suria

Dua rakan ‘sekepala’ pertahan prinsip, gah cipta nama sebagai personaliti media sosial - “Kami mahu buat orang ketawa”

Syed Muhamad Rushdan Wafa Syed Abdul Malek (kiri) dan Mohamad Asyrat Rozami semakin menyinar sebagai personaliti media sosial. Foto AZLINA ABDULLAH

SIAPA sangka hanya berbekalkan minat dan idea, dua anak muda ini berjaya meraih perhatian selepas muncul dengan video pendek di Instagram.

Mohamad Asyraf Rozami dan Syed Muhamad Rushdan Wafa Syed Abdul Malek kini boleh berbangga dengan pencapaian mereka kerana bukan sahaja mencipta nama sebagai personaliti media sosial, namun menjadikan ia sebagai karier tetap yang menguntungkan.

Seperti Asyrat, 20, sejak giat menghasilkan drama pendek di YouTube dua tahun lalu, dia mula merasai hasil penat lelahnya apabila karyanya mula memberikan pulangan lumayan.

ARTIKEL BERKAITAN: Autisme bukan penghalang aktif sukan mendaki... “Saya nak takluk Everest!”

ARTIKEL BERKAITAN: Izzat Mukbang Malaysia bukan kaleng kaleng tapi memilih!

"Alhamdulillah dalam seminggu pendapatan menerusi YouTube boleh mencecah ribuan ringgit yang boleh saya gunakan untuk diri sendiri selain menghasilkan video lebih bermutu.


Asyraf aktif menghasilkan video drama pendek di YouTube. 

"Ini termasuk menggunakan kelengkapan lebih canggih serta berkongsi rezeki dengan keluarga serta rakan-rakan yang menjadi talent dalam video saya," katanya kepada mStar.

Untuk rekod, saluran YouTube milik Asyraf kini mempunyai lebih 370,000 pengikut dengan purata dua juta tontonan seminggu.

Sejak membuka saluran itu dua tahun lalu, dia sudah menghasilkan lebih 50 video dengan 50 juta tontonan secara keseluruhan.

Medium berbeza, pegang prinsip sama

Berlainan pula dengan Rushdan, pemuda berusia 19 tahun itu lebih selesa menghasilkan video pendek di Instagram, selain banyak membantu rakan-rakannya sebagai pelakon dalam video terbitan mereka.

Kata Rushdan, walaupun medium berbeza, namun mereka memegang prinsip sama iaitu untuk menggembirakan hati penonton menerusi video yang dihasilkan.

Rushdan banyak fokus penghasilan video di Instagram.

"Adakalanya kita tidak tahu apa yang seseorang itu sedang lalui, saya mahu orang tersenyum atau ketawa apabila menonton apa yang saya buat.

"Begitu juga dengan Asyraf... Apa yang cuba diketengahkannya mendapat perhatian kerana ia dekat dengan kehidupan seharian kita," ujarnya.

Atas dasar itu juga kata Rushdan, dia banyak bekerjasama dengan Asyraf sebagai pelakon dalam video dihasilkan dan sebaliknya.

"Kami saling tolong menolong... Jika Asyraf ada projek yang memerlukan pelakon saya akan bantu dan begitu juga saya.

"Tiada istilah cemburu atau tidak mahu melihat orang lain berjaya. Paling penting kami saling bantu membantu menaikkan lagi komuniti dan buat pengikut kami gembira," ujarnya.

Asyraf dan Rushdan banyak bekerjasama sebagai tanda sokongan terhadap kerjaya masing-masing. 

Kritikan netizen adalah peringatan!

Dalam kegembiraan, Asyraf pula memberitahu kecaman dan kritikan daripada pengikut di media sosial adalah perkara biasa namun ia adalah peringatan untuk lebih berdaya saing dan menghasilkan karya lebih baik.

Pun begitu katanya, sebagai manusia biasa sudah tentu dia pernah berasa kecewa dan putus asa apabila membaca kecaman netizen namun menyifatkannya sebagai sebahagian cabaran untuk lebih berjaya.

"Saya rasa tak kira siapa pun kalau dikecam pasti akan rasa sakit, tambahan pula kita sudah cuba memberikan yang terbaik untuk semua.

"Namun apa yang saya belajar, saya tak dapat puaskan hati semua orang tetapi saya boleh perbaiki mutu video yang dihasilkan," jelasnya.

Asyraf dan Rushdan mempunyai pengikut tersendiri. 

Tak jadikan wang sebagai pengukur

Mengakui bergelar personaliti media sosial mampu menjana pendapatan namun Asyraf memberitahu dia tidak mahu menjadikan ia sebagai kayu pengukur kejayaan kerana sedar ia tidak bertahan lama.

Sebaliknya kata Asyraf, dia sentiasa meletakkan minat dan cinta terhadap apa dilakukan sebagai motivasi dalam memberikan yang terbaik kepada penonton.

"Wang itu memang penting tetapi saya tidak mahu melakukannya dengan meletakkan ia sebagai motif utama kerana pada akhirnya ia tidak akan kekal lama.

"Sebaliknya saya sentiasa perjuangkan apa yang saya minat dan penonton suka... Selebihnya saya yakin ia akan datang dengan sendirinya," ujarnya.

Artikel Lain