suria

Dr Mohd Yazid bukan sekadar merawat, cipta inovasi penyelidikan cuci luka diabetes

Dr Mohd Yazid tidak pernah lekang dengan inovasi terbaharu untuk mencari kaedah rawatan dan pemulihan yang terbaik untuk pesakit kencing manis. -Foto Ihsan UKM

“JIKA kamu mempermudahkan urusan orang lain, nescaya urusan kamu juga Allah akan mudahkan."

Mutiara kata pendek ini menjadi pembakar semangat Pakar Ortopedik, Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HCTM) Cheras, Selangor, Prof Madya Dr Mohd Yazid Bajuri dalam usaha beliau membantu pesakit diabetes mellitus atau kencing manis.

Beliau yang juga satu-satunya pakar pembedahan kaki dan buku lali di HCTM, tidak pernah lekang dengan inovasi terbaharu untuk mencari kaedah rawatan dan pemulihan yang terbaik untuk pesakit kencing manis.

ARTIKEL BERKAITAN:  Tahukah anda terapi wap, teh hijau dapat bantu perokok 'bersihkan' paru-paru

Dr Mohd Yazid bergelar doktor pakar pada 2009 dan sejak itu beliau melihat begitu banyak masalah yang terpaksa ditanggung pesakit terutama yang membabitkan luka di bahagian kaki akibat penyakit kencing manis.

Keadaan itu mendorong beliau untuk menjalankan penyelidikan demi penyelidikan bagi mencipta inovasi untuk membantu pesakit.

“Walaupun tugas saya sebagai doktor adalah merawat, tetapi saya berminat untuk memberi sesuatu yang lebih kepada pesakit dengan melakukan kajian bagi mencipta inovasi untuk membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi penderita kencing manis,” katanya kepada Bernama.

Dr Mohd Yazid melakukan pelbagai kajian untuk pesakit kencing manis. Foto kredit: UKM

Inovasi baharu

Terbaharu beliau sedang melakukan penyelidikan bagi menghasilkan pencuci luka yang mampu mempercepatkan proses penyembuhan luka pesakit dengan lebih optimum iaitu pengeringan luka seawal tujuh hari.

"Inovasi baharu ini boleh membunuh semua jenis bakteria dan kuman yang ada pada luka dan pencuci luka ini dijangka siap pada pertengahan 2020.

"Selain dapat membantu mempercepatkan penyembuhan luka, ia juga boleh mengurangkan kos rawatan pesakit kerana hanya menggunakan satu pencuci luka sahaja untuk semua jenis luka,” katanya.

Menurut beliau, pada masa ini pencuci luka yang terdapat di pasaran hanya mampu membunuh sesetengah spesies bakteria sahaja dan apabila terdapat bakteria lain pada luka ia tidak mampu melawannya dan ini menyebabkan luka lambat sembuh.

“Sekarang pesakit perlu menggunakan beberapa jenis pencuci luka mengikut keadaan dan tahap luka yang dihadapi,” katanya.

Bapa kepada tiga cahaya mata ini berkata hampir 30 peratus pesakit yang datang untuk mendapatkan rawatan di wad ortopedik mempunyai luka yang teruk di kaki.

"Mereka (pesakit diabetes) memerlukan penjagaan yang rapi bagi mengelakkan luka. Kebanyakan mereka pada awalnya tidak perasan luka telah berlaku kerana sistem saraf sudah tidak lagi sensitif menyebabkan hilang deria sentuh seperti orang normal.

Antara contoh luka serius di kaki pesakit diabetes.

“Sesetengah daripada pesakit yang sedar akan luka di kaki tetapi disebabkan rasa takut kaki dipotong menyebabkan mereka lambat mendapatkan rawatan di hospital. Ini boleh menyebabkan komplikasi kuman merebak ke bahagian badan yang lain,” katanya.

Dr Mohd Yazid menjelaskan, kesan penyakit diabetes mellitus Jenis II ini bukan sahaja memudaratkan kesihatan tetapi turut memberi kesan kepada ekonomi serta sosial pesakit dan keluarga untuk jangka panjang.

"Kebanyakan pesakit yang mendapatkan rawatan adalah dalam kalangan mereka yang berpendapatan isi rumah rendah (B40) yang sudah tentu memberi kesan ekonomi kepada keluarga.

“Apabila luka teruk pada kaki sudah tentu mereka tidak mampu bekerja terutama bagi lelaki yang menjadi ketua keluarga. Ia memberi kesan kepada keluarga terutama isteri dan anak-anak,” katanya.

Bangunkan wad khas penjagaan kaki

Bukan sahaja memerlukan sokongan keluarga, pengidap diabetes juga harus dipantau secara optimum di hospital bagi mempercepatkan proses penyembuhan.

Melihat kepada keperluan untuk memberikan rawatan yang lebih berkualiti, Dr Yazid yang juga pensyarah di Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menubuhkan Wad Penjagaan Kaki dan Buku Lali yang beroperasi sejak 2018.

Wad khas yang terletak bersebelahan Wad Ortopedik Lelaki itu berjaya ditubuhkan hasil sumbangan Dana Wakaf Selangor Muamalat.

Peruntukan sebanyak RM300,000 digunakan bagi mengubah suai ruang rehat dan menunggu keluarga pesakit kepada sebuah wad yang selesa khusus untuk penjagaan kaki pesakit diabetes.

Sesetengah daripada pesakit yang sedar akan luka di kaki tetapi disebabkan rasa takut kaki dipotong menyebabkan mereka lambat mendapatkan rawatan di hospital.

PROF MADYA DR MOHD YAZID BAJURI  

PAKAR ORTOPEDIK, HOSPITAL CANSELOR TUANKU MUKHRIZ (HCTM) CHERAS

Selain daripada itu, Berjaya Group Berhad juga turut menyumbang dana sebanyak RM40,000 bagi bantuan membeli peralatan di wad tersebut.

“Saya merangkakan program untuk pesakit yang masuk ke sini daripada pemakanan melalui diet mereka, penjagaan luka dan sebagainya. Jika terdapat komplikasi pada luka tersebut, contohnya kuman dan bakteria merebak ke dalam darah, pakar perubatan dalaman akan dirujuk untuk tindakan seterusnya.

“Ini membezakan rawatan diabetes di HCTM dengan hospital lain di Malaysia kerana di sini kemudahannya lebih lengkap dengan pelbagai disiplin kepakaran khusus untuk pesakit kencing manis,” katanya dengan menambah, setakat ini wad berkenaan merawat sekitar 100 orang pesakit.

Terdapat beberapa kaedah rawatan untuk pesakit diabetes di wad ini mengikut keperluan antaranya rawatan terapi ulat, terapi oksigen selain pembedahan kaki dan buku lali.

Menurut Dr Mohd Yazid, sebagai doktor pakar beliau tidak akan semudahya mengambil keputusan untuk memotong kaki pesakit.

“Di sini, saya lebih menitik beratkan proses mencuci luka daripada memotong kaki. Setiap hari luka akan dicuci dua kali sehari pagi dan petang.

“Namun sekiranya kuman sudah merebak ke dalam sistem badan yang lain hingga merosakkan buah pinggang dan hati yang mengakibatkan komplikasi lain, kita terpaksa mengutamakan nyawa pesakit dengan memotong bahagian yang sepatutnya,” katanya.

Beliau berkata wad khas ini juga antaranya memberi tunjuk ajar kepada ahli keluarga pesakit tentang cara-cara penjagaan luka bagi mengurangkan risiko jangkitan kuman pada kaki pesakit.

Kasut dan kaki palsu

Tidak cukup dengan wad khas yang menjadi “anak emas” Dr Yazid, beliau turut membuat inovasi dengan menghasilkan kasut khas bagi mengelakkan luka pada kaki pesakit diabetes dan kaki palsu yang boleh dibawa solat terutama untuk pesakit beragama Islam.

Berkongsi tentang inovasi kasut dan kaki palsu yang dijalankan beliau, Dr Yazid berkata ia tercetus apabila terdapat keluhan daripada pesakit yang tidak selesa memakai kasut yang dibeli di pasaran walaupun membelanjakan wang yang banyak untuk mendapatkannya.

Sementara itu, inovasi kaki palsu pula dilakukan setelah melihat ramai pesakit terutama mereka yang beragama Islam terpaksa menanggalkan kaki palsu mereka setiap kali menunaikan solat.

“Alhamdulillah, syukur kerana saya berjaya menghasilkan satu lagi inovasi kaki palsu yang boleh dibengkokkan seperti kaki normal yang memudahkan pesakit untuk solat tanpa perlu menanggalkannya lagi.

“Begitu juga dengan kasut khas untuk pesakit kencing manis ini dengan membuatnya mengikut keselesaan kaki individu bagi mengelakkan tekanan untuk mengurangkan risiko luka,” katanya.

Dr Mohd Yazid turut membuat inovasi kaki palsu untuk pesakit diabetes. Gambar hiasan.

Selain untuk keselesaan pesakit, inovasi kedua-dua produk itu juga bertujuan membantu mengurangkan kos pesakit dengan menghasilkan kasut dan kaki palsu mampu milik.

Menurut Dr Mohd Yazid, kasut khas dan kaki palsu yang ada di pasaran biasanya dijual pada harga yang mahal hingga ribuan ringgit.

“Jika pesakit yang tidak mampu sudah tentu mereka tidak dapat membelinya pada harga tersebut. Saya sebagai perawat, pensyarah universiti dan penyelidik merasa bertanggungjawab untuk menghasilkan kasut dan kaki palsu yang lebih murah untuk lebih ramai mendapat kebaikan dan manfaatnya," katanya.

Bagi membantu kumpulan B40 mendapatkan kasut dan kaki palsu secara percuma, beliau berjaya mendapat bantuan kerajaan daripada Kementerian Tenaga, Sains, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim sebanyak RM 274,300 melalui Dana Program Malaysia Sosial Innovation (MySI).

“Melalui dana tersebut kita sasarkan untuk membantu lebih kurang 200 hingga 250 pesakit bagi mendapatkan kaki palsu atau kasut khas yang kami cipta sendiri di sini.

“Kita akan tempah kasut dan kaki palsu itu secara terus daripada pembekal yang dilantik, tidak melalui pengedar atau orang tengah. Ini akan menjadikan harganya jauh lebih murah,” katanya sambil menambah, bantuan kasut dan kaki palsu akan dimulakan sebaik sahaja memperolehi dana tersebut.

HTCM hospital rujukan diabetes

Kajian Kesihatan Morbiliti dan Kesihatan Kebangsaan 2015 mendapati 17.5 peratus penduduk di negara ini yang berusia 18 tahun adalah penghidap diabetes jenis 2 dan jumlah itu dijangka meningkat kepada 21 peratus pada tahun 2020.

Kira-kira 15 peratus pesakit kencing manis mengalami luka dan ulser kaki akibat diabetes dan 4.3 peratus pesakit pula terpaksa melalui prosedur pemotongan terutama bahagian kaki.

Menurut Dr Yazid, selain meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kesan bahaya kencing manis, hospital juga perlu menyediakan perkhidmatan yang terbaik dalam merawat penyakit tersebut.

Beliau yang memiliki sub kepakaran dalam bidang kaki dan buku lali dari Kantonspital Liestal, Switzerland berkata lebih ramai pakar terutama dalam bidang kaki dan buku lali perlu dilahirkan untuk menampung keperluan pesakit yang semakin meningkat.

"Tidak ramai doktor yang berminat dalam kepakaran penyakit kencing manis sedangkan pesakit sentiasa meningkat. Di HCTM hanya saya seorang sahaja pakar dalam bidang ini dan di hospital kerajaan juga tidak ramai ada kepakaran ini," katanya yang kini turut melatih beberapa orang doktor daripada hospital kerajaan dan hospital universiti untuk mendalami kepakaran kaki dan buku lali.

Katanya, HTCM mahu menjadi pusat sehenti bagi pendidikan dietetik diabetes khusus dalam rawatan diabetes yang boleh menjadi rujukan semua hospital di Malaysia. 

Dr Yazid, diabetes, inovasi, alat, cuci, luka

Artikel Lain