suria

Rindu anak perantau di Aidilfitri... walau suasana suram tetap dianggap ujian, ada hikmah di sebaliknya - "Kari ayam, nasi Arab menu di pagi Syawal"

Muhammad Hasnul Aliff bersama dua rakannya ketika sambutan Hari Raya tahun lalu di Mesir.

JIKA diikutkan hati siapa yang tidak mahu pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga tersayang? Bagaimanapun situasi semasa tidak membenarkan kita berbuat demikian demi keselamatan semua.

Itulah yang dirasai penuntut Ijazah Sarjana Muda Ulum Islamiah, Universiti Al-Azhar, Mesir iaitu Muhammad Hasnul Aliff Mohd Hashim yang terpaksa menyambut Syawal di perantauan.

Ia mungkin bukan senario luar biasa buat penuntut di luar negara namun pemuda berusia 23 tahun itu memberitahu, situasi semasa ketika ini membuatkan dia berharap dapat pulang bersama keluarganya di Ipoh, Perak.

ARTIKEL BERKAITAN: Mula belajar menjahit ketika usia 5 tahun, kini Nur Afia sudah mampu berbakti... hasilkan 130 PPE untuk frontliner kesihatan

"Sebenarnya memang ada perancangan untuk pulang ke Malaysia apabila kerajaan di Mesir mengumumkan perintah kawalan pergerakan ekoran penularan kes Covid-19 yang mendadak di sini.

"Malah sebahagian rakan-rakan saya juga mengambil peluang untuk pulang ke tanah air namun saya bersama beberapa rakan lain memilih untuk terus berada di sini kerana tiket penerbangan yang agak mahal," katanya kepada mStar.



Aliif (lima dari kiri, barisan belakang) bersama rakan sekuliahnya.

Aliff memberitahu dalam situasi sekarang sudah tentu dia merindukan ibu dan keluarganya di kampung, namun menganggap apa yang berlaku sebagai ujian dan pengorbanan.

"Selalu juga saya menghantar mesej kepada ibu untuk bertanya khabar dan situasi semasa di Malaysia dan dia pun selalu pesan agar jaga diri serta sentiasa mendoakan keselamatan saya di Mesir," ujarnya.

Menganggap bukan rezekinya untuk pulang meskipun dibenarkan berbuat demikian, Aliff memberitahu sepanjang tempoh kawalan pergerakan, pelajar Malaysia di sana banyak menghabiskan masa di rumah selain mengikuti kelas secara dalam talian.

"Kawalan pergerakan di sini tidak terlalu ketat tetapi kami semua di sini mengambil langkah berjaga-jaga dengan tidak keluar rumah jika tiada sebarang urusan dan jika perlu pun, kami sentiasa mengamalkan penjarakkan sosial dan memakai topeng muka," katanya yang sudah empat tahun berada di Mesir.

Sehingga artikel ini ditulis, Mesir mencatatkan sebanyak 15,003 kes Covid-19 di mana 4,217 daripadanya sembuh manakala 696 kes meninggal dunia.



Meskipun merindukan keluarga namun Aliff memberitahu dia menganggap situasi ketika ini sebagai ujian yang mempunyai hikmah disebaliknya.

Ramadan yang suram

Bercerita mengenai Ramadan di Mesir tahun ini, Aliff memberitahu ia sangat berbeza berbanding tahun sebelumnya dan suasana agak suram.

Seperti di Malaysia, Aliff memberitahu semua masjid dan surau di Mesir juga ditutup kepada umum bagi mengelakkan penularan Covid-19.

"Sudah empat tahun saya di Mesir dan ini kali pertama Ramadan diraikan dalam suasana suram dan tak ceria seperti mana sebelumnya.

"Masjid dan surau juga ditutup kepada umum bagi mengelakkan penularan Covid-19... Sedih memang sedih tetapi apa yang berlaku ini ada hikmahnya," katanya.

Bagaimanapun kata Aliff, bagi menghidupkan Ramadan, dia bersama rakan serumah melakukan solat sunat tarawih dan mengaji Al-Quran di rumah sewa mereka yang terletak di Hayuu Safarat, bandar Nasr Kaherah.



Aliff (paling kanan, barisan bawah) ketika bercuti bersama rakan-rakannya.

Raya tetap raya! Kari ayam dan nasi Arab menu 1 Syawal

Tidak mahu bersedih tidak dapat pulang meraikan Syawal bersama keluarga, Aliff memberitahu dia dan bersama rakan-rakannya tetap meraikan Aidilfitri seperti biasa dalam suasana sederhana walaupun tanpa insan tersayang.

Meskipun kerajaan Mesir mengumumkan perintah kawalan pergerakan selama lima hari ketika Aidilfitri namun mereka akan cuba meraikan hari kemenangan umat Islam itu dengan gembira.

Malah dia dan rakan-rakannya akan bergotong-royong memasak kari ayam serta nasi Arab sebagai juadah di pagi 1 Syawal.

"Alhamdulillah nak kata pandai masak itu tidak, tapi biasanya kami akan bergotong royong memasak masakan Malaysia sebagai melepas rindu kepada tanah air.

"Mencari bahan masakan juga tidak sukar di Mesir kerana di kawasan perumahan kami terdapat kedai Melayu yang menjual pelbagai bahan dari Malaysia... Jadi tiada masalah.

"Raya kali ini mungkin berbeza buat kita semua tetapi janganlah kita bersedih kerana apa yang berlaku pasti ada rahmatnya dan semoga Allah melindungi kita semua," kata Aliff yang turut mendoakan kesejahteraan buat semua rakyat Malaysia.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain