BAGI tukang acuan tembaga, Mohd Yusof Abas, Ramadan adalah bulan pembuka rezeki dan jualan boleh meningkat sehingga dua kali ganda. Bengkel kecil berukuran kira-kira 15 meter persegi yang terletak di Kampung Pinang, Kamunting, Perak itu akan menjadi sibuk sehinggakan bapa kepada 10 anak ini tidak menang tangan melayan pelanggan di samping menyiapkan pelbagai jenis acuan yang ditempah. Mohd Yusof,78, sudah lebih 50 tahun berkecimpung dalam dunia kraf, malahan beliau adalah penerima Anugerah Tukang Ulung Hari Kraf Kebangsaan 2015.ARTIKEL BERKAITAN: Mula belajar menjahit ketika usia 5 tahun, kini Nur Afia sudah mampu berbakti... hasilkan 130 PPE untuk frontliner kesihatan Biarpun semakin berusia, warga emas yang mesra disapa Tok Wan masih sihat, malah lebih bersemangat sebaik sahaja tangannya yang jelas menampakkan urat berselirat, memegang gunting, playar serta kepingan tembaga iaitu tiga peralatan penting dalam pembuatan kraf berkenaan. Boleh dikatakan hampir setiap hari sepanjang Ramadan tahun-tahun sebelumnya, beliau banyak menerima tempahan dan jualan boleh mencecah antara 500 sehingga 600 unit, berbanding hari biasa yang tidak sampai 100 unit. Pelbagai jenis acuan dihasilkan termasuk acuan tradisional dan juga untuk biskut raya moden seperti mazola, kek, puding mahupun ising yang digunakan untuk perhiasan. Tok Wan meneruskan tradisi membuat acuan tembaga. Foto: Bernama Terdapat lebih kurang 100 jenis acuan, antaranya bermotifkan tumbuh-tumbuhan, segi empat dan heksagon dihasilkan di bawah perusahaan keluarga, Syarikat Mohd Yusof. Acuan paling popular setiap Ramadan adalah untuk biskut samperit dan pemotong agar-agar. Kesemuanya dihasilkan secara tradisional, tanpa menggunakan mesin. "Orang sanggup datang ke mari dan beli acuan tembaga berbanding plastik kerana ia tahan lebih lama, menyerap haba pembakaran dan paling penting tidak melekat pada acuan. "Ini menjadikan bentuk biskut yang dihasilkan dengan acuan tembaga lebih cantik, senang dibentuk berbanding plastik yang mana bentuknya agak lari sikit dan melambatkan penghasilan kerana adunan kuih melekat pada acuan," kata beliau kepada Bernama menerusi perbualan telefon baru-baru ini. Perniagaan merosot Namun Ramadan tahun ini, hasil perniagaan Mohd Yusof jelas merosot. Akibat wabak Covid-19 serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula sejak 18 Mac lepas, suasana di bengkelnya tidaklah semeriah Ramadan tahun-tahun sebelumnya. "Ramadan memang lubuk rezeki tetapi tahun ini jualan dan permintaan menurun berbanding sebelumnya dalam anggaran 50 peratus. Memang ada buat jualan dalam talian tahun sebelumnya tetapi tidak berapa menjadi sebab pelanggan lebih suka datang ke bengkel. "Mereka rasa puas apabila dapat melihat dan pilih sendiri acuan tersebut. Ada juga yang datang semata-mata untuk tempah bentuk acuan ikut keinginan masing-masing. Boleh siap sekejap bergantung kepada bentuk pilihan, 10 minit untuk acuan mudah. Tok Wan mengaktifkan jualan dalam talian berikutan PKPB. "Tetapi, kerana PKP dan walaupun PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) yang membolehkan hampir sebahagian besar industri ekonomi berfungsi, namun pergerakan orang ramai tidak bebas seperti dahulu dan ini menyukarkan mereka datang ke sini," katanya. Norma baharu Untuk menyantuni norma baharu, Mohd Yusof dan ahli keluarganya berusaha untuk mengaktifkan kembali jualan dalam talian sejurus selepas dihubungi Kraftangan Malaysia untuk menyertai E-Kraf Bazar. Platform jualan talian E-Kraf Bazar menerusi medium Facebook yang bermula sejak 8 April lepas adalah inisiatif Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) melalui Kraftangan Malaysia bagi membantu usahawan kraf yang terkesan akibat wabak Covid-19. "Memang jualan dalam talian yang kami buat sebelumnya tak menjadi. Tetapi, dalam keadaan sekarang, perlu ubah juga cara perniagaan. Kata orang ikut normal baharu, aktifkan kembali teknologi dengan menyertai E-Kraf Bazar. "Tok Wan memang tak faham sangat tentang IT, tentang Internet. Tok Wan serahkan semuanya pada cucu dan anak-anak. Merekalah yang aktif promosikan semua acuan di Internet," katanya. Semua hasil keluaran dipasarkan di Facebook sendiri di bawah nama Syarikat Mohd Yusof sejak awal Ramadan lagi selain turut sama dipasarkan di E-Kraf Bazar. "Permintaan tidak sama seperti dahulu tetapi sambutannya menggalakkan," tambahnya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!