suria

Diusik pemain bola sepak di awal karier, pakar fisioterapi wanita ini intai peluang ke luar negara

Aksi Yana bergegas ke padang memberi bantuan kepada pemain selalu mencuri perhatian peminat-peminat bola sepak tempatan. Foto kredit: DarWanderersFC

SUDAH menjadi kebiasaan dalam sukan bola sepak apabila melihat seseorang berlari ke arah padang sambil membawa peralatan untuk merawat pemain yang mengalami kecederaan - itu sebenarnya pakar fisioterapi lelaki.

Tetapi jika penyokong -penyokong bola sepak melihat seorang wanita berlari ke arah padang memberi rawatan kepada pemain, situasi ini masih baharu di negara kita.

Nursuliana Mohd Sufian bukanlah asing bagi pemain-pemain bola sepak tempatan kerana kelibatnya di padang juga penting dalam sesebuah pasukan yang disertainya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Ramai dah macam keluarga” - Faez bukan tukang gunting rambut biasa-biasa, ada pelanggan sanggup redah 100km untuk ‘sentuhannya’

Kelihatan selalu ceria dan tenang, wanita berusia 26 tahun yang lebih mesra dipanggil Yana menjadi salah seorang pakar fisioterapi pasukan belia Melaka United.

Yana menjadi individu penting dalam sesebuah perlawanan.

Gadis kelahiran Selangor yang kini menetap di Melaka bersama keluarganya merupakan wanita pertama yang menggalas tugas itu dalam sukan bola sepak negara pada 2016 dalam Liga Malaysia.

Cita-cita

Bekas penuntut Universiti Selangor (Unisel) ini memberitahu, sejak kecil lagi dia memang bercita-cita mahu menjadi pakar fisioterapi bola sepak.

"Saya memang suka tengok perlawanan bola sepak. Ketika saya menunggu keputusan SPM pada 2011, saya pernah beritahu arwah ayah (Mohd Sofian Mohd Sharif) mengenai hasrat untuk menjadi ahli fisioterapi. Tetapi ketika itu, ayah seperti tidak yakin kerana saya perempuan dan kebanyakan tugas itu dipikul orang lelaki.

"Saya sahut cabaran itu dan membuktikan bahawa saya boleh capai cita-cita ini. Namun agak sedih kerana ayah meninggal dunia sebelum melihat kejayaan dalam karier ini," jelas anak bogsu daripada dua beradik ini.

Kerjaya bermula

Selepas tamat pengajian dalam bidang fisioterapi, Yana bertuah kerana terus mendapat peluang mempraktikkan apa yang dipelajari bersama pasukan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) yang beraksi dalam Liga FAM pada 2016.

Yana memantau latihan skuad belia Dar Wanderer FC. Foto kredit: Dar Wanderer FC

Selepas itu dia melaksanakan tugas yang sama dalam pasukan Dar Wanderers FC.

"Pada mulanya timbul juga perasaan bimbang sekiranya tidak dapat beri yang terbaik kepada semua pemain, tapi lama-kelamaan perasaan itu hilang apabila pemain yang saya rawat pulih dan gembira.

"Saya gembira kerana menjadi sebahagaian watak penting dalam sesebuah pasukan ini. Dulu saya selalu tengok fisioterapi wanita pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) Chelsea, Eva Carneiro berlari ke padang merawat pemain.

"Dia menjadi idola saya untuk meneruskan karier ini. Memang pada mulanya ada juga usikan nakal pemain-pemain, tetapi saya seorang yang tegas ketika bertugas. Lama-kelamaan semua pemain faham dan menghormati tugas saya, dan semakin lama saya semakin gembira dengan tugasan ini," ujarnya.

Yana turut dipanggil sebagai penceramah dalam kursus kejurulatihan.

Kembang kerjaya

Menurut Yana, dia tidak pernah berpuas hati dengan apa yang dicapai setakat ini.

"Saya bersyukur kerana turut diberi kepercayaan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menjadi penceramah mengenai nutrisi dan kecederaan dalam bola sepak kepada jurulatih-jurulatih yang mengambil Lesen C.

"Malah saya juga cuba mencari peluang ke luar negara untuk menimba pengalaman. Setakat ini saya dimaklumkan pasukan bola sepak di China memerlukan fisioterapi wanita," jelasnya.

Artikel Lain