SEBILANGAN pelajarnya di kawasan pedalaman berdepan masalah jaringan Internet sekaligus menyukarkan proses pembelajaran dalam talian dan situasi itu menggusarkan Muhammad Nazmi Rosli. Nazmi adalah guru subjek Bahasa Inggeris dan Seni di Sekolah Kebangsaan Long Sukang yang terletak di perkampungan kira-kira tiga jam melalui jalan balak dari Lawas di utara Sarawak. Di sebalik kesukaran untuk ke perkampungan yang didiami anak-anak muridnya, Nazmi tetap mengharunginya demi masa depan anak bangsa. ARTIKEL BERKAITAN: Tiga sekawan tawar jadi cleaner hospital semasa Covid-19 - “Kalau nak kena, dimana-mana pun boleh kena” "Saya satu-satunya guru yang menetap di Lawas, guru lain telah pulang ke Semenanjung dan Sabah atau berada di kampung masing-masing. "Mereka akan serahkan bahan pembelajaran kepada saya untuk dicetak sebelum diedarkan kepada anak-anak murid," katanya. Cetakan bahan pembelajaran itu perlu dilakukan kerana guru-guru berdepan kesukaran kerana tidak dapat menjalankan kelas online untuk 111 pelajar sekolah berkenaan. Kata Nazmi, untuk mengedarkan bahan cetakan itu, dia mendapatkan pertolongan orang kampung yang ke pekan Lawas sekali seminggu untuk mendapatkan bekalan makanan. Cikgu Nazmi mengumpul dan menyedia kerja-kerja sekolah sebelum diserahkan kepada anak-anak muridnya. "Pejabat pendidikan daerah membantu mendapatkan kebenaran untuk saya melawat kampung itu dan seorang dua yang tinggal di perkampungan itu akan membantu saya mengedarkan salinan bahan pembelajaran itu. "Kami juga diselia dengan ketat oleh wakil pejabat kesihatan. Pelajar pula perlu mencuci tangan sebelum menerima bahan cetakan itu. "Kami tidak kumpulkan semua pelajar, tetapi menghantarnya dari rumah ke rumah," katanya. Mulai 1 April, Nazmi telah tiga kali ke 13 kampung untuk menghantar bahan pembelajaran kepada semua pelajar di SK Long Sukang. "Setiap minggu, kami edarkan bahan untuk dua subjek misalnya Bahasa Inggeris dan Matematik dan minggu seterusnya Bahasa Malaysia dan Sains. "Slain itu, kerja rumah yang disiapkan pelajar juga akan diambil untuk disemak supaya kami dapat pantau pencapaian mereka," katanya. Bagi pemuda berusia 27 tahun ini, apa yang dilakukannya tidak dianggap beban kerana ia untuk kebaikan pelajar bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam pelajaran. Cikgu Nazmi bersama seorang lagi guru menyerahkan tigas sekolah kepada anak muridnya. "Kami mahu mereka bersaing dengan pelajar di bandar yang mempunyai pelbagai platform untuk mengikuti kelas online. "Tetapi bagi pelajar di luar bandar, kami tiada banyak pilihan jadi kami lakukan setakat mana yang termampu. "Tiada anak-anak yang ketinggalan itulah misi sekolah kami," katanya Katanya, semua pelajar yang ditemui gembira menerima bahan pembelajaran itu dan tidak sabar untuk kembali ke sekolah. "Mereka memang gemar ke sekolah kerana ia membolehkan mereka menjalani pelbagai aktiviti. "Saya telah meminta pelajar menyiapkan projek dan baru sahaja menerima mesej daripada salah seorang daripada mereka yang tidak sabar mahu menunjukkan hasilnya," katanya. -THE STAR