SELEPAS 46 tahun meninggal dunia, nama P.Ramlee tidak pernah lekang di bibir peminat lagu-lagunya. Bertukar-tukar generasi, namun lagunya tetap dimainkan dan alunannya yang lunak terus kedengaran. Tapi ada sesuatu yang menarik di sebuah Kedai di Jalan Dato Undang, Rembau Negeri Sembilan yang tidak ada kena mengena dengan Allahyarham Seniman Agung Tan Sri P.Ramlee atau keluarga, malah kedai itu juga milik seorang warga emas berbangsa Cina. Namun Kedai Gunting Rambut Ah Kim ini diberi jolokan Kedai Gunting Rambut P.Ramlee oleh penduduk setempat dan dimuatnaik dalam carian Google di internet kerana pemiliknya merupakan peminat tegar seniman agung itu walaupun telah 46 tahun meninggal dunia. ARTIKEL BERKAITAN: Umur baru 17 tahun, cef ini masuk semua kategori pertandingan... ‘tapau’ 17 pingat kejohanan antarabangsa Apa tidaknya setiap pelanggan akan didendangkan dengan lagu-lagu Allahyarham P.Ramlee terutamanya ‘Jangan Tinggal Daku’ dan ‘Getaran Jiwa’ oleh Ng Kim Soi, 75, ketika proses menggunting rambut dengan lontaran suara serta sebutan yang mirip dengan seniman agung itu. Tidak hairan sekiranya Kim Soi mendapat jolokan sebagai ‘P.Ramlee Rembau’ dalam kalangan penduduk setempat. Ah Kim merdu menyayikan lagu Allahyarham P.Ramlee. "Mana-mana pelanggan yang baru berkunjung ke kedai saya, mereka akan menganggap saya sebagai orang Melayu kerana suara saya tidak seperti orang Cina termasuk ketika menyanyikan lagu P. Ramlee," katanya ketika ditemui Bernama. Menjadikan P. Ramlee sebagai ikonnya, Kim Soi mengakui dia mula minat untuk belajar menyanyi mengikut alunan lontaran suara seakan-akan seniman agung itu sejak berusia 16 tahun, di samping kehidupan bersama masyarakat Melayu, menjadikan lagu Melayu tidak asing baginya. “Ketika itu, saya mengikut semua bait-bait lirik yang dinyanyikan P.Ramlee hanya berbekalkan piring hitam ketika era 60an,” katanya. Dek kerana sentiasa ‘dahagakan’ lagu dendangan P.Ramlee, dia juga terpaksa mengikuti perubahan zaman dan mula beralih kepada kaset, kemudian diikuti cakera padat (CD) dan video cakera padat (VCD). "Zaman dahulu memang susah untuk belajar (kelas) menyanyi, dan saya bermula dari piring hitam, kemudian kaset yang saya pasang ketika menggunting rambut pelanggan dan dalam masa yang sama saya belajar menyanyi. “Selepas itu beralih pula ke zaman lebih moden, dan saya mula mencari CD dan VCD selain meminjam daripada penduduk kampung untuk saya belajar lagu-lagu P. Ramlee yang masih belum saya dengar dan hafal,” katanya. Lagu-lagu Allahyarham P.Ramlee terus diminati sehingga kini. Tetapi kini menurut Kim Soi, dia boleh menikmati lagu dendangan seniman agung itu menerusi carian di internet. “Ketika ini mudah untuk dicari kerana semua perkara kita boleh dapat dihujung jari. Tekan sahaja P. Ramlee semua keluar di internet," katanya. Mengimbau kenangan manis, bapa kepada lima orang anak itu berkata dia pernah menerima undangan untuk menyertai pertandingan menyanyi di Singapura suatu ketika dahulu, namun akibat kesempitan hidup, beliau terpaksa membatalkan hasrat tersebut. "Saya juga pernah diundang untuk menyanyikan lagu P. Ramlee ketika (Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-10) Almarhum Tuanku Ja’afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman masih hidup dan saya amat berbangga kerana dapat menyanyikannya. “Itu merupakan satu penghargaan tertinggi bagi diri saya," katanya. Menurutnya lagi, antara lagu kegemarannya ketika menggunting rambut pelanggan adalah 'Jangan Tinggal Daku' dan 'Getaran Jiwa' kerana ia juga merupakan lagu yang sering diminta oleh pelanggan.