GELAP mata untuk mendapatkan 'duit segera' membuatkan Mat (bukan nama sebenar) sanggup menggadaikan kerjayanya sebagai anggota pasukan keselamatan dengan kegiatan pengedaran dadah. Sewaktu bertugas di sempadan Malaysia-Thailand, dia melakukan kegiataan keji itu di kawasan utara tanah air, di sekitar pekan Danok. Menurut Mat yang kini berusia dalam lingkungan 30-an, episod hitam dalam hidupnya itu bermula pada 2007 ketika ditugaskan untuk mengawal sempadan di utara tanah air. ARTIKEL BERKAITAN: Temui cinta sejati di pejabat selepas gagal kali pertama... mahligai dibina 29 tahun kekal hingga kini Ketika itulah dia menemui cara untuk membuat 'duit segera' dengan menjual dadah jenis syabu yang mendapat permintaan tinggi dari negara jiran. Ketika melakukan rondaan di sempadan, dia mula berjinak-jinak dengan syabu kerana ia mudah diperolehi. Kegiatan itu juga tidak perlu mengeluarkan wang untuk membelinya kerana ia dibekalkan oleh tokan dadah yang menyeludup barangan terlarang itu di kedua-dua negara. Di Thailand, katanya, harga syabu boleh mencecah sehingga RM600 bagi satu gram. Mat mengakui sikap tamak antara penyebab dia terlibat dalam aktiviti haram. Merengkok dalam penjara dua tahun Mat yang juga seorang penagih dadah berkata, hampir tujuh tahun dia menjual dadah secara kecil-kecilan di pusat hiburan di pekan Danok sebelum ditangkap polis Thailand pada April, 2013. Fasih berbahasa Siam, Mat berkata dia kemudiannya dijatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun dan denda 200,000 baht (ketika itu kira-kira RM20,000) mengikut undang-undang negara jiran itu. Namun dia bersyukur kerana mendapat pengampunan diraja sehingga hukumannya dipendekkan kepada dua tahun enam bulan dua hari. Ketika ditangkap dan dipenjarakan di Penjara Natthawi, wilayah Songkhla pada 2013, dia mempunyai seorang isteri yang berasal dari Chiang Mai yang dikahwini pada 2005 dan seorang anak perempuan yang ketika itu berusia lima tahun. "Sepanjang tempoh 72 hari merengkok di dalam penjara sementara menunggu perbicaraan di mahkamah, saya rasa dunia begitu gelap. Banyak perkara yang saya fikirkan kerana pertama kali duduk dalam penjara," katanya kepada Bernama. Mat berkata hidupnya mula berubah pada suatu hari Jumaat ketika sedang melakukan kerja menjahit pukat di dalam penjara. Selepas mendapat hidayah ketika berada dalam penjara, saya berpuasa selama lapan bulan bagi menggantikan puasa yang pernah ditinggalkan. [ Type in person name who said the quote ] [ Type in person identity ] Solat Jumaat ubah kehidupan Mat "Saya terdengar bisikan yang menyuruh saya solat Jumaat dan sejak itu, saya mula berhijrah untuk menjadi lebih baik. Alhamdulillah Penjara Natthawi menyediakan sel khusus untuk umat Islam melakukan ibadat tanpa gangguan. "Selepas mendapat hidayah ketika berada di penjara, saya berpuasa selama lapan bulan bagi menggantikan puasa yang pernah ditinggalkan," katanya. Mat juga bersyukur sepanjang dipenjarakan, isteri dan ahli keluarganya dari Kelantan datang melawatnya beberapa kali walaupun tidak dapat bertemu anak perempuannya kerana dia sendiri yang tidak membenarkan isterinya membawa anaknya datang ke penjara. "Sepanjang dipenjarakan juga, saya menerima kunjungan daripada pegawai tatatertib daripada pasukan yang menyerahkan surat tunjuk sebab serta surat pemberhentian kerja dan saya bersyukur kerana dalam rekod perkhidmatan, saya dibuang kerja kerana menghadapi 13 pertuduhan tidak datang kerja. "Ia membolehkan saya mencari kerja sebagai pengawal keselamatan selepas dibebaskan pada November 2015 lalu," katanya. Mat berharap kisahnya menjadi pengajaran kepada orang lain. Hambatan nafsu punca terjerebak kancah dadah! Ditanya sebab yang menjadi punca dia sanggup menyalahgunakan kuasa sehingga menjadi pengedar dadah walaupun bergelar anggota pasukan keselamatan, Mat berkata ia berikutan hambatan nafsu yang mahu menampung gaya hidup mewah. "Ketika sedang menjalankan operasi, saya juga pernah melepaskan beberapa penyeludup dan meminta sejumlah wang bagi melepaskan mereka daripada ditahan kerana aktiviti rentas sempadan itu. "Selain menghisap dadah, saya juga bermain judi sehingga menyebabkan wang gaji tidak mencukupi. Jadi untuk menampung kehidupan, saya mula berjinak-jinak dengan aktiviti yang menyalahi undang-undang," katanya. Mat turut menasihatkan masyarakat agar mengelakkan diri daripada terjebak dengan sebarang gejala tidak sihat kerana ia hanya membawa keburukan kepada diri. "Jadikan diri saya sebagai contoh... Sudah elok bertugas sebagai anggota pasukan keselamatan dengan beberapa keistimewaan sebagai penjawat awam namun gara-gara tidak dapat menahan keinginan, hidup saya punah. Masa tak dapat diputar kembali dan saya hanya mampu reda dengan ketentuanNya," katanya. - Bernama