suria

Dilahirkan cacat, namun kanak-kanak 11 tahun ini tak pernah terfikir nak sembunyikan wajahnya kepada dunia

Destiny Strickland yang berusia 11 tahun dilahirkan dengan sindrom Amiotic Band.

TIADA seorang pun manusia di muka bumi ini meminta dilahirkan cacat dan begitu juga dengan kanak-kanak perempuan, Destiny Strickland.

Impian Destiny hanya satu, mengharapkan masyarakat dapat meraikan perbezaan dan keupayaan yang dimiliki oleh setiap orang, bukannya melihat kekurangan mereka.

Berbekalkan harapan itu, Destiny meletakkan sasaran sekurang-kurangnya dapat mendorong orang lain terutamanya yang menerima nasib sepertinya supaya sentiasa bersemangat dan bangga dengan diri sendiri.

ARTIKEL BERKAITAN: Bukan senang nak berjaya! Wanita ini dihalau edar risalah, redah masuk universiti dan jual kereta kesayangan demi RM15,000

Baru berusia 11 tahun, Destiny dilahirkan dengan Amiotic Band Syndrome di mana ia berlaku apabila wanita mengandung mengalami komplikasi kerana jumlah air ketuban dalam rahim terlalu sedikit.

Destiny sudah menjalani 31 pembedahan sejak dilahirkan.

Akibatnya air ketuban tidak menutupi janin sepenuhnya dan sebahagian selaput ketuban rosak sekaligus janin tidak dapat berkembang dengan baik.

Dalam kes Destiny, semasa dilahirkan dia mengalami masalah sumbing yang serius, tidak mempunyai mata kiri dan beberapa kelainan lain.

Sehingga kini, kanak-kanak ajaib itu sudah menjalani 31 pembedahan rekonstruktif pada wajahnya ketika usianya seawal empat bulan.

Pakar Pembedahan Plastik Kanak-Kanak Hospital Atlanta, Dr. Joseph Williams memberitahu walaupun Destiny mempunyai pelbagai masalah pada bahagian fizikalnya namun dia bernasib baik kerana semua kecacatannya itu jelas dan boleh diperbaiki.

Walaupun sudah melalui pelbagai pembedahan, Dr Williams berkata, selepas ini kanak-kanak itu akan menjalani pembedahan bagi mencipta ruang atau soket bagi membolehkan dia memakai mata palsu.

Destiny seorang kanak-kanak yang ceria walaupun mengalami pelbagai komplikasi sejak dilahirkan. 

Sementara itu, nenek kepada Destiny, Lisa Brown memberitahu meskipun demikian, cucunya sangat tabah dan positif namun jauh disudut hatinya tetap berasa sedih apabila masyarakat memandang hina rupa parasnya.

"Pelbagai reaksi dan pandangan yang pernah saya lihat dan dengar apabila mereka melihat Destiny... Sehingga hari ini kata-kata dan pandangan diberikan sangat menghancurkan hati," katanya.

Namun Destiny nampaknya tidak pernah mempedulikan apa yang dikatakan oleh orang lain mengenai dirinya malah dia tidak pernah sekalipun terfikir untuk menyembunyikan kecacatan wajahnya kepada dunia.

Malah ketika ke sekolah, Destiny dengan yakinnya berjalan sendiri masuk ke kelas tanpa ditemani ibu bapanya dan sentiasa bersedia untuk mencari rakan yang ramai.

"Saya mula sedar bukan Destiny yang takut dengan masyarakat atau pandangan orang terhadapnya malah dia tidak pernah menganggap dirinya pelik.

Destiny membuka akaun YouTube bagi berkongsi kisah hidupnya. 

"Syukur rakan-rakannya sangat ramah dan baik terhadap Destiny malah kehadiran dan personalitinya sentiasa disenangi oleh teman-temannya di sekolah," ujarnya Lisa lagi.

Tidak terhenti di situ, Destiny turut mengambil langkah berani dengan mewujudkan akaun di Youtube bagi berkongsi video inspirasi kepada orang ramai tentang kisah dirinya.

Destiny ingin memberi kesedaran kepada orang lain bahawa penampilan atau rupa paras seseorang itu hanyalah satu sisi kecil dalam diri seseorang dan ada perkara lebih penting daripada itu.

"Penampilan dan rupa paras seseorang itu hanya luaran tetapi yang lebih penting adalah apa yang ada di dalam diri mereka kerana itulah menentukan siapa diri mereka yang sebenar," kata Destiny. - GOOD MORNING AMERICA 

Artikel Lain