberapa lagi lesen seperti yang termaktub dalam syarat ditetapkan termasuk Indonesia DGCA Pilot License.

Ketua Pegawai Eksekutif Garuda Indonesia, Ari Askhara dalam kenyataan kepada media turut melahirkan rasa bangga terhadap pencapaian Marta dan Vanda.

Malah kata Ari, Garuda Indonesia sebenarnya beruntung dapat menggunakan khidmat kedua-dua mereka dalam memantapkan lagi servis syarikat penerbangan itu kepada pelanggan mereka.

"Pencapaian Marta dan Vanda adalah bukti sesiapa sahaja boleh berjaya dalam hidup mereka asalkan ada minat dan usaha mengejar cita-cita," ujarnya.

Dalam pada itu, Ari turut menyifatkan penyertaan kedua-dua mereka adalah aset besar kepada Garuda Indonesia selain berharap pencapaian mereka menjadi pemangkin semangat kepada lebih banyak generasi baharu di Papua untuk berjaya dalam hidup mereka. - TEMPO

Papua, Indonesia, Garuda Indonesia

Artikel Lain