suria

“Saya tak malu!” - Generasi ke-3 pertahan legasi bapa, atuk... posmen jadi rujukan orang sesat, umpama GPS

Mohd Amierul (tengah) merupakan generasi ketiga yang bekerja sebagai posmen selepas mengikut jejak langkah bapanya, Ally Eimran (kanan) dan datuknya Miswan Surat (kiri). Foto Muhamad Shahril Rosli/The Star.

“SAYA tak segan atau malu memilih posmen sebagai kerjaya,” demikian kata seorang anak muda, Mohd Amierul Ally Eimran yang berkongsi pengalamannya menyertai keluarga Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia).

Mohd Amierul merupakan generasi ketiga yang bekerja sebagai posmen selepas mengikut jejak langkah bapanya, Ally Eimran, 47, dan datuknya, Miswan Surat, 68.

Anak muda berusia 24 tahun ini berkata, dia pada asalnya langsung tidak menanam niat untuk meneruskan legasi keluarga untuk bekerja sebagai posmen.

ARTIKEL BERKAITAN: Tanpa pembaris, tanpa pensel pelukis hasilkan potret Agong, Tunku Azizah - Pemilik nama pena Teme Abdullah mahu kekal rahsia identiti diri 

ARTIKEL BERKAITAN: Pernah dihalau kerana disangka jual barang, kini pensyarah kelulusan PhD ini bukti dirinya OKU 'rare' – “Jangan tak tahu saya suka melancong” 

“Tak pernah tergerak pun nak jadi posmen, asalnya saya mahu bekerja sebagai anggota polis tetapi tak lepas sebab masalah rabun.

“Jadi saya pun cuba hadiri temuduga posmen dan syukur berjaya. Alhamdulillah kini enam tahun saya sudah bekerja bersama Pos Malaysia,” katanya sewaktu ditemui di Pusat Mel Nasional, Seksyen 21, Shah Alam, baru-baru ini.

Mohd Amierul  (kiri) tidak segan meneruskan legasi bapa dan datuknya sebagai seorang posmen.

Bercerita lebih lanjut, Mohd Amierul berkata dia sedar masyarakat khususnya anak muda melihat kerjaya posmen sebagai pekerjaan yang kurang popular.

Namun tambahnya, dengan kerjaya inilah dia mampu berdikari sehingga mampu menyimpan wang untuk melangsungkan perkahwinan.

“Saya sangat sayangkan kerja ini. Apa tidaknya, daripada saya ‘kosong’ hinggalah kini saya mampu membeli motosikal dan kereta, serta bakal berkahwin tak lama lagi,” katanya yang bakal mendirikan rumah tangga bersama gadis pilihan pada November depan.

Ketika ditanya mengenai penerimaan bakal isteri dan keluarga mentua, Mohd Amierul berkata dia bersyukur kerana mereka menerima dirinya seadanya.

“Bakal isteri dan saya kenal sejak kami bersekolah lagi. Alhamdulillah dia dan keluarganya terima saya seadanya, tak ada masalah,” ujarnya yang kini berkhidmat di Pusat Serahan Mel Rawang.

Sementara itu, Ally Eimran yang juga bapa kepada Mohd Amierul pula berkata, dia menyokong dan memberi galakan penuh kepada anaknya ketika pemuda itu menyuarakan hasrat untuk mengikut jejak langkahnya.

“Bila dia dah dapat surat tawaran untuk jadi posmen, satu saja pesanan saya iaitu dia wajib pegang amanah dan bertanggungjawab, serta bersedia berdepan apa jua risiko.

“Walaupun dia anak saya, tapi kalau bab tugas, tidak ada kompromi. Tidak kira pertalian darah, jika silap tetap kena tegur,” ujarnya yang sudah 26 tahun bekerja bersama Pos Malaysia.

Keluarga tiga generasi posmen bersama rakan sekerja.

Mengimbas kembali kisah bagaimana dia  boleh ‘terjebak’ menjadi seorang posmen, Ally Eimran berkata segalanya bermula selepas dia melihat bapanya begitu disanjung oleh masyarakat setempat.

“Semasa di bangku sekolah menengah, ketika itu kami sekeluarga menetap di Sungai Buloh, bapa kayuh basikal hantar surat di sekolah. Ketika itu guru dan rakan langsung tak tahu saya anak seorang posmen.

“Bila bapa sampai, ramai rakan-rakan berkerumun umpama bapa saya ni selebriti. Semua mengenalinya. Saya seronok melihat situasi itu dan bangga kerana bapa sangat disanjung.

“Apabila mereka tahu posmen itu adalah bapa saya, mereka sungguh kagum,” katanya lagi.

Dalam pada itu tambah Ally Eimran, apa yang lebih membanggakan dalam kerjaya seorang posmen adalah kebolehan mereka ‘menghafal’ setiap jalan sehingga menjadi tempat rujukan orang yang ‘tersesat’.

“Kalau sedang bertugas hantar surat, mesti ada orang bertanya jalan pada posmen. Walaupun sekarang teknologi makin maju dengan adanya Waze atau Google Maps, posmen tetap ikut cara lama.

“Pekerja baru akan dilatih untuk memahami selok belok jalan terlebih dahulu. Malah posmen lebih tahu jalan pintas. Memang tak sesat kerana kamilah GPS diri sendiri,” katanya yang kini bertugas sebagai Ketua Penyelia Posmen Serahan Negeri Selangor.

Dalam pada itu, generasi pertama yang memulakan kerjaya sebagai posmen dalam keluarga unik ini, Miswan Surat, berkata dia memang berminat untuk menjadi seorang posmen sejak kecil.

Miswan merupakan generasi pertama yang bekerja sebagai posmen dan sudah berkhidmat dengan Pos Malaysia selama 37 tahun.

Memulakan kerjaya pada 1980, Miswan turut berkongsi pengalaman manis sepanjang 37 tahun perkhidmatannya di Pos Malaysia.

“Dulu kalau kayuh basikal hantar surat, mesti budak-budak kejar posmen. Macam itulah saya dulu.

“Waktu hantar surat di kampung, mesti dipanggil makan sekali. Kita ni segan sebab nak kena selesaikan tugas dulu tapi selalu mereka ajak juga. Memang hubungan dengan orang kampung begitu mesra.

“Saya memang minat sangat dengan pekerjaan posmen. Tak sangka cita-cita saya tercapai dan sekarang dah bersara pun,” ceritanya yang bersara pada 2007.

Selain tiga beranak berkenaan, bapa saudara Ally Eimran turut menjadi posmen iaitu B Ajman Surat, 49, yang bertugas di Sabak Bernam, manakala seorang adik iparnya yang juga rakan karib, Maizan Abd Razak, 52, bekerja dalam bidang sama di Kelana Jaya.

posmen, tiga generasi, Pos Malaysia

Artikel Lain