suria

“Semua orang ada dosa, buat silap... tapi HIV bukan penamat hidup!” - Selami luahan lelaki ini bagi menepis stigma dan mitos penyakit Aids

Nairul ketika ditemui di program Sensitization Workshop, Ending AIDS yang dianjurkan Pertubuhan Aids Malaysian (MAF) di Hilton Petaling Jaya, Selangor

TIDAK dinafikan masih wujud segelintir masyarakat yang terlalu judgemental, selain sering menghukum dengan melabelkan penghidap HIV sebagai ’pendosa’ dan mati adalah hukuman yang layak ke atas golongan ini.

Jadi tidak hairanlah ramai kalangan pembawa virus berkenaan dibelenggu kemurungan sehingga ada yang sanggup bunuh diri dan menganggap ini sebahagian daripada hukuman di atas kesilapan yang mereka lakukan.

Menurut Nairulhizam Mohamed Yunus, dia didiagnosis HIV positif sejak lima tahun lalu iaitu sekitar 2014.

"Ketika itu saya dimasukkan ke wad Hospital Putrajaya disebabkan penyakit TB atau Tuberculosis. Perasaan saya masa itu sukar digambarkan seolah-olah sudah putus asa mengenangkan apa yang bakal berlaku pada diri saya," katanya bekas pekerja sektor perhotelan ini kepada mStar.

Nairul, seorang aktivis yang bergiat aktif dalam memberi kesedaran kepada orang ramai berkaitan isu HIV.

Pernah hadapi kemurungan

Seperti orang yang hidup dengan HIV (OHDA) yang lain, Nairul berkata dia turut mengalami kemurungan selepas mengetahui penyakit itu.

"Ketika diberitahu saya HIV positif, memang rasa takut dan sedih. Saya mula terkenangkan kehidupan lampau dengan aktiviti sosial keterlaluan yang menyebabkan saya berdepan penyakit ini.

"Kenapa saya down? Sebab saya sering dimomokkan dengan mitos-mitos HIV. Contohnya sebut sahaja HIV dan Aids benda yang terlintas di fikiran kita ialah sakit, kurus, ada kudis, luka-luka dan macam-macam lagi.

"Bagaimanapun, tiga hari selepas disahkan menghidap HIV, saya cakap pada diri sendiri "kalau terus macam ni, ia tak akan mambantu diri. Saya perlu bangun untuk hadapinya dan yang paling penting perlu ubah persepsi masyarakat terhadap HIV'

"Alhamdulilllah, beberapa hari seterusnya saya kuatkan semangat dan terus bangkit menjalani kehidupan," kongsi Nairul yang bersyukur dengan keadaannya sekarang.


Ujian saringan HIV dilakukan bagi mengetahui samada individu itu dijangkiti virus HIV atau tidak.

Stigma masyarakat terhadap HIV

Mengulas stigma masyarakat yang meminggirkan golongan HIV, Nairul berkata, itu antara senario yang perlu ditempuhi golongan ini, di mana mereka perlu kuat untuk berubah menjadi lebih baik.

Bagi mencapai ke tahap itu, lelaki yang berasal dari Kuantan, Pahang ini bersyukur kerana mendapat sokongan kuat daripada ahli keluarga serta rakan-rakannya.

Tak perlu kita menghukum orang, ‘Oh dia ini layak mati, hidup pun tak guna’. Itu bukanlah cara yang betul dan agama pun tidak mengajar seperti itu. Islam mengajar kita untuk mendekati, menghormati dan membantu

NAIRULHIZAM MOHAMED YUNUS

Penghidap HIV positif

"Alhamdulillah, mungkin disebabkan saya berada di dalam persekitaran yang positif, saya dapat menjalani kehidupan normal, bersosial dan sebagainya," katanya.

Bagaimanapun, dugaan lain yang menimpanya apabila dinasihatkan supaya berhenti kerja hingga ia memberi tekanan pada dirinya dan menolak pengambilan ubat kerana terlalu emosi.

"Mungkin Tuhan masih sayangkan saya. Saya bernasib baik kerana ramai yang menyokong dan memberi kata semangat. Itulah yang buatkan saya terus bangkit semula untuk jalani kehidupan," ujarnya.

Ubat yang digunakan dalam rawatan HIV.

Kini lebih sihat 

Jelas lelaki berusia 40 tahun ini lagi, susulan tindakannya yang mengikut perasaan itu, dia dinasihatkan supaya mendapatkan rawatan susulan secepat mungkin bagi mengelak timbul komplikasi lain.

"Bila didiagnosis penyakit seperti ini, apa yang pasti emosi individu itu tidak stabil. Ternyata kesan tidak mengambil ubat kerana terlalu emosi menyebabkan awal tahun ini saya dimasukkan ke hospital selama dua bulan kerana ada effection di bahagian usus," kongsi Nairul.

Nairul (depan, kiri) bersama Pertubuhan Angkatan Generasi Lestari (Angles).

Berikan kesedaran kepada orang ramai

Nairul yang bertindak selaku aktivis di laman media sosial turut memikul tugas sebagai Timbalan Presiden Pertubuhan Angkatan Generasi Lestari (Angles) bagi berkongsi pengetahuan serta membantu dalam memulihkan semangat OHDA yang lain.

Tidak lari dari kecaman masyarakat, Nairul mengakui dia tetap bangkit bagi membetulkan semula stigma negatif yang dilontarkan oleh segelintir masyarakat terhadap golongan OHDA sepertinya.

"Apa yang boleh saya katakan, walaupun saya ada beribu-ribu pengikut di media sosial, sangat sedikit jumlah yang kecam saya berbanding mereka yang beri sokongan moral dan kata-kata nasihat. Tindakan saya mudah, iaitu bila ada individu yang mengecam, saya pilih untuk bersuara bukan untuk cetus provokasi tetapi bersuara dengan fakta.

"Ada juga yang berpendapat bahawa HIV datang dari mereka yang LGBT, dan boleh dikatakan 95 peratus masyarakat berpendapat seperti itu. Sebab itu saya bersuara betulkan semula pendapat itu dengan fakta.

"Bukan balas ikut emosi sahaja. Sebabnya kalau kita jawab kecaman itu dengan fakta, walapun mereka tidak dapat terimanya secara terusan, sebagai manusia yang ada akal mereka akan berfikir dan sedikit sebanyak dapat mengubah pandangan itu," katanya.

Nairul cekal dalam menghadapi cabaran sebagai penghidap HIV.

Pengalaman mematangkan diri

Mengakui akan kesilapan yang pernah dilakukan suatu masa dahulu, Nairul berkata dia bukanlah seorang penagih dadah seperti yang difikirkan oleh orang ramai.

"Apa yang boleh saya kongsikan, HIV ni boleh dapat melalui seks bebas, berkongsi jarum, darah dan sebagainya. Biasalah masa kita muda semua benda kita nak cuba. Sifat ingin tahu dalam diri tu yang buatkan saya dapat penyakit ini. Silap saya kerana terlalu ikutkan keinginan.

"Cuma apa yang pasti, saya bukan seorang penangih dadah. Mungkin apa yang saya dapat ini disebabkan aktiviti seksual saya sebelum ini. Saya mengaku itu silap saya, tapi saya didiagnosis HIV selepas dah slow down dengan benda-benda negatif itu. Betul Tuhan itu maha adil, saya diuji selepas saya mula berubah.

"Jadi apa yang boleh saya lakukan untuk mengelakkan diri dari terjebak dengan perkara-perkara sebegitu adalah dengan cuba sibukkan diri. Bila saya aktif dengan media sosial dan fieldwork, kita memang tak ada masa untuk diri kita," luahnya.

Nairul turut bersyukur kerana dia berada di dalam persekitaran yang positif selain tidak malu untuk berkongsi kisah bersama orang-orang di sekelilingnya.

Pesakit-pesakit HIV memerlukan sokongan serta semangat dari masyarakat.

Tidak malu berkongsi kisah

"Saya pernah mengajar tuisyen dan beritahu ‘anak-anak’ (pelajar) yang saya adalah OHDA, apa yang mereka cakap ‘relakslah cikgu bukannya cikgu nak mati lagi’ dan hubungan itu masih berterusan sampai sekarang. Kami masih lepak, makan, kongsi makanan dan minuman sama-sama.

"Selain itu saya juga ada berkongsi cerita dengan anak-anak buah walaupun tidak secara mendalam. Layanan yang diterima ketika berkunjung ke rumah mereka elok saja, tak ada pun makan berasingan pinggan. 

"Malah mereka pun selalu pinjam baju saya, langsung tak ada isu. Mereka juga baca posting saya berkaitan HIV dan selalu tanyakan pelbagai soalan berkaitan penyakit yang saya hidapi," kata lelaki cekal ini.

Kata Nairul lagi, kematian itu adalah pasti dan sukar dijangka bila akan tiba masanya, malah ia juga bukan bergantung kepada penyakit yang dihadapi oleh seseorang individu itu.

"Perkataan mati itu sikit pun tidak terkesan pada saya. HIV ini bukan penamat hidup! Saya hanya berpegang dan percaya pada satu, ‘Mati itu pasti. Ajal boleh datang ketika kita sedang sihat dan walaupun kamu bukan penghidap HIV, kamu juga boleh mati!'

"Daripada terus fikirkan tentang kematian ada lebih baik untuk kita fikir apa yang perlu kita lakukan serta bekalan kita nanti untuk masa hadapan. Sampai masa untuk kita pergi juga," ujarnya.

Fahamkan dahulu apa itu HIV dan bagaimana ia boleh dijangkiti.

Buang sikap suka menghukum

Nasihat Nairul kepada masyarakat yang sering memandang serong terhadap golongan OHDA ini adalah mereka perlu bersikap lebih sensitif serta jauhkan diri dari sikap menghukum.

"Mereka perlu faham apa itu HIV dan bagaimana ia boleh dijangkiti. Kalau boleh, berhenti daripada menjadi seorang judgemental. Kenali dulu orang itu dan latarbelakang dia tidak penting. Semua orang ada dosa dan buat silap. Mungkin silap mereka memilih jalan yang salah, tapi masyarakat perlu menyokong membawa mereka kembali ke jalan yang betul.

"Terima dan layan mereka sama seperti orang lain. Tak perlu untuk kita judgemental untuk menghukum orang seperti ‘Oh dia ini layak mati, hidup pun tak guna’. 

"Itu bukan cara yang betul dan agama pun tidak mengajar seperti itu. Islam mengajar kita untuk mendekati, menghormati dan membantu," luahnya berharap agar masyarakat lebih peka dengan sensitif terhadap golongan ini.

penghidap, HIV, mati

Artikel Lain