suria

Rela ajar bahasa isyarat percuma, Sign On mahu kurangkan masalah golongan pekak

Kelas belajar bahasa isyarat Sign On terbuka kepada semua lapisan masyarakat secara percuma.

PERSEPSI masyarakat mengenai bahasa isyarat sebagai kemahiran yang tidak penting untuk dipelajari sepatutnya diubah.

Hakikat sebenar belajar bahasa isyarat ini sangat penting kerana apabila kita mempelajarinya, ia dapat membantu memudahkan urusan komuniti masalah pendengaran berkomunikasi.

Menyedari keadaan tersebut, Mohd Armi Rusli, 36, mengambil langkah memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa bahasa isyarat ini sangat penting dalam semua bidang.

ARTKEL BERKAITAN: Diusik pemain bola sepak di awal karier, pakar fisioterapi wanita ini intai peluang ke luar negara

Pemuda kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan (Pengurusan Organisasi) Universiti Sains Malaysia (USM).

Faktor pengalaman

Kelas Sign On terbuka kepada semua golongan. Foto: Fb Sign On

Bertitik tolak daripada masalah pendengaran yang dialaminya, Mohd Armi menubuhkan pusat belajar bahasa isyarat yang dikenali sebagai Sign On.

Jelasnya, demam panas yang dialaminya ketika berusia tiga tahun telah menjadi punca dia mengalami masalah pendengaran.

"Saya bukan dalam kategori pekak, cuma sedikit kurang pendengaran dan tidak memakai sebarang alat bantuan pendengaran sehinggalah menyambung pengajian di universiti.

"Penghujung 2012, selepas dua tahun berkhidmat, saya meletakkan jawatan sebagai penyelaras kursus bahasa isyarat di sebuah NGO iaitu Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD) dan memilih untuk bekerja sendiri.

"Apabula bekerja sendiri sebagai freelancer, saya mempunyai banyak masa terluang dan kadang-kadang tidak tahu bagaimana nak manfaatkannya dan ketika itu timbul idea bagaimana hendak menyebarkan bahasa isyarat kepada orang awam secara percuma," kongsinya kepada mStar.

Sign On

Mohd Armi memulakan kelas belajar bahasa isyarat sejak 2013. Foto: FB Sign On

Menurut Mohd Armi, permulaan 2013 dia hanya melaksanakan kelas peribadi dari rumah ke rumah dan menerima jemputan beberapa institusi pengajian tinggi untuk mengadakan kelas di kampus.

"Inisiatif ini bagi membantu rakan pekak yang senasib dengan mengajar asas bahasa isyarat kepada masyarakat setelah melalui pelbagai kesukaran dan halangan (komunikasi), selain masalah mendapatkan maklumat ketika berurusan dengan pelbagai agensi, sektor awam, swasta dan sebagainya.

"Walaupun sekadar asas, kita sebenarnya sudah cukup membantu mereka. Tiada lagi jurang komunikasi antara rakan pekak dengan orang tipikal. Ianya satu keperluan. Semua wajib belajar bahasa ini kerana kita tidak dapat jangka bila kita perlu dan digunakannya nanti.

"Waktu ini Sign On belum terbuka kepada orang awam kerana antara 2013 hingga 2017 kami hanya memenuhi jemputan pihak yang mahu belajar bahasa isyarat.

"Namun bermula 2018, kami laksanakan kelas untuk orang awam pada Sabtu minggu terakhir setiap bulan tetapi tetap menerima jemputan pada minggu lain dan sehingga hari ini ia masih diadakan di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan Orang Kurang Upaya, Bangi.

"Kelas selama dua jam itu mendedahkan modul pembelajaran asas bahasa isyarat seperti nombor, abjad, keluarga, negeri dan sebagainya," jelasnya yang kini menetap di Semenyih, Selangor.

Cabaran

Bahasa isyarat turut dipelajari oleh oleh penuntut di Institusi Pengajian Tinggi. Foto: FB Sign On

Jelas Mohd Armi setiap pekerjaan pastinya ada cabaran tersendiri terutama untuk meyakinkan masyarakat bahawa kelas yang diadakan itu adalah percuma.

"Harapan kami, semoga ia dapat diteruskan dan lebih ramai lagi masyarakat mempelajari bahasa isyarat dengan matlamat sekurang-kurangnya satui isi rumah mempunyai seorang yang boleh berbahasa isyarat. Semoga kesedaran ini dapat disebar luaskan," katanya.

Tambahnya, bermula hanya dia seorang, kini Sign On mempunyai lebih 200 sukarelawan yang merupakan bekas anak didiknya yang begitu komited membantu mengendalikan kelasnya jika ada kelapangan.


Sign On, Pekak, Bahasa Isyarat

Artikel Lain