suria

Dari dunia petroleum ke kafe kopi... 'Coffee for Good' kini latih anak muda bergelar barista

Dalia dan Faridah (dua dari kiri) bersama dua staf di Coffee for Good.

LIMA tahun lalu, Faridah Halani Mohd Zairi mempunyai pekerjaan stabil dalam bidang petroleum dan gas, namun siapa sangka keselesaan itu lenyap sekelip mata apabila namanya tersenarai dalam skim pemberhentian pekerja pada penghujung 2015.

Namun wanita berusia 42 tahun itu langsung tidak melihat perkara itu sebagai satu jalan mati dalam kehidupannya malah melihatnya peluang untuk membuka lembaran baharu untuk menceburi bidang lain.

ARTIKEL BERKAITAN: Rela ajar bahasa isyarat percuma, Sign On mahu kurangkan masalah golongan pekak

"Apabila majikan memberitahu mengenai keputusan syarikat untuk mengurangkan kakitangan, saya sudah terasa saya akan terpilih sebagai calon.

"Kata hati saya betul, saya antara staf terpilih... Sedih itu pasti ada tetapi saya perlu buat perancangan dengan segera agar selepas kehilangan kerja saya tidak terkapai-kapai mencari haluan lain.

"Sebelum keputusan keluar lagi saya sudah rancang apa yang saya mahu lakukan dan Alhamdulillah apa yang berlaku ada hikmah di sebaliknya," katanya kepada mStar.

Untuk bergelar barista seseorang perlu mempunyai kemahiran.

Faridah bersama rakan perniagaannya, Dalia A. Aziz kini pemilik jenama Coffee for Good yang banyak melibatkan diri dalam festival makanan selain pop-up kafe di lokasi terpilih.

Minat tak cukup, kena ada ilmu

Faridah memberitahu dia memilih untuk membuka perniagaan berkaitan kopi kerana minat namun menyedari dia perlu mempersiapkan diri dengan ilmu sebelum membuka kafenya sendiri.

Sebagai permulaan katanya, dia banyak berkunjung ke pelbagai jenis kedai kopi bagi mengetahui tentang rasa, persekitaran, cara bekerja dan sebagainya.

"Pada saya kalau saya terus buka kafe tanpa ada sebarang ilmu tentang produk yang hendak dijual ia mungkin tidak akan bertahan lama.

"Sebab itu saya masuk kelas barista kerana ingin belajar cara membancuh kopi dengan betul namun ketika itu saya ambil kursus itu di Australia memandangkan di Malaysia ia mahal.

Faridah bersama rakan kongsinya, Dalia sibuk menguruskan Coffee for Good.

"Wang pampasan yang saya terima kerana diberhentikan kerja saya gunakan untuk beli sebuah mesin membancuh kopi sebagai permulaan," jelasnya.

Latih anak muda sebagai barista, buka peluang pekerjaan 

Selepas empat tahun beroperasi, Faridah memberitahu Coffee for Good bukan sahaja menyediakan kopi tetapi kini sebagai sebuah perusahaan sosial pakar dalam bidang penyediaan kopi.

Faridah berkata, dia bersama rakan kongsinya, ingin membantu golongan belia B40 menerusi program latihan sambil bekerja di Coffee for Good.

"Idea itu tercetus apabila saya tengok kursus penyediaan kopi dan barista di negara ini sangat mahal sehingga saya sendiri mendaftar di Australia kerana jauh lebih murah.

"Barista bukan sekadar membancuh kopi tetapi ia memerlukan kemahiran dan ketepatan dalam memastikan kopi disediakan segar dan enak.

Kemahiran sebagai barista dapat membuka peluang pekerjaan lebih luas kepada pelatih. 

"Program ini dapat melengkapkan mereka dengan ilmu pengetahuan berkaitan kopi serta kemahiran dalam meningkatkan peluang mereka bekerja sebagai barista mahir," katanya.

Faridah memberitahu dia mensasarkan golongan lepasan sekolah yang mungkin terhad peluang pekerjaan kerana tidak memiliki kelayakan akademik serta vokasional.

Tidak terhenti di situ, Hong Leong Bank (HLB atau Bank) menerusi HLB Jumpstart, platform Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) HLB, mengumumkan kerjasama bagi membantu satu lagi perusahaan sosial agar menjadi lebih mampan.

Menerusi program itu, Coffee for Good akan dibantu dari segi penjenamaan dan kempen pemasaran bagi menarik lebih ramai pelatih, terutamanya di media sosial, di kafe-kafe yang ditempatkan di beberapa pejabat Hong Leong Bank serta syarikat bersekutu dengannya, kemudahan pembayaran tanpa tunai dan sesi perkongsian ilmu kewangan bersama-sama pakar Perusahaan Kecil Dan Sederhana (PKS) Bank ini.

Perusahaan sosial yang memerlukan sokongan dalam meneruskan matlamat dan perniagaan mereka boleh menulis kepada [email protected] atau kunjungi Hong Leong Bank. 

Artikel Lain