suria

Mula belajar menjahit ketika usia 5 tahun, kini Nur Afia sudah mampu berbakti... hasilkan 130 PPE untuk frontliner kesihatan

Nur Afia Qistina Zamzuri menunjukkan pakaian perlindungan diri (PPE) yang dijahitnya.

BAGI pelajar sekolah yang baharu sahaja berusia sembilan tahun, penularan wabak Cobvid-19 sesuatu yang sukar difahami sepenuhnya.

Namun apa yang pasti, Nur Afia Qistina Zamzuri tahu ia berbahaya!

Oleh sebab itu, ketika dia mendengar bahawa sebuah hospital mencari sukarelawan untuk menjahit peralatan perlindungan diri (PPE), dia terpanggil untuk menghulurkan bantuan.

ARTIKEL BERKAITAN: Karya beremosi! Remaja autism Malaysia dinobat juara Asia selepas terjemah penat lelah frontliners atas kanvas

"Saya rasa bimbang, jadi saya beritahu ibu saya mahu menolong," katanya ditemui Reuters di rumahnya di Kuala Pilah, Negeri Sembilan baru-baru ini.



Nur Afia menggunakan waktu lapang untuk menjahit PPE.

Nur Afia, yang belajar menjahit sejak usianya lima tahun, mampu menghasilkan empat helai PPE sehari pada waktu senggang selepas menghadiri kelas dalam talian berikutan semua sekolah ditutup sementara ketika ini.

Malaysia yang sehingga pertengahan April mencatatkan jumlah kes Covid-19 tertinggi di Asia Tenggara iaitu lebih 6,000 jangkitan, serta kematian melebihi 100.

Bagi membendung penularan wabak itu, kerajaan telah memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu sebelum digantikan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 12 Mei hingga 9 Jun depan bagi membendung penularan Covid-19.

Sementara itu, Nur Afia memberitahu dia telah berjaya menghasilkan 130 gaun PPE untuk dua hospital berdekatan sejak Mac lalu dan sedang menyiapkan 60 helai lagi.



Siap... Nur Afia memeriksa hasi jahitannya agar tiada sebarang masalah.

Meskipun kini bulan Ramadan, namun Nur Afia memberitahu berpuasa tidak menghalangnya untuk terus menyumbang tenaga dan memulakan kerja menjahit selepas waktu bersahur.

Kanak-kanak ini berminat terhadap jahitan setelah memerhatikan ibunya, Hasnah Hud yang juga seorang tukang jahit membuat pakaian pelanggan di rumah mereka.

Apabila kemahiran menjahitnya meningkat, dia mula memperoleh wangnya sendiri dengan menjahit sarung bantal dan membaiki pakaian koyak untuk jiran dan saudara mara.

Sementara itu, Hasnah memberitahu, anak perempuannya itu semakin bermotivasi untuk membantu menghasilkan PPE selepas melihat gambar pekerja kesihatan yang memakai gaun yang dihasilkannya.

"Dia selalu beritahu untuk membantu menolong menjahit PPE sekiranya dia tiada kerja sekolah," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
PPE, Covid-19, Pelajar, Menjahit, PKP, PKPB

Artikel Lain