suria

Bangunan Labuan dihiasi wajah dua figura... kini giliran Hassan Sani dan Uncle Ah Ming diangkat hero negara

Uncle Ah Ming dan pemain bola sepak legenda, Datuk Hassan Sani bersama potret mural masing-masing di Labuan.

SEKITAR Julai lalu sebuah mural gergasi memaparkan seorang lelaki dikenali sebagai Uncel Roti yang dilukis di dinding sebuah bangunan di Balik Pulau, Pulau Pinang tular di media sosial.

Walaupun subjek mural itu bukan figura terkenal atau selebriti, namun dia dianggap hero oleh masyarakat tempatan di Balik Pulau kerana menjual roti kaya sejak 30 tahun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Tok dalang cilik’ sanggup tak makan, tak minum habiskan masa dengan patung wayang kulit

Kisah di sebalik mural itu juga cukup menyentuh hati masyarakat apabila Uncle Roti atau nama sebenarnya Muniandi berjaya membesarkan tiga  anaknya yang kini bergelar doktor, peguam dan bakal jurutera kimia dengan hanya menjual roti.

Pelukis Amir Andhar Abu Samah atau Andharas mengabadikan potret Muniandi bersempena dengan Festival Kesenian Balik Pulau 2019 anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menerusi Balai Seni Negara.

Hassan terkenang pelbagai kisah apabila melihat mural dirinya.

Melihat kepada kejayaan mural itu yang dapat menyentuh hati masyarakat, Balai Seni Negara sekali lagi menggunakan khidmat Andharas, 25, dan seorang lagi pelukis tempatan Nazim Kula, 32, untuk menghasilkan mural di Labuan.

Kali ini pemain bola sepak legenda, Datuk Hassan Sani dan peniaga air cincau terkenal Labuan, Teo Soon Bin @ Teo Soon Ming atau lebih dikenali dengan nama Uncle Ah Ming diangkat sebagai 'hero'.

Hassan Sani imbau potret ketika berusia 18 tahun, kisah rantai MAS

Kedua-dua 'hero' ini cukup ikonik dalam kalangan penduduk tempatan dan sudah tentu Hassan terkenal dengan jolokan 'lipas kudung' ekoran kelincahannya bermain bola sepak.

Mural Hassan yang dilukis oleh Andharas diabadikan di Terminal Feri Antarabangsa Labuan manakala potret Uncle Ah Ming di Jalan Tun Mustapha.

Hassan ketika ditemui melahirkan rasa bangga dan terharu apabila pihak kementerian memilihnya dalam menghidupkan kembali bangunan lama di sekitar Labuan menerusi mural.

"Seumur hidup saya ini kali pertama saya diangkat dan diberi penghargaan seperti ini... Memang saya cukup terharu apabila diberitahu pihak kementerian ingin melukis mural wajah saya di Labuan.

Hassan bersama pelukis potretnya, Andharas.

"Saya lihat ia bukan sahaja sebagai tarikan terbaharu di Labuan malah diharap wajah saya yang terpampang di dinding ini juga dapat memberi inspirasi kepada generasi muda untuk mengikut jejak langkah saya dalam bola sepak," katanya.

Menceritakan lebih lanjut mengenai mural itu, Hassan, 62 berkata, foto itu diambil oleh seorang jurugambar ketika usianya 18 tahun dan baru menyertai pasukan belia bola sepak sekitar 1970-an.

Jelasnya, apabila memandang mural gambar tersebut pelbagai memori terimbau di mindanya termasuk  impian dan cita-citanya ketika itu yang berkobar-kobar ingin mengharumkan nama negara di mata dunia menerusi bola sepak.

"Saya masih ingat ketika itu saya ada membeli seutas rantai berserta loket tertera perkataan 'MAS' iaitu singkatan Malaysia. Saya sematkan negara di dada saya setiap kali turun ke padang.

"Jujurnya kebanyakan pemain bola sepak pada zaman saya bermain bukan kerana wang tetapi semangat untuk mengharumkan nama negara melebihi segala-galanya," katanya.

Hassan berharap mural wajahnya itu dapat menarik pelancong ke Labuan dan memberi inspirasi kepada generasi muda menceburkan diri dalam arena bola sepak. 

Bola sepak masih menebal dalam diri Hassan

Kemuncak karier Hassan sudah tentu ketika kelayakan Sukan Olimpik 1980 apabila beliau membantu skuad kebangsaan beraksi di Sukan Olimpik.

Bagaimanapun Malaysia tidak beraksi pada Sukan Olimpik yang diadakan di Moscow, Rusia ekoran kerajaan Malaysia bekeras membantah tindakan Soviet Union menceroboh Afghanistan.

Enam tahun kemudian, Hassan mengundurkan diri sebagai pemain bola sepak profesional.

Mengakui semangat kesukanan yang masih menebal dalam dirinya, Hassan berkata meskipun sudah bersara dia masih bergiat aktif dalam hal berkaitan bola sepak selain sekali-sekali turun padang menyepak bola.

Dua hero Labuan, Uncle Ah Ming dan Hassan Sani bangga terpilih untuk wajah mereka dijadikan mural.

Uncle Ah Ming dianggap macam bapa sendiri!

Seperti Hassan, Uncle Ah Ming juga dianggap 'hero' dalam kalangan penduduk Labuan kerana keenakan air cincau bersama kacang dan jagung yang dijualnya sejak empat dekad lalu.

Ia mungkin bukan sesuatu yang luar biasa tetapi hakikatnya air cincau jualannya telah menyatukan penduduk Labuan yang memenuhi gerainya setiap hari.

"Semua orang menganggap Uncle Ah Ming sebagai bapa mereka sendiri yang tanpa jemu dan bersungguh-sungguh membancuh segelas air cincau untuk 'anak-anaknya' yang sedang dahaga.

"Jika kedainya tiba-tiba tutup memang kami akan resah tak dapat menikmati air cincau yang dibuatnya," kata seorang pelanggan yang mahu dikenali sebagai Yahya.

Seperti kisah Uncle Roti, Uncle Ah Ming juga berjaya membesarkan lima  anaknya sehingga berjaya dengan hanya menjual air cincau.

Uncle Ah Ming cukup terkenal dalam kalangan penduduk Labuan. 

Tiga anaknya iaitu Teo Lo Chie, 37, Teo Lei Teng, 31 dan Teo Lei Kun, 26, kini bergelar seorang pendidik manakala dua lagi, Teo Lee Peng, 39 dan Teo Lei Hong, 34, masing-masing bekerja sebagai akauntan dan pegawai syarikat swasta.

Uncle Ah Ming memberitahu dia tidak pernah berasa terbeban apabila perlu membesarkan lima anak dengan hanya menjual air cincau sebaliknya menganggap kehadiran cahaya mata membuatkan dia sentiasa bersemangat untuk terus memajukan perniagaan.

"Apabila melihat anak-anak semua membesar dengan baik dan berjaya dalam kehidupan mereka saya berasa sangat puas. Sebagai bapa tiada apa lagi yang saya harapkan selain gembira.

"Usaha saya selama ini akhirnya membuahkan hasil. Saya bukan sahaja telah membesarkan anak-anak dengan air cincau tetapi telah membuatkan ramai penduduk Labuan gembira," ujarnya.

Uncle Ah Ming berjaya membesarkan anak-anaknya sehingga berjaya dengan hanya berniaga air cincau.

Terkejut lihat mural, semangat Uncle Ah Ming seperti orang muda

Tidak menyangka potret yang dilukis bersaiz besar, Uncle Ah Ming mendedahkan dia terkejut apabila melihat mural tersebut siap namun terharu apabila terpilih sebagai 'hero' untuk diabadikan di Labuan.

"Umur saya sekarang sudah mencecah 62 tahun tetapi apabila melihat wajah saya terpampang di dinding, saya berasa begitu bersemangat seperti orang muda untuk terus berbakti kepada penduduk Labuan dengan air cincau saya," katanya.

Secara berseloroh, Uncle Ah Ming berkata, dia sudah bersedia menerima pelanggan yang lebih ramai terutamanya pelancong apabila lukisannya menjadi popular.

Kedua-dua potret figura itu antara 13 mural dan lukisan termasuk tiga dimensi (3D) yang diusahakan oleh Balai Seni Negara dalam menghidupkan kembali bangunan-bangunan lama di Labuan.

Mural itu dipaparkan sepanjang jalan dari Lorong Tanjung Pasir, Jalan Utama Bandar Labuan sehingga Terminal Labuan. Langkah itu juga sebagai menyokong dan mempromosi Tahun Melawat Malaysia 2020.

Artikel Lain