suria

Malaysia menang 'Kostum Kebangsaan Terbaik' Miss Universe 2019

MISS Universe Malaysia, Shweta Sekhon berjaya mengharumkan nama negara apabila busana yang digayakannya terpilih sebagai pemenang Best National Costume pada pertandingan Miss Universi 2019.

Shweta, 22, memenangi kategori itu selepas mendapat undian tertinggi yang dilakukan secara dalam talian.

Mengangkat tema, 'A Peranakan Indulgence', kostum rekaan oleh Carven Ong itu diilhamkan daripada warisan masyarakat Peranakan dan tradisi perkahwinan komuniti itu.

Rekaan kompleks pada busan itu turut mempamerkan tenun songket Melayu selain sayap yang diperbuat daripada kain kebaya Nyonyan yang biasa dipakai oleh golongan wanita Peranakan.

Pada rekaan itu, Carven turut mengetengahkan makanan popular Peranakan seperti Onde-onde, kuih koci, kuku, kuih talam, kuih lapis, kuih sago dan telur merah bertuah.

Shweta mewakili Malaysia ke pertandingan Miss Universe 2019.

Tidak cukup dengan itu, bakul tradisional masyarakat Peranakan turut membuat penampilan bagi melengkapkan busana digayakan Shweta.

Carven bukan asing dalam bidang rekaan fesyen malah terkenal dengan konsep dan idea mewah dalam rekaannya.

Tahun lalu, rekaan Carven turut digunakan dalam filem Hollywood Crazy Rich Asian yang menampilkan pelakon Henry Golding.

Dalam perkembangan sama, hos Miss Universe 2019 iaitu Steve Harvey sekali lagi dikritik apabila tersalah mengumumkan Filipina sebagai pemenang kategori itu.

Ia bukan kesalahan pertama dilakukan Steve, apabila pernah tersalah umum pemenang Miss Universe 2015.

"Awal minggu ini, semua peserta bertanding dalam pertandingan Kostum Kebangsaan... Inilah pemenangnya, Miss Filipina," katanya.

Bagaimanapun menyedari kesilapan itu, Steve segera memaklumkan pemenang sebenar adalah dari Malaysia.

"Ia bukan Filipina... tetapi Malaysia!," ujarnya.

Steve bagaimanapun menjelaskan dia tidak bersalah dalam hal tersebut sebaliknya membaca apa yang tertera dari teleprompter.

Artikel Lain