BAYANGKAN tempahan makanan yang anda buat dalam talian dihantar ke depan pintu rumah oleh angkasawan pertama negara! Well, jangan terkejut jika Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha muncul menaiki motosikal EX5 lengkap dengan topi keledar dan beg penghantaran dan bukannya mengenakan suit angkasawan. ARTIKEL BERKAITAN: Dari 'banker' kepada 'baker', baru 5 tahun Zulkiflee jadi pilihan VVIP, selebriti Figura kebanggaan negara, Dr Sheikh Muszaphar memberitahu sejak minggu lalu, beliau memutuskan untuk menghantar sendiri makanan yang dibeli di restoran Rebung secara peribadi kepada pelanggan. Untuk rekod, restoran terkenal itu diusahakan personaliti berusia 48 tahun itu bersama cef selebriti, Datuk Ismail Ahmad yang menyediakan pelbagai hidangan Melayu asli. Restoran itu kembali dibuka minggu lalu sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperkenalkan kerajaan pada 18 Mac lalu. Dr Sheikh Muszaphar bersedia membuat penghantaran kepada pelanggan. Menerusi Instagram, beliau memberitahu langsung tidak berasa kekok menjadi penghantar makanan kepada pelanggan sebaliknya berasa puas dapat berbuat demikian. "Saya secara peribadi mahu turut serta menghantar makanan dan tugas ini memang best," tulisnya di Instagram. Dr Sheikh Muszaphar turut memuat naik gambarnya yang sedang mengendong beg penghantaran makanan berwarna jingga sambil memegang topi keledar di atas motosikal. Sebenarnya, bergelar penghantar makanan bukan perkara baharu buat angkasawan negara ini sebaliknya beliau memberitahu pernah membuat penghantaran dua tahun lalu. Redah... Meskipun hujan Dr Sheikh Muszaphar tetap komited terhadap tugas bagi memastikan pelanggan mendapat makanan yang dipesan. Malah dia juga pernah berulang alik ke Pasar Borong Selayang untuk membeli makanan laut segar setiap hari selama enam bulan pertama ketika restoran itu mula-mula beroperasi. "Bayangkan ketika itu pukul 4 pagi dah bangun untuk ke pasar. Saya teringat mengirim lemang, rendang dan dodol pada waktu pagi raya selama dua tahun," tulisnya lagi. Dr Sheikh Muszaphar berlepas ke angkasa pada 10 Oktober 2007 dengan menaiki Soyuz TMA-11 yang dilancarkan oleh Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS). Beliau kembali ke bumi pada 21 Oktober 2007 selepas 11 hari berada di angkasa. Bapa kepada empat cahaya mata itu juga adalah umat Islam pertama menjalani ibadah puasa dan meraikan hari raya Aidilfitri di angkasa lepas.