suria

Umur baru 17 tahun, cef ini masuk semua kategori pertandingan... ‘tapau’ 17 pingat kejohanan antarabangsa

Danish Adham berjaya mengetepikan peserta-peserta yang lebih berpengalaman pada pertanding World Chefs minggu lalu.

KEJAYAAN menakjubkan buat seorang pelajar Malaysia apabila membawa pulang 17 pingat pada pertandingan World Chefs Championship 2019.

Walaupun baru berusia 17 tahun, Danish Adham Nuqman Soon berjaya membuktikan minatnya yang mendalam dalam bidang kulinari mampu mengangkat dirinya sebagai pemenang Most Outstanding Hot Cooking Chef pada pertandingan yang berlangsung selama tiga hari di Stadium Sultan Sultan Abdul Halim, Alor Setar minggu lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Rela ajar bahasa isyarat percuma, Sign On mahu kurangkan masalah golongan pekak

Jelas pelajar tahun akhir Sijil Vokasional Malaysia (SVM) Seni Kulinari, Langkawi, ini dia menyedari ramai peserta profesional yang turut bertanding termasuk cef di hotel-hotel terkemuka.

"Sebelum ini saya pernah menyertai pertandingan memasak di peringkat sekolah dan pengalaman itu dapat membantu menghilangkan rasa gemuruh pada hari pertandingan ini.

"Memang saya sedar peserta lain hebat-hebat belaka, tetapi saya sudah meletak sasaran sendiri untuk membawa balik pingat," kongsinya kepada mstar.

Danish Adham merangkul 17 pingat keseluruhan.

Bukan keluarga cef

Jelas pelajar tinggi lampai kelahiran Sungai Buloh, Selangor ini, sejak kecil lagi dia memang suka membantu ibunya Norliza Adenan, 42, di dapur.

"Minat memasak itu datang secara semula jadi. Saya anak sulung daripada dua orang adik beradik dan selalu membantu ibu di dapur.

"Bermula dari situlah timbul pelbagai idea untuk memasak sendiri. Tambahan pula saya berjaya melanjutkan pelajaran dalam bidang yang diminati.

"Selepas tamat pengajian sijil ini, saya akan sambung untuk mendapatkan diploma di kolej yang sama," katanya yang kini menetap di Langkawi.

Menurut Danish, kejayaan di peringkat antarabangsa ini dianggap sebagai platform awal untuk dirinya terus menimba ilmu dalam bidang kulinari.

"Saya memang tidak menjangka akan menang dalam pertandingan ini kerana asalnya hanya untuk mencari pengalaman sahaja.

Danish menyiapkan bahan-bahan sebelum pertandingan bermula.

Kejayaan paling bermakna

"Sepanjang tiga hari pertandingan, saya memasak lebih 17 jenis menu yang saya yang saya cipta sendiri. Sehari sekurang-kurang lima hingga enam jenis hidangan.

"Saya lebih suka memasak hidangan Melayu dan western dan kali ini rezeki saya menang dalam menu Rendang Ayam, Special Lamb Chop serta Chicken Chop. Mungkin 'dressing' pada menu menjadi kelebihan pada hidangan saya.

"Saya juga ada menambah masakan dengan bahan-bahan tambahan untuk mencari kelainan daripada menu biasa.

"Apa yang saya tahu, hanya saya seorang sahaja yang menyertai setiap kategori yang dipertandingkan berbanding tukang masak lain yang menyertai dua atau tiga kategori," jelas Danish yang menjadikan chef Gordon Ramsay sebagai idolanya.

Keluarga tulang belakang kejayaan

Danish memberitahu, ibu bapa dan keluarga adalah 'tulang belakang' dalam kejayaannya hari ini.

"Mereka sanggup berpindah ke Langkawi sejak saya menyambung pelajaran di sini. Mereka sentiasa memberi kata-kata semangat dalam bidang yang saya minati ini.

Danish bersama ibunya Norliza (kiri) dan bapanya Nuqman Soon.

"Selain itu pensyarah-pensyarah juga memainkan peranan penting dalam kejayaan saya di pentas dunia," ujarnya.

Tambah Danish, selepas pertandingan berakhir, ramai juga cef profesional yang datang bertemu dengannya untuk berkongsi pengalaman. Saya gembira kerana mereka datang bertemu dan memberi kata-kata semangat dan teruskan minat ini.

"Ini antara penguat saya untuk terus mencipta menu hidangan yang menarik dan berbeza daripada yang lain. Satu hari nanti, saya bercita-cita mahu menjadi cef selebriti," katanya.

Pada pertandingan tersebut Danish berjaya membawa pulang enam pingat emas, sembilan perak dan satu gangsa dan paling istimewa dia juga menerima pingat Excellent Gold.

Pertandingan tersebut telah disertai oleh lebih 1500 chef berpengalaman dari pelbagai peringkat umur dan latar belakang termasuk peserta dari luar negara seperti Singapura, Indonesia, Taiwan, Jepun dan lain-lain.

Acara ini menampilkan 81 jenis masakan dan diadili oleh 69 juri profesional dari dalam dan luar negara.

Artikel Lain