suria

Karya untuk memori orang lain... jurugambar Malaysia rakam kehidupan masyarakat Australia ketika isolasi

Sanjeev Singh memulakan projek Housebound - A Portrait Project in Isolation bagi merakamkan kisah dan foto masyarakat di Melbourne, Australia.

SEJAK pengumuman arahan berkurung di Melbourne, Australia diumumkan kira-kira enam minggu lalu, jurugambar kelahiran Malaysia, Sanjeev Singh yang menetap di sana hilang punca pendapatan.

Mana tidaknya, semua jadual penggambaran yang dipersetujui sebelum ini terpaksa dibatalkan ekoran penularan Covid-19 di negara itu.

Situasi itu menyebabkan Sanjeev, 43, mempunyai banyak masa terluang sehingga dia memutuskan untuk menghabiskan waktunya dengan melakukan perkara disukainya iaitu bercerita.

ARTIKEL BERKAITAN:Bayangkan... buka pintu, angkasawan negara hantar makanan anda! - Dr Sheikh Muszaphar seronok jadi rider semula

"Sebagai seorang jurugambar potret, saya suka bercerita melalui karya saya. Saya mahu melakukan sesuatu bermakna dengan masa saya.

"Jurugambar akhbar sudah melakukan kerja luar biasa untuk mendokumentasikan kesedihan terpaksa ditanggung kerana penularan wabak itu menerusi pemandangan bandar yang kosong serta kesesakan di hospital.

"Tetapi kawalan pergerakan ini turut memberi kesan kepada penduduk dan saya ingin merakamkan bagaimana mereka menghadapi tempoh ini," katanya.



Kanak-kanak girang bermain di taman dalam kawasan rumah mereka.

Lahirnya projek Housebound - A Portrait Project in Isolation

Atas semangat dan keinginan untuk merakamkan detik-detik berharga itu, Sanjeev tampil dengan projek diberi nama Housebound - A Portrait Project in Isolation.

Pada awalnya kata Sanjeev, dia menggunakan beberapa rakan dan keluarga abangnya untuk mengambil gambar mereka sebagai eksperiman konsep yang ingin diketengahkan.

"Saya masih ingat kata-kata seorang kenalan bahawa dia tidak pernah menyangka proses mengambil gambar selama lima minit ketika berjalan di kawasan perumahannya adalah kemuncak harinya.

"Saya terfikir bahawa projek ini boleh menjadi satu kenangan kepada orang lain dan sedikit keseronokan bagi melupakan seketika situasi suram ketika ini," katanya yang sudah bergelar jurukamera profesional sejak 2014.

Dengan sejumlah cerita dan foto yang diambil menggunakan kamera Canon 5D MKIV, Sajeev melancarkan projek itu di Facebook dan dalam masa tiga minggu dia berjaya mengmpul 25 kisah dengan 400 pengikut.



Seorang lelaki kelainan upaya yang sedang bersantai di halaman rumahnya.

"Secara dasarnya, konsep projek ini adalah mengambil gambar orang, sama ada keluarga, pasangan, individu, di depan rumah mereka dalam jarak selamat yang ditetapkan.

"Kesemua peserta yang terlibat dalam projek itu bebas bagaimana mahu tampilkan diri mereka ketika saya merakamkan gambar mereka," ujarnya.

Menerusi cara itu katanya, dia dapat merakamkan detik bersahaja dan bagaimana kawalan pergerakan dan isolasi memberi kesan kepada orang ramai dan aktiviti mereka lakukan ketika berada di rumah.

Bagi menghormati privasi, Sanjeev memberitahu sebelum merakamkan gambar seseorang dia akan menerangkan idea dan konsep yang ingin dilakukan sebelum membuat temu janji.

Setakat ini, projek itu membuahkan hasil apabila ramai memberi reaksi positif kepada hasil kerjanya.



Ceria... Pasangan suami isteri ini tersenyum ketika Sanjeev merakamkan potret mereka.

"Saya biasanya akan menemuramah mereka di luar pagar atau menghantar e-mel untuk bertanyakan beberapa soalan yang akan membantu saya membentuk naratif pada foto itu nanti," katanya yang pernah bergelar wartawan di akhbar The Star pada akhir 1990-an sebelum berpindah ke Perth, Australia untuk menyambung pengajiannya.

Sanjeew berpindah ke Melbourne sekitar 12 tahun lalu dan mula melakukan kerja fotografi sepenuh masa sejak enam tahun lalu.

Tahun lalu, Sanjeev mengadakan pameran potret solo pertamanya serta menjadi finalis untuk Hadiah Potret Fotografi Nasional oleh Galeri Potret Nasional.

Dia juga adalah finalis Hadiah Potret Martin Kantor 2019 di Ballarat International Foto Biennale.

Dalam pada itu, Sanjeev memberitahu projek itu sangat bermakna buat dirinya kerana sebagai seorang jurugambar dia dapat melihat dirinya sebagai seorang pencerita dan ini adalah peluang baginya untuk berkongsi kisah tentang masyarakat dalam komunitinya menghadapi pandemik ini.



Antara aksi bersahaja yang dirakamkan Sanjeev.

"Sejujurnya, saya tidak tahu apa boleh diharapkan ketika mula-mula menjalankan projek ini. Ia barangkali bukan idea paling asli kerana terdapat banyak jurugambar lain di seluruh dunia melakukan konsep sama.

"Tapi saya tak melihat diri saya hanya sebagai jurugambar tetapi lebih kepada pencerita. Benar saya lakukan fotografi komersial untuk kelangsungan hidup tetapi pada sama sama saya seronok dapat tampil dengan projek sebegini dan berkongsi kisah dengan orang lain," katanya.

Meskipun hilang punca pendapatan, Sanjeev bagaimanapun melihat ia dari sudut positif kerana ini adalah masanya untuk dia melakukan perkara yang disukainya.

"Saya seronok dapat berbual dengan masyarakat setempat tentang kisah mereka biarpun hanya di luar pagar dan banyak cerita yang boleh saya jadikan iktibar.

"Menariknya, cerita ini akan berkembang dan bertukar sejajar dengan perubahan masa. Sudah tentu saya mahu jadikan ia sebagai satu pameran atau mungkin berkolaborasi dengan jurugambar lain," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mstar!

Artikel Lain